Bolehkah Malaysia mendapatkan pengajaran dari Sri Lanka?
Adakah mungkin rumah Perdana Menteri dan Menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?
Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?
Adakah kita sedang mengikuti jejak langkah Sri Lanka, yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai “permata” yang berpotensi tinggi membangun di Asia Selatan?
Tetapi hari ini, Sri Lanka dijangkakan untuk diisytiharkan bankrap oleh badan penarafan selepas negara tersebut gagal membuat bayaran kupon ke atas dua bon, pada masa di mana negara tersebut juga telah kehabisan wang untuk membeli bahan bakar.
Sebuah krisis ekonomi yang belum pernah dilihat sejak daripada kemerdekaan negara tersebut pada tahun 1948 telah membawa kepada kekurangan kritikal mata wang asing, yang membawa kepada negara tersebut gagal membuat dua pembayaran kupon untuk bonnya pada 18 April, dan kini negara tersebut berhadapan dengan kekurangan petrol, ubat-ubatan, gas memasak, dan barang-barang keperluan lain, dengan bekalan elektrik terputus untuk masa yang panjang dan harga barang makanan melonjak tinggi.
Perdana Menteri baharu Sri Lanka telah mengumumkan yang kerajaan baharu Sri Lanka merancang untuk menjual syarikat penerbangan negara tersebut untuk mengurangkan kerugian, pada masa di mana pihak berkuasa terpaksa mencetak wang untuk membayar gaji penjawat awam.
Bagaimanakah Sri Lanka yang sebelum ini berpotensi tinggi jadi sehingga begini?
Malaysia juga tidak memenuhi potensi pembangunan ekonomi kita, tetapi keadaan di Sri Lanka jauh lebih buruk.
Dalam perkembangan KDNK, kita membangun 90 kali ganda di antara tempoh dari tahun 1970 sehingga 2020, tetapi KDNK untuk Korea Selatan mengembang 180 kali ganda, Singapura 170 kali ganda, China lebih dari 160 kali ganda, dan Indonesia 110 kali ganda. KDNK Sri Lanka hanya mengembang 32 kali ganda dalam tempoh 50 tahun di antara 1970 ke 2020.
Dari segi KDNK kapita, angka untuk Korea Selatan mengembang lebih dari 80 kali ganda untuk tempoh 1970 ke 2020, manakala Singapura mengembang sebanyak 50 kali ganda, China 40 kali ganda, dan Indonesia 35 kali ganda. KDNK per kapita Malaysia hanya berkembang 25 kali ganda, tetapi Sri Lanka lebih teruk – hanya kira-kira 12 kali ganda.
Bulan lepas, Uskup Katolik di Sri Lanka menyeru perpaduan dalam kalangan ahli politik untuk menyelamatkan negara tersebut daripada menjadi sebuah negara gagal.
Mereka mengatakan: “Negara ini sedang pantas menghampiri status negara gagal yang akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap rakyatnya.”
Kita belum menjadi sebuah negara gagal tetapi adakah kita sedang berada dalam trajektori menjadi sebuah negara gagal dalam tiga atau empat dekad yang akan datang?
Bolehkah kita belajar daripada kesilapan negara-negara lain yang telah gagal untuk mencapai impian kehebatan mereka seperti Sri Lanka dan Filipina, di mana pemilihan presiden pada 9 Mei 2022 telah menyaksikan kedatangan semula keluarga Marcos di mana Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr – yang telah lari dari istana presiden bersama bapanya 36 tahun yang lepas – melalui kempen berita palsu di media sosial dan penipuan di internet dalam kempen pilihan raya yang mengagung-agungkan undang-undang darurat dan menafikan naratif mengenai kekayaan keluarganya yang diperoleh secara haram.