Slogan “Kita Boleh” Pakatan Harapan bermakna PH boleh menang dalam PRU15, angkat Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10, kembalikan hak Sabah dan Sarawak, dan mulakan proses untuk menjadikan Malaysia salah satu dari negara terbaik dunia
Slogan “Kita Boleh” Pakatan Harapan mempunyai sekurang-kurangnya empat makna.
Pertamanya, Pakatan Harapan boleh memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 dan kembali ke Putrajaya untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan mengalahkan kedua-dua UMNO-Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
Kedua, Pakatan Harapan boleh mengangkat ketua Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Ketiga, kita boleh mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak kepada seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963; dan
Keempat, yang paling penting sekali, kita boleh mengubah salah tadbir urus sebelum ini, di mana Malaysia telah gagal untuk memenuhi visi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”, sebaliknya menjadi negara biasa-biasa sahaja. Supaya kita dapat bergerak ke hadapan untuk mencapai Impian Malaysia untuk menjadi salah satu negara yang terbaik di dunia, sama ada dalam bidang politik, ekonomi, kerajaan yang bersih dan jujur, pekerjaan, pendidikan, kesihatan, perumahan, budaya, atau sukan.
Tugas ini akan mengambil masa berdekad-dekad dan beberapa kitaran pilihan raya umum, tetapi ia perlu bermula dengan Pilihan Raya Umum ke-15 di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, yang merupakan satu-satunya calon perdana menteri yang mempunyai visi dan komitmen untuk menjadikan Malaysia hebat sekali lagi.
Calon Perdana Menteri yang lain, sama ada Zahid Hamidi dari UMNO-BN, atau Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang dari Perikatan Nasional, hanya akan membawa Malaysia ke arah sebuah negara gagal dalam tiga ke empat dekad yang akan datang, bermula dengan Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi.
Dua hari yang lepas, saya telah menerbitkan sepucuk Surat Terbuka kepada semua calon Pilihan Raya Umum ke-15, yang ditujukan tanpa mengira parti atau gabungan politik untuk menjadikan Malaysia hebat.
Zahid, Muhyiddin, dan Hadi tidak mahu melihat Malaysia menjadi hebat kerana mereka tidak mahu mengakui yang kita telah lari jauh dari jangkaan awal kita untuk menjadi salah satu dari negara terbaik di dunia kepada sebuah negara yang biasa.
Usaha untuk menjadikan Malaysia hebat ini patut menjadi misi setiap rakyat Malaysia jika usaha ini tidak menjadi misi semua calon-calon yang bertanding.
Para pengundi perlu menunjukkan visi dan komitmen yang lebih kuat untuk menyelamatkan Malaysia dan menjadi Malaysia sebuah negara hebat.