Malaysia memerlukan dasar “Ketuanan Malaysia” sekiranya hendak menjadi negara majmuk hebat bertaraf dunia
Malaysia memerlukan dasar “Ketuanan Malaysia” dan bukannya “Ketuanan Melayu” sekiranya hendak menjadi negara majmuk hebat bertaraf dunia.
Pertamanya, dasar Ketuanan Melayu hanyalah satu helah golongan UMNO-putra untuk mengayakan diri mereka secara melampau sambil orang-orang Melayu dan Bumiputera yang lain terus miskin dan ketinggalan.
Kedua, dasar ini bertentangan dengan prinsip asas pembinaan negara Malaysia, di mana setiap rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, adalah sama-sama rakyat Malaysia, bahawa tidak ada beza rakyat kelas pertama, kelas kedua, atau kelas ketiga.
Pilihan Raya Umum ke-15 di Malaysia sedikit sebanyak sudah mengambil ciri-ciri pilihan raya presiden seperti di Amerika Syarikat, kerana rakyat Malaysia kini akan memilih siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Daripada empat orang calon Perdana Menteri ke-10 ini, hanya Anwar Ibrahim sahaja yang komited untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia dengan melaksanakan dasar “Ketuanan Malaysia” dan bukannya “Ketuanan Melayu”.
Anwar pertamanya adalah seorang rakyat Malaysia, “Malaysian First”, dan semua pemimpin politik dalam negara Malaysia yang hebat perlulah seorang “Malaysian First”.
Calon-calon Perdana Menteri ke-10 yang lain, Presiden UMNO Zahid Hamidi, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, atau Presiden PAS Hadi Awang, semua bertanggungjawab menyebabkan kemerosotan Malaysia dari salah satu negara terbaik di dunia kepada negara yang kini biasa-biasa sahaja, dengan politik, ekonomi, pendidikan, dan pelbagai dasar-dasar pembinaan negara terus menjadi semakin teruk.
Apa yang lebih buruk lagi, kita telah menjadi bahan jenaka dunia kerana skandal kewangan 1MDB dan akan menjadi bahan ketawa yang lebih buruk lagi sekiranya Najib Razak berjalan bebas dari Penjara Kajang tanpa menjalani hukuman penjara 12 tahun dan membayar denda RM210 jutanya.
Kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam, dan kita terus merosot dan bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara.
Pada tahun 1965, satu ringgit Malaysia bersamaan dengan satu dolar Singapura, kini satu dolar Singapura bersamaan dengan 3.345 ringgit Malaysia.
Sekiranya perkara ini tidak menunjukkan kemerosotan Malaysia, saya tidak tahu apa lagi yang boleh menunjukkan “kemerosotan”.
Zahid, Muhyiddin, dan Hadi adalah antara mereka yang menyumbang kepada kemerosotan ini. Hanya Anwar sahaja yang boleh mengembalikan Malaysia kepada prinsip pembinaan negara kita yang asal dan menjadikan Malaysia kembali hebat.
Saya faham yang Warisan akan meletakkan 27 orang calon parlimen di Semenanjung Malaysia.
Kami di DAP mahu bekerjasama dengan Warisan untuk membina Malaysia menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia, namun Warisan telah menolak tawaran kerjasama ini.
Saya hanya mampu berharap yang cubaan Warisan dalam PRU15 di Semenanjung Malaysia tidak akan menjadi seburuk cubaan mereka dalam pilihan raya negeri Johor, di mana mereka meletakkan enam orang calon dan keenam-enam mereka semua telah hilang deposit.