Ismail Sabri perlu membatalkan arahan Ketua Setiausaha Negara kepada JPA untuk menghukum penjawat awam yang menggunakan bahasa Inggeris

Perdana Menteri, Ismail Sabri, perlu menjelaskan mengapa dia mempromosikan jenama mewah British seperti kemeja Burberry yang bernilai RM5,500 sedangkan pada masa yang sama menghukum penjawat awam kerana menggunakan bahasa Inggeris.

Saya bersetuju dengan pendapat G25, sekumpulan orang Melayu yang berpengaruh, dan juga dengan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Rafidah Aziz, yang mengkritik Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, di atas seruannya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mempertimbangkan langkah pembetulan dan hukuman untuk menguatkuasakan penggunaan Bahasa Malaysia di dalam perkhidmatan awam dan juga di dalam agensi-agensi berkaitan kerajaan yang lain, termasuklah di dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Zuki mahu melihat pematuhan penuh dengan dasar kerajaan memandangkan perdana menteri telah mengumumkan supaya bahasa kebangsaan ini digunakan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Walaupun G25 menyokong peranan dan kepentingan Bahasa Malaysia untuk mewujudkan perpaduan di antara pelbagai kaum yang membentuk negara kita, kumpulan tersebut menekankan kepentingan untuk mengiktiraf Bahasa Inggeris sebagai bahasa universal komuniti antarabangsa dalam pelbagai aspek kehidupan seharian.

G25 mengatakan: “Malaysia akan kehilangan banyak perkara sekiranya terdapat tindakan bersifat hukuman dikenakan kepada mereka yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam tugas rasmi di dalam jabatan kerajaan kerana terdapat banyak bidang di mana penjawat awam perlu berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris untuk mencari titik persefahaman mengenai masalah dan isu yang dihadapi mereka.”

Rafidah mengatakan semasa dia berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari tahun 1987 sehingga 2008, beliau telah meminta supaya semua komunikasi dibuat di dalam bahasa Inggeris untuk memastikan perkhidmatan yang lancar dan berkesan dan keputusan ini diluluskan oleh Kabinet pada masa itu.

Dia menekankan lagi yang kebolehan pegawai untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris merupakan penggerak dan faktor utama yang menarik banyak pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya dalam sektor-sektor strategik yang disasarkan.

Dia memberikan amaran yang sekiranya pemikiran “melihat ke dalam” ini berterusan dengan hukuman dikenakan dan Malaysia memilih untuk tidak berkomunikasi dengan dunia di dalam bahasa Inggeris, kita akan menjadi sebuah “pariah birokrasi di ASEAN, yang tertinggal di belakang akibat pelbagai masalah”.

Perdana Menteri, Ismail Sabri, perlu mempunyai keberanian untuk menyekat arahan hukuman kepada penjawat awam yang menggunakan bahasa Inggeris kepada Jabatan Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri