Seruan kepada pengundi Tambun untuk mencatatkan kadar keluar mengundi tertinggi dalam negara untuk mengundi Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 dan menyelamatkan Malaysia dari menerima nasib seperti Sri Lanka atau Zimbabwe dalam empat dekad yang akan datang
Saya hadir ke Chemor pagi ini, yang merupakan perhentian pertama kempen saya ke seluruh negara untuk Pakatan harapan dan masa hadapan Malaysia, untuk menunjukkan sokongan saya kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 dan untuk memulakan proses memperbetulkan kesilapan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terbaik di dunia.
Pilihan Raya Umum ke-15 ini telah menjadi salah satu pilihan raya terpenting dalam enam dekad sejarah negara, kerana PRU ini mungkin merupakan peluang terakhir untuk menyelamatkan Malaysia dari menerima nasib seperti Sri Lanka atau Zimbabwe dalam empat dekad yang akan datang.
Salah urus di Malaysia akan memerlukan lebih daripada satu kitaran pilihan raya dan berdekad-dekad lamanya untuk diperbetulkan, tetapi kita perlu mulakan usaha untuk menetapkan semula dasar dan prinsip pembinaan negara secepat mungkin dan menghentikan pendarahan negara yang telah menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang biasa-biasa sahaja dan menyebabkan wujudnya Diaspora Malaysia dengan lebih dari sejuta rakyat Malaysia tersebar ke seluruh dunia.
Malaysia mampu untuk menjadi salah satu negara yang terbaik di dunia, sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia, tetapi salah tadbir urus selama ini telah menyebabkan kita ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam, dan dari segi kerajaan yang bersih dan telus, kita bakal ditinggalkan di belakang China menjelang hujung dekad ini, dan mungkin ditinggalkan di belakang India dan Indonesia dalam dekad yang akan datang.
Mengapakah Malaysia menerima nasib seburuk ini? Kerana salah tadbir urus dan terpeson dari prinsip pembinaan negara yang telah dipersetujui bersama oleh tokoh kemerdekaan sehingga kita kini dianggap sebagai sebuah kleptokrasi di mata dunia – terutamanya penerimaan bahawa Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Empat presiden terawal UMNO, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn akan berasa amat malu dan marah jika mereka dapat tahu yang pemimpin UMNO pada hari ini telah menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi.
Siapakah dari kalangan calon-calon Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 yang dapat menghentikan Malaysia dari menjadi sebuah kleptokrasi?
Sudah tentunya bukan Presiden UMNO, Zahid Hamidi, yang mahu Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan untuk menjamin para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional selamat dari didakwa di mahkamah dan dipenjarakan. Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang juga tidak kelihatan seperti cukup berprinsip untuk menghentikan kleptokrasi ini.
Hanya Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 sahaja yang dapat menghentikan Malaysia dari menjadi sebuah kleptokrasi.
Atas sebab ini, saya menyeru para pengundi di Tambun untuk menunjukkan kadar keluar mengundi tertinggi dalam sejarah untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 dan untuk menyelamatkan Malaysia dari menerima nasib yang menimpa Sri Lanka atau Zimbabwe dalam empat dekad yang akan datang.