Pemilihan Presiden Filipina pada hari Isnin akan menunjukkan arah yang menarik mengenai PRU15 yang akan datang di Malaysia
Apa pengundi di Filipina pergi mengundi dalam Pemilihan Presiden Filipina pada hari Isnin ini, pemilihan ini dapat sedikit sebanyak menunjukkan hala tuju Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang di Malaysia.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel dan wartawan Filipina, Maria Ressa, telah menggambarkan pemilihan presiden Filipina ini ibarat “mikrokosmos pertembungan fakta global” apabila beliau memetik kata-kata Milan Kundera yang mengatakan, “Pergelutan manusia melawan kuasa adalah adalah pergelutan memori melawan lupa”.
Pemilihan presiden ini menjadi satu pertandingan di antara Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr, anak kepada bekas diktator Marcos, melawan Naib Presiden sedia ada, Leni Robredo.
Robredo secara tipis mengalahkan Marcos dalam pemilihan naib presiden 2016. Marcos mendakwa terdapat penipuan pilihan raya dan kemudiannya menghantar bantahan kepada Tribunal Pilihan Raya Presiden. Kiraan semula separa menunjukkan undi Robredo meningkat dan selepas empat tahun, kes tersebut digugurkan.
Enam tahun selepas kegagalan kempen tersebut, Marcos, yang mana bapanya sebelum ini ditendang keluar dalam suatu revolusi rakyat pada tahun 1986 kerana kes rasuah besar-besaran dan penindasan hak asasi manusia, kini menjadi calon yang dijangkakan menang dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 9 Mei ini.
Populariti Marcos diasaskan kepada perasaan nostalgia, kononnya era kemakmuran dan “zaman keemasan” masyarakat Filipina di bawah pemerintahan diktator bapanya pada tahun 1980-an. Pemerhati politik dan penyelidik maklumat palsu mengatakan yang kempennya dibantu oleh rangkaian berita palsu dan propaganda yang meluas.
Kajian laman berita VERA Files, sebuah badan penyemak fakta di Filipina, menunjukkan yang Marcos telah menerima manfaat daripada hantaran yang “mengelirukan” di media sosial sedangkan Robredo pula merupakan mangsa terbesar kempen berita palsu.
Kerajaan Filipina telah berjaya menuntut semula $3.3 billion daripada $10 billion yang dituduh dicuri oleh keluarga Marcos, tetapi, $2.4 billion aset masih dalam perbicaraan, dengan pelbagai pihak mencuba untuk merebutnya. Sekiranya Marcos memenangi kerusi Presiden, ramai bimbang yang aset ini, bersama dengan $3.9 billion cukai harta pusaka, akan diketepikan, mengukuhkan penipuan yang mengatakan Marcos tidak bersalah.
Adakah Malaysia akan menjadi medan ujian “mikrokosmos pertembungan fakta global” yang akan datang?
Adakah penipuan, berita palsu, maklumat palsu, dan teori konspirasi akan menang menenggelamkan kebenaran dan fakta dalam PRU15 di Malaysia?
Sekiranya Marcos Jr boleh menang di Filipina dengan memberikan gambaran palsu yang pemerintahan Marcos pada tahun 80-an adalah satu “era keemasan’ Filipina, sudah tentunya akan ada cubaan untuk meniru perkara ini di Malaysia dengan menggambarkan era kleptokrasi di Malaysia sebagai suatu “zaman keemasan”.
Bukannya tidak ada penipuan dan berita palsu dalam media tradisional sebelum ini, tetapi media sosial dengan berbillion manusia yang dihubungkan antara satu sama lain telah mewujudkan suatu krisis keyakinan di Malaysia dan di seluruh dunia.
Pandemik Covid-19 yang berlanjutan selama dua tahun ini juga menjadi satu contoh yang berguna.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan yang wabak Covid-19 telah menyebabkan kematian hampir 15 juta orang di seluruh dunia, walaupun banyak negara terus mengurang kira kematian akibat Covid-19 memandangkan hanya 6.2 juta kematian akibat Covid-19 dilaporkan.
Namun sehingga hari ini, di tengah-tengah kita berhadapan dengan pandemik ini, terdapat sejumlah golongan minoriti yang signifikan yang percaya bahawa Covid-19 ini adalah satu penipuan dan tidak wujud – selepas wabak ini mencatatkan lebih daripada 500 juta jangkitan secara rasmi.
Adakah rakyat Malaysia mampu untuk belajar membezakan di antara fakta dan kebenaran berbanding dengan penipuan, berita dan maklumat palsu dalam menghadapi PRU15?