Adakah PRU15 akan menjadi titik perubahan di mana pengundi Melayu tidak lagi dikelirukan dengan penipuan dan fitnah UMNO dan PAS yang mengatakan kononnya DAP ini komunis, anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja?

Adakah Pilihan Raya Umum ke-15 akan menjadi titik perubahan di mana pengundi Melayu tidak lagi dikelirukan dengan penipuan dan fitnah UMNO dan PAS yang mengatakan kononnya DAP ini komunis, anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja?

Perkara ini akan menentukan sama ada calon DAP untuk kerusi Parlimen Jerai, Zulhasmi Shariff, akan berjaya mencipta sejarah dan menjadi seorang Ahli Parlimen pada 19 November 2022.

Sejak dari pilihan raya umum pertama yang ditandingi DAP pada tahun 1969, 13 pilihan raya umum sehingga sekarang, DAP telah meletakkan calon pilihan raya di kerusi parlimen dan dewan undangan negeri daripada semua latar belakang kaum, Melayu, Cina, atau India, dan dalam beberapa pilihan raya umum yang lepas, dengan calon-calon Kadazan dan Dayak.

Dalam ucapan pertama saya di Parlimen pada tahun 1971, saya telah nyatakan dengan sangat jelas yang DAP menerima dan menyokong semua prinsip pembinaan negara bangsa yang dirangka oleh para pemimpin UMNO dan Perikatan yang disematkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip-prinsip negara beraja perlembagaan, kedaulatan Raja-raja Melayu, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, Perkara 3 Perlembagaan mengenai Islam sebagai agama rasmi persekutuan dengan kebebasan untuk menganut agama lain dengan aman dan harmoni; Perkara 152 mengenai Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan kebebasan untuk menggunakan, mengajar, dan belajar bahasa-bahasa lain; Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan kepentingan komuniti lain-lain; perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya di Malaysia.

Tidak ada sentimen anti Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak atau sentimen anti Islam, Buddha, Hindu, atau Kristian di lapangan, tetapi sesetengah pemimpin UMNO dan PAS cuba untuk meracuni minda rakyat yang kononnya orang Melayu dan Islam sedang terancam.

DAP tidak menjadi satu ancaman kepada orang Melayu atau orang Islam dan sepanjang 57 tahun hidup saya dalam politik Malaysia, saya tidak pernah menuduh mana-mana pemimpin UMNO atau PAS sebagai anti-Cina, anti-India, anti-Kadazan, atau anti-Buddha, anti-Hindu, atau anti-Kristian.

Dari mana datangnya ancaman kepada orang Melayu dan Islam ini?

Pilihan Raya Umum ke-15 akan menjadi ujian sama ada para pemimpin politik di Malaysia dapat mengamalkan politik sihat yang berasaskan kebenaran dan dasar atau sebaliknya memilih toksik politik yang berasaskan kepada penipuan, fitnah, dan sentimen perkauman serta keagamaan.

Isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD) pada tahun 2018 adalah salah satu contoh yang terbaik.

Presiden PAS, Hadi Awang, telah menuduh DAP sebagai kononnya mencuba untuk mempromosikan agenda anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja dan kononnya dalam beberapa bulan terawal kerajaan Pakatan Harapan, mendesak supaya ICERD diratifikasikan.

Perkara ini adalah satu penipuan. Malah sebenarnya, Menteri dan pemimpin DAP tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini dan terkejut seperti mana orang lain juga apabila Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad, dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB pada bulan September 2018 mengumumkan yang Malaysia akan meratifikasi semua perjanjian-perjanjian utama PBB, termasuklah ICERD.

Kini, kebenarannya sudah didedahkan. DAP tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan usaha ratifikasi ICERD pada tahun 2018.

Menteri Luar Negeri ketika itu, Saifuddin Abdullah telah menyalahkan P. Waythamoorthy sebagai Menteri yang “mengetuai” urusan ICERD pada tahun 2018. Perkara ini pula dinafikan oleh Waythamoorthy, yang menuduh Saifuddin sebagai mengatakan “penipuan terang-terangan” dan bahawa bukan kerjanya sebagai menteri perpaduan negara untuk berunding mengenai ratifikasi ICERD dengan pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Dia mengatakan: “Tanggungjawab ratifikasi perjanjian antarabangsa adalah jelas sekali merupakan tugas menteri luar negeri, menteri undang-undang, dan pejabat Peguam Negara.

“Isu ICERD meletus kerana Saifuddin memasukkan komitmen Malaysia dalam satu ucapan yang diberikan oleh (Perdana Menteri ketika itu) Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung PBB.”

Adakah Hadi, sebagai seorang tokoh Islam yang tersohor, akan memohon maaf kepada DAP kerana menipu mengenai DAP dan ICERD dalam isu ini?

Hadi juga telah membuat tuduhan salah mengatakan DAP mempromosikan Bangsa Malaysia sebagai sebahagian dari kempen anti-Melayu dan anti-Islam.

Hadi teramatlah salah. Bangsa Malaysia tidak meminta rakyat Malaysia untuk melupakan atau menanam identiti etnik mereka sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, mahupun meninggalkan identiti mereka sebagai orang Islam, Buddha, Hindu, atau Kristian, sebaliknya untuk semua rakyat Malaysia meraikan kepelbagaian identiti kaum dan agama yang disatukan dengan identiti bersama sebagai rakyat Malaysia.

Adakah Hadi akan memohon maaf kepada DAP untuk penipuan kedua ini?

Tambahan lagi, bolehkah dia jelaskan mengapa dia tidak pernah mengecam Mahathir ketika Mahathir mencadangkan Bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020?

Tetapi, penipuan paling jahat yang dibuat Hadi adalah apabila dia mengatakan DAP itu komunis. Bilakah Hadi akan memohon maaf untuk penipuan ketiga terhadap DAP ini?

Lim Kit Siang Veteran DAP