Ismail Sabri tidak dapat memutuskan sama ada Zuraida patut meletakkan jawatan sebagai Menteri sedangkan dia tidak ada masalah untuk memakai kemeja bernilai RM5,500 ketika berjumpa Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, di Tokyo
Perdana Menteri Ismail Sabri tidak dapat membuat keputusan sama ada Zuraida Kamaruddin patut meletakkan jawatan sebagai Menteri Industri Perladangan dan Komoditi sedangkan dia tidak ada masalah untuk memakai kemeja bernilai RM5,500 ketika berjumpa Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, di Tokyo.
Zuraida mengumumkan peletakan jawatannya dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dari Turki dua hari lepas, dan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dengan serta merta menyatakan yang dia akan menghantar nama calon gantian untuk jawatan menteri industri perladangan dan komoditi tersebut kepada Perdana Menteri.
Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, mengatakan yang portfolio tersebut perlulah diisi oleh pemimpin Bersatu yang lain memandangkan jumlah jawatan Kabinet yang dipegang oleh Bersatu telah pun dipersetujui di antara Muhyiddin dan Ismail Sabri.
Tetapi kelihatan seperti perkara ini masih belum tentu, dengan komen Ismail di Tokyo di mana dia mengatkaan Zuraida akan kekal sebagai Menteri Kabinet sehingga dia memutuskan sebaliknya apabila kembali dari Jepun, terutamanya apabila para pemimpin UMNO mula menuntut jawatan Menteri Industri Perladangan dan Komoditi tersebut dengan mengatakan pelantikan itu adalah kuasa Perdana Menteri dan bukan tertakluk kepada arahan mana-mana parti.
Jadi, adakah Zuraida akan kekal sebagai Menteri Kabinet atau adakah dia akan digantikan dengan penjawat lain dari Bersatu atau UMNO? Laman carian Google sudah mula menunjukkan yang Zuraida berada di dalam Kabinet sebagai wakil PBM.
Jawatan Kabinet Zuraida ini bergantung kepada satu urusan perundingan politik baharu untuk memastikan Ismail Sabri tidak menjadi Perdana Menteri dengan tempoh khidmat yang paling pendek dalam sejarah sedangkan rakyat sedang berhadapan dengan tekanan ekonomi.
Perkara yang sama membimbangkan kepada rakyat Malaysia adalah berapa ramai Menteri Kabinet yang kini berada di dalam negara dan bukannya sedang berseronok di seluruh dunia dengan pembukaan semula sempadan selepas dua tahun dengan pandemik Covid-19.
Adakah Ketua Setiausaha Negara bersedia untuk menyenaraikan Menteri-menteri Kabinet yang ke luar negara pada bulan Mei, untuk berapa lama, dan untuk tujuan apakah lawatan tersebut dibuat?
Atau adakah maklumat ini terlalu sensitif untuk dijelaskan kepada rakyat Malaysia?