Malaysia memperbetulkan hala tuju negara kita dalam setengah abad yang lepas dan kembali kepada prinsip pembinaan negara bangsa yang dipersetujui oleh bapa penubuhan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara jika kita tidak mahu menjadi sebuah negara gagal

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada hari Ahad untuk menggugurkan saman Ikatan Guru-guru Muslimin Malaysia (I-Guru) yang cuba untuk mendapatkan pengisytiharan sekolah rendah Cina dan Tamil sebagai tidak sah di sisi Perlembagaan di Malaysia, mengulangi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada bulan Disember tahun lepas, patut menjadi isyarat untuk kita memperbetulkan hala tuju negara kita dalam setengah abad yang lepas dan kembali kepada prinsip pembinaan negara bangsa yang dipersetujui oleh bapa penubuhan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara jika kita tidak mahu menjadi sebuah negara gagal.

Tiga Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein, pastinya akan terkejut melihat negara kita telah dari prinsip pembinaan negara bangsa sehinggakan ada Menteri Kabinet yang tidak menerima prinsip-prinsip Rukun Negara dan ada pemimpin yang bangga Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi.

Kita telah terpesong jauh dalam usaha membina negara bangsa dan kita perlu segera kembali kepada prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara, baik monarki berperlembagaan, demokrasi berparlimen, kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa, tadbir urus yang baik, atau Malaysia sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk.

Malah, perkara ini patut menjadi perjuangan kita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan diadakan dalam masa setahun dari sekarang.

Dalam perutusan Tahun Baru 2022 saya, saya merayu kepada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (MAPPIM), dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai keabsahan sekolah rendah Cina dan Tamil yang baru sahaja diumumkan ketika itu, sebaliknya, untuk mereka menunjukkan kepimpinan untuk mengungkai semula kemunduran negara yang telah berlaku dalam setengah abad yang lepas.

Rayuan saya tidak diendahkan dan ketiga-tiga plaintif di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini mengemukakan rayuan mereka yang kini menanti perbicaraan di Mahkamah Rayuan.

Saya berhasrat untuk menggunakan peluang ini untuk sekali lagi merayu kepada GPMS, Mappim, dan Gapena untuk menarik semula rayuan mereka dan juga supaya I-Guru untuk tidak mengemukakan rayuan ke atas keputusan mengenai sekolah rendah Cina dan Tamil ini, sebaliknya, saya berharap mereka dapat memainkan peranan untuk menetapkan semula dan mencapai potensi Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dari segi daya saing global, tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, memerangi rasuah, dan mempunyai sebuah kerajaan yang cekap dan berkesan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri