Apa yang UMNO dan BN katakan mengenai “kestabilan” dan “kemakmuran” tidak boleh dipercayai apabila para pemimpin mereka sendiri tidak mengakui yang Malaysia telah ketinggalan di belakang negara lain selepas enam dekad diperintah UMNO-BN dan tidak mengakui yang skandal 1MDB adalah skandal korupsi terbesar di Malaysia
Apa yang UMNO dan BN katakan mengenai “kestabilan” dan “kemakmuran” tidak boleh dipercayai apabila para pemimpin mereka sendiri tidak mengakui yang Malaysia telah ketinggalan di belakang negara lain selepas enam dekad diperintah UMNO-BN dan tidak mengakui yang skandal 1MDB adalah skandal korupsi terbesar di Malaysia.
Bolehkah para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional menyenaraikan negara-negara yang menikmati “kestabilan” dan “kemakmuran” dengan menjadi lebih korup dan kleptokratik?
Boleh para pemimpin UMNO dan BN menjelaskan mengapa mereka terus menerus menafikan yang skandal 1MDB adalah skandal kewangan terbesar di Malaysia yang telah menyebabkan Malaysia dilihat sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”?
Biarlah Presiden UMNO, Zahid Hamidi; Presiden MCA, Wee Ka Siong; dan Presiden MIC, S. Vigneswaran, menjawab mengapa mereka tidak pernah mengutuk skandal 1MDB dalam 10 tahun yang lepas.
Malah, saya patut ke hadapan selangkah lagi dan bertanya kepada Zahid, Ka Siong, dan Vigneswaran mengapa mereka menyokong skandal 1MDB – adakah kerana UMNO, MCA, dan MIC telah menerima manfaat daripada skandal 1MDB ini?
Pada bulan Julai tahun ini, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz memberitahu Parlimen yang baki komitmen hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM32.08 billion setakat 30 Jun 2022, pada kadar tukaran matawang AS$1 kepada RM4.50.
Tengku Zafrul mengatakan yang kerajaan telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman dan duluan sejumlah RM10.85 billion dari April 2017 sehingga Mei 2022 melalui Minister of Finance Incorporated (MoF Inc) untuk membayar komitmen hutang dan faedah 1MDB.
Dia mengatakan, selain dari bantuan langsung kewangan dari kerajaan, faedah hutang 1MDB juga dibiayai melalui dana pemulihan aset yang disimpan dalam akaun amanah di MOF yang dikenali sebagai Akaun Amanah Pemulihan Aset.
Sehingga Jun tahun ini, jumlah dana 1MDB yang telah diperoleh semula berjumlah RM19.28 billion dalam bentuk pelbagai matawang asing, termasuklah Dolar Amerika Syarikat, Dolar Singapura, dan Dolar Australia.
Adakah Zahid, Ka Siong, dan Vigneswaran akan mengarahkan supaya setiap sen yang diterima UMNO, MCA, dan MIC dari skandal 1MDB dipulangkan semula kepada kerajaan untuk membantu membayar puluhan billion ringgit hutang 1MDB?
Sebagai permulaan, adakah UMNO, MCA, dan MIC akan membuat senarai terbuka pegawai, bahagian, cabang, dan projek UMNO, MCA, dan MIC yang telah menerima dana dari 1MDB?
Sekiranya Najib Razak menjalani hukuman penjara 12 tahunnya sehingga selesai hukuman, Malaysia masih akan membayar hutang 1MDB apabila berjalan bebas dari Penjara Kajang – tetapi Zahid, Ka Siong, dan Vigneswaran mahu Najib untuk bebas dari Penjara Kajang selepas PRU15.
Pada tahun 1965, satu Dolar Singapura adalah bersamaan dengan satu Ringgit Malaysia. Setengah abad kemudian, satu Dolar Singapura bersamaan dengan RM3.39. Adakah ini kemajuan untuk Malaysia?
Kita perlu mengakui yang Malaysia sedang berada dalam masalah besar, ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam dalam beberapa dekad yang lepas.
Semasa Transparency International mula menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Malaysia berada jauh di hadapan China, Indonesia, dan India. Tetapi dalam tiga dekad yang lepas, ketiga-tiga negara ini telah menyaksikan perubahan besar dengan kerajaan yang lebih bersih dan jujur sedangkan Malaysia pula semakin korup!
Biarlah Zahid, Ka Siong, dan Vigneswaran menyatakan sama ada inilah “kestabilan” dan “kemakmuran” yang mereka mahu berikan kepada rakyat Malaysia, memandangkan China besar kemungkinan akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam TI CPI sebelum penghujung dekad ini manakala Indonesia dan India pula akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam dekad yang akan datang – sekiranya kita tidak meningkatkan usaha kita dalam memerangi rasuah.
Slogan Pakatan Harapan adalah “Kita Boleh” – dan rakyat Malaysia boleh memastikan yang Pakatan Harapan akan menang dalam PRU15 dan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 tetapi dengan satu syarat – dengan kadar keluar mengundi yang tinggi pada Hari Mengundi pada 19 November 2022.
Jika tidak, dengan kadar keluar mengundi yang rendah pada Hari Mengundi, Anwar tidak akan dapat menjadi Perdana Menteri Malaysia dan negara kita akan mendapat Zahid Hamidi, Muhyiddin Yassin, atau Hadi Awang sebagai Perdana Menteri ke-10 negara kita – dan Malaysia akan menyertai kumpulan negara gagal apabila kita mencecah ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad dari sekarang.