Semangat untuk PRU15 semakin membara namun Pakatan Harapan perlu terus menyalakan harapan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mencipta tsunami politik pada Hari Mengundi 19 November kelak untuk membolehkan Malaysia memenuhi potensinya menjadi negara majmuk hebat bertaraf dunia
Semangat untuk Pilihan Raya Umum ke-15 semakin membara, namun Pakatan Harapan perlu terus menyalakan harapan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mencipta tsunami politik pada Hari Mengundi 19 November kelak untuk membolehkan Malaysia memenuhi potensinya menjadi negara majmuk hebat bertaraf dunia – walaupun ketika negara sedang berhadapan dengan musim hujan lebat dan bencana banjir ketika tempoh berkempen.
Pelbagai parti-parti politik sedang mendedahkan senarai calon-calon mereka, namun adakah semua calon-calon ini akan bersetuju yang negara kita telah terpesong dari Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara majmuk bertaraf dunia dan sebaliknya menjadi hanya sebuah negara biasa-biasa sahaja dan adakah calon-calon ini bersetuju yang PRU15 inilah peluang untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, untuk bersatu sebagai rakyat Malaysia supaya negara kita tidak terus ketinggalan di belakang negara-negara lain atau lebih buruk lagi, berakhir sebagai sebuah negara gagal, kleptokrasi, dan kakistokrasi menjelang ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad dari sekarang?
Adakah semua calon-calon PRU-15 bersetuju yang Malaysia masih boleh dan patut diselamatkan?
Semasa pelancaran jentera pilihan raya DAP Sabah di Kota Kinabalu, saya bercakap mengenai tiga senario untuk Pilihan Raya Umum ke-15: one, di mana UMNO dan Barisan Nasional menang dalam PRU-15 dan membentuk Kerajaan Persekutuan Malaysia; kedua, tidak ada mana-mana gabungan politik menang majoriti dan negara kita memasuki situasi pasca pilihan raya yang mengelirukan; dan ketiga, Pakatan Harapan menang dalam PRU-15 dan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Tiga minggu selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober telah menyaksikan perubahan semangat politik dalam negara, dan mereka yang pada mulanya tidak peduli atau telah lelah dengan politik selepas Langkah Sheraton kini sudah sedar yang enam dekad politik perkauman tidak dapat diubah dalam satu hari melalui proses demokratik, bahawa Rom tidak dibina dalam sehari.
Saya sendiri tidak berpuas hati dengan perubahan dan reformasi yang dicapai dalam 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan sebelum kerajaan PH ditumbangkan oleh konspirasi politik Langkah Sheraton yang tidak demokratik dan tidak sah, tetapi tidak ada mana-mana di dunia di mana janji pilihan raya untuk penggal lima tahun dapat dilaksanakan sepenuhnya hanya dalam 22 bulan.
Sesebuah kerajaan mungkin perlahan dalam setengah pertama penggal lima tahunnya untuk membawa reformasi dan perubahan institusi tetapi perkara ini dapat dipercepatkan dalam setengah kedua penggal lima tahunnya.
Cabaran terbesar dalam PRU-15 adalah politik toksik yang berasaskan penipuan, fitnah, dan sentimen perkauman serta keagamaan.
Presiden PAS, Hadi Awang, telah menuduh DAP sebagai komunis dan juga anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, menuduh yang DAP berada di sebalik usaha untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD) dan Statut Rom dalam beberapa bulan pertama pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2018.
Sebenarnya, para pemimpin DAP tidak tahu apa-apa pun mengenai ucapan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada bulan September 2018 yang bercakap mengenai ratifikasi ICERD dan Statut Rom.
Menteri Luar Menteri ketika itu, Saifuddin Abdullah, telah mengatakan yang P. Waythamoorthy adalah menteri yang “mengetuai” isu ICERD pada tahun 2018, satu perkara yang telah dinafikan keras oleh Waythamoorthy dengan mengatakan tuduhan Saifuddin sebagai satu pembohongan besar dan penghinaan terhadap kebolehan berfikir rakyat.
Kita masih belum mengetahui kebenaran di sebalik episod ICERD pada tahun 2018 ini.
Tambahan lagi, Hadi masih tidak dapat menjelaskan bagaimana martabat Islam tergugat di 55 dari 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meratifikasi ICERD atau bagaimana sistem monarki di 36 dari 38 negara yang telah meratifikasi ICERD terjejas.
Saya tidak tahu sama ada Hadi menuduh kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP sejak tahun 2008 sebagai “komunis” kerana menjaga kepentingan semua kaum dan agama – malah, orang Melayu dan Islam menerima layanan yang lebih baik di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP berbanding dengan di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Sekiranya Malaysia ingin memenuhi potensinya menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia, memandangkan kita berada di titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat – kita perlu gerakkan semua orang untuk berfikir sebagai Rakyat Malaysia.
Daripada pengalaman politik saya selama 57 tahun, tidak ada sentimen anti-Melayu, anti-Cina, anti-India, anti-Kadazan, atau anti-Dayak, atau anti-Islam, anti-Buddha, anti-Hindu, atau anti-Kristian di lapangan, walaupun sesetengah parti-parti politik mencuba untuk menghidupkan sentimen kononnya orang Melayu dan Islam di Malaysia sedang terancam.
Marilah kita semua rakyat Malaysia menjadi pro-Malaysia – setiap orang perlu menjadi orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak yang pro-Malaysia, dan juga orang Islam, Buddha, Hindu, atau Kristian yang pro-Malaysia, untuk memenuhi Impian Malaysia menjadi negara majmuk hebat bertaraf dunia.
Saya telah katakan yang terdapat perubahan sentimen politik dalam tiga minggu yang lepas sejak pembubaran Parlimen pada 10 Oktober, dan senario ketiga di mana Pakatan Harapan kembali ke Putrajaya dengan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 semakin hampir menjadi kenyataan.
Persoalan dan cabarannya sekarang adalah sama ada Pakatan Harapan dapat menyalakan semula harapan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mewujudkan tsunami politik pada Hari Mengundi pada 19 November 2022 untuk membuka jalan untuk Malaysia memenuhi impiannya menjadi sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.