Saya telah diserang seorang profesor kangkung hari ini
Saya telah diserang seorang profesor kangkung hari ini.
Laman web MalaysiaNow hari ini menerbitkan sebuah artikel “Adakah Malaysia benar-benar sebuah negara gagal?” oleh Mohd Hazmi Mohd Rusli.
Saya mencari maklumat dan mendapati Mohd Hazmi bin Mohd Rusli adalah seorang pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan merupakan seorang profesor pelawat di beberapa universiti di seluruh dunia termasuklah di Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia; Vladivostok State University of Economics and Service (VSUES); Universiti Xiamen; Universiti Brawijaya, Indonesia; dan Universiti Kebangsaan Timor-Loras’e, Dili, Timor-Leste.
Dalam artikelnya, Hazmi mengakui yang saya telah memberikan amaran yang Malaysia mungkin akan menjejaki langkah Sri Lanka menjelang tahun 2057, tetapi sebahagian besar artikelnya diasaskan kepada hakikat yang Malaysia hari ini bukanlah sebuah negara gagal.
Saya tidak pernah mengatakan yang Malaysia hari ini adalah sebuah negara gagal dan saya tidak pernah cuba untuk mengambil ringan dalam membandingkan keadaan di Malaysia hari ini dengan keadaan Sri Lanka yang kini menghampiri status sebuah negara gagal, tetapi kita semua mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak kita dan cucu-cucu kita, tanpa mengira kaum atau agama, untuk memastikan Malaysia tidak menerima nasib sebagai sebuah negara gagal menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057 atau 2063.
Mohd Hazmi tidak memahami perbezaan ringkas sebegini.
Seorang profesor yang tidak dapat membezakan Malaysia pada tahun 2057 atau 2063 dengan Malaysia pada tahun 2022 adalah tidak lain dan tidak bukan lagi hanyalah seorang “profesor kangkung”, terma yang dicipta oleh rakan saya, mendiang Profesor Syed Hussein Alatas untuk merujuk kepada profesor yang “langsung tidak mempunyai ilmu pengetahuan” dan mereka yang tidak layak untuk digelar sebagai pemikir dan cendekiawan.
Menurut pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM), Tun Dr Arshad Ayub pada tahun lepas, terdapat kira-kira 2,500 “profesor kangkung” di Malaysia.
Tanggungjawab segera kita adalah untuk meningkatkan standard pendidikan di setiap peringkat di Malaysia dan untuk memastikan 2,500 orang “profesor kangkung” ini dididik untuk menjadi cendekiawan dan ahli akademik yang tulen.
Kerana inilah sebelum ini saya telah merayu kepada GPMS, Mappim, dan Gapena untuk menarik semula rayuan mereka dan juga supaya I-Guru untuk tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan mengenai sekolah rendah Cina dan Tamil ini, sebaliknya, saya berharap mereka dapat memainkan peranan untuk menetapkan semula dan mencapai potensi Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dari segi daya saing global, tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, memerangi rasuah, dan mempunyai sebuah kerajaan yang cekap dan berkesan.
Penetapan semula untuk Malaysia ini merangkumi penaiktarafan tahap pendidikan di Malaysia supaya negara kita tidak akan mempunyai jumlah “profesor kangkung” yang terlalu ramai.