Mari jadikan Malaysia hebat sekali lagi
Saya menujukan surat terbuka ini kepada semua calon-calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 memandangkan pilihan raya umum ini besar kemungkinan menjadi pilihan raya umum yang paling penting dalam sejarah Malaysia.
Esok adalah hari Penamaan Calon untuk PRU15.
Saya meminta semua calon-calon untuk bersatu di belakang satu mesej: Mari jadikan Malaysia hebat sekali lagi.
Dalam 65 tahun selepas penubuhan negara kita, kita telah terpesong dari prinsip pembinaan negara yang diterapkan oleh tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.
Kita pernah beraspirasi, seperti yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” tetapi dalam enam dekad yang lepas, kita sebaliknya menyumbangkan kegelapan dalam dunia.
Veteran UMNO yang juga merupakan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama, Tan Sri Yusoff Latiff, selalu suka mengenang kembali detik ketika arwah Tunku Abdul Rahman mengambil alih pimpinan UMNO dari Onn Jaafar pada tahun 1951, di mana ketika itu parti tersebut tidak ada wang, dan Tunku telah menjual rumahnya di Pulau Pinang untuk membiayai urusan UMNO.
Tetapi hari ini, kita tidak ada Presiden UMNO yang terpaksa menjual rumahnya untuk membiayai perbelanjaan UMNO. Sebaliknya, negara kita menjadi bahan berita antarabangsa apabila hampir 300 kotak bag tangan mewah dan berdozen-dozen beg yang berisi dengan wang tunai dan barang kemas dibawa pergi oleh pihak polis dalam serbuan ke kediaman yang berkaitan dengan bekas Presiden UMNO yang juga merupakan Perdana Menteri – serbuan yang merampas kira-kira RM114 juta wang tunai dalam 26 matawang asing dan beg tangan Birkin yang mana setiap satunya bernilai sehingga ratusan ribu dolar!
Empat Presiden UMNO yang terawal, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn, tidak akan sama sekali membuat kenyataan terus-terang yang dibuat oleh Presiden UMNO hari ini, Ahmad Zahid Hamidi, yang dibuatnya di Perhimpunan MIC pada hari Parlimen dibubarkan – bahawa PRU15 diadakah untuk menyelamatkan “Kluster Mahkamah” UMNO dan Barisan Nasional dari didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan dipenjarakan.
Tidak ada seorang pun dari empat Presiden terawal UMNO ini akan membiarkan Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi di seluruh dunia, apatah lagi membiarkan Malaysia dikenali sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”!
Kisah “kolam renang” Razak Hussein kini terkenal selepas diceritakan oleh anak bongsunya, Nazir, yang memberitahu, bapanya, dengan mengangkat keningnya, bertanya kepada mereka: “Bagaimanakah rupanya sekiranya Perdana Menteri membelanjakan wang awam untuk membina sebuah kolam renang untuk keluarganya?”
Pada tahun 1979, semasa Perhimpunan Agung UMNO, Perdana Menteri ketika itu, Hussein Onn, memberikan amaran yang Malaysia akan hancur sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” dan menyatakan harapan supaya skandal Bank Rakyat ketika akan menjadi “pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh Kerajaan”.
Namun, dari skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta pada 1979, masalah kita semakin membarah sehinggalah kepada skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion tiga dekad kemudian, bersama dengan pelbagai skandal mega yang lain seperti yang paling baharu, skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion.
Tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin, dan V. T. Sambanthan tidak akan membiarkan Malaysia menjadi sebuah “kleptokrasi”, apatah lagi “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” dan disamakan dengan para kleptokrat lain di dunia seperti Marcos dari Filipina dan Suharto dari Indonesia. Tidak dapat dibayangkan untuk mereka berdiam diri dan tidak mengecam skandal 1MDB.
Wikipedia mendefinisikan “kleptokrasi” sebagai sebuah kerajaan yang di mana pemimpin korupnya menggunakan kuasa politik untuk menjarah kekayaan negara dan tanah yang ditadbir, biasanya dengan menyeleweng atau salah urus dana kerajaan dengan merugikan rakyat.
Perkara ini tidak ada bezanya dengan “Thievocracy” yang merupakan pemerintahan melalui pencurian dan digunakan sebagai sinonim kepada kleptokrasi.
Dalam sebuah kleptokrasi, ahli politik korup akan mengayakan diri mereka di luar batasan undang-undang, melalui sogokan, rasuah, dan pilih kasih, atau mereka mungkin akan terus memberikan dana negara kepada diri sendiri dan rakan-rakan mereka.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, kleptokrasi merujuk kepada satu orang dan skandal 1MDB.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, kleptokrasi merujuk kepada lebih dari satu orang dan lebih dari skandal mega 1MDB.
Malaysia telah tersesat jalan.
Kita perlu tetapkan semula hala tuju kita dan kembali kepada prinsip yang ditetapkan oleh tokoh kemerdekaan – negara beraja perlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dan keharmonian dari masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Kita telah ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dari segi ekonomi – Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam. Melainkan kita bangkit semula, kita akan ditinggalkan di belakang lebih banyak negara lagi.
Kita perlu sedar yang Malaysia berada dalam masalah, yang dapat dilihat dari nilai Ringgit Malaysia kita, di mana pada suatu ketika dahulu, satu Ringgit Malaysia bersamaan dengan satu Dolar Singapura, kini satu Dolar Singapura sudah bersamaan dengan RM3.345.
Semasa Transparency International (TI) mula menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 1995, kita berada jauh di hadapan China, India, dan Indonesia.
Sejak daripada era ini, China, India, dan Indonesia terus menerus merapatkan jurang mereka dengan mempunyai kerajaan yang bersih dan jujur, dan besar kemungkinan China akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam TI-CPI dalam dekad ini, manakala India dan Indonesia akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam dekad yang akan datang.
Malaysia masih boleh diselamatkan dan patut diselamatkan.
Marilah semua calon-calon berjanji untuk melakukan sebaik mungkin untuk mengelakkan Malaysia menjadi satu lagi Sri Lanka atau Zimbabwe menjelang ulang tahun ke-100 negara, supaya Malaysia dapat memenuhi potensinya untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sepenuhnya seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Akhir sekali, saya minta Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menolak penamaan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Serahkan usaha untuk memenuhi Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia kepada golongan anak muda di Malaysia.
Tambahan lagi, Bagan Datuk patut menjadi pertarungan satu lawan satu di antara kleptokrasi dan rakyat Malaysia.