Rakyat Malaysia perlu belajar membezakan antara kebenaran dan penipuan sekiranya kita tidak mahu negara kita mereput menjadi negara gagal dalam beberapa dekad yang akan datang
Aktivis Haris Ibrahim tepat sekali apabila dia mengatakan yang sebuah negara tidak boleh dibina di atas asas penipuan.
Bukanlah tidak ada penipuan dan berita palsu dalam negara semasa hari-hari awal penubuhan negara, tetapi kedatangan media sosial, dengan berbillion manusia disambungkan serentak kepada satu saluran informasi global yang tersedia 24/7 yang telah mencipta suatu krisis kepercayaan pada skala yang belum pernah dilihat dalam sejarah sebelum ini.
Sebelum ini, rakyat daripada keseluruhan spektrum politik bergantung kepada maklumat yang dikongsi bersama, tetapi hari ini, kita berada di dalam realiti media yang berbeza sama sekali, yang disuap melalui telefon bimbit kita.
Perkara ini telah menyebabkan fenomena yang dipanggil pakar psikologi sebagai “bias pengesahan”, iaitu kecenderungan untuk memilih fakta dan pendapat yang menguatkan lagi pandangan sedia ada kita dan untuk menolak fakta dan pendapat yang mencabar pandangan sedia ada kita.
Saya adalah ahli politik yang paling banyak dimomokkan selama lima dekad yang lepas.
Saya telah dituduh sebagai seorang komunis, pemimpin Kristian evangelis (tanpa ada sesiapa yang terfikir bagaimana seseorang itu boleh menjadi seorang komunis dan Kristian evangelis pada masa yang sama, atau bagaimana label sebegini masuk akal sedangkan saya tidak pernah menjadi seorang Kristian); kononnya bertanggungjawab menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969, memimpin demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur dengan mengeluarkan kata-kata anti-Melayu dan anti-Islam sedangkan saya langsung tidak berada di Kuala Lumpur selepas Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969; saya juga digambarkan sebagai syaitan, puasa, malah jembalang; kononnya saya anti-Melayu, anti-Islam, pak turut kuasa asing dan juga agen rahsia CIA, KGB, MI6, dan Perkhidmatan Perisikan Australia; kononnya saya menguasai kerajaan Pakatan Harapan dan menjadikan pemimpin lain seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai alat dan pak turut saya.
Amat luar biasa sekali, selepas lima dekad dengan penipuan, berita palsu, dan fitnah sebegini, tidak ada sekelumit bukti pun ditunjukkan untuk membuktikan yang saya ini anti-Melayu, anti-Islam, komunis, Kristian evangelis, agen asing, atau manipulator pemimpin politik Melayu!
Namun, fitnah-fitnah ini tetap berterusan! Kini, saya juga dituduh sebagai mengkhianati hak dan kepentingan orang Cina dan golongan bukan Melayu di Malaysia.
Dalam empat hari lagi, apabila pengundi di Filipina pergi mengundi dalam Pemilihan Presiden Filipina, akan ada satu ujian besar di Asia Tenggara, sama ada penipuan, berita palsu, maklumat palsu, dan teori konspirasi boleh mengalahkan fakta dan kebenaran.
Program televisyen mengenai Pemilihan Presiden di Filipina memaparkan persoalan seperti berikut:
- Adakah demokrasi sedang dipertaruhkan? Tinjauan menunjukkan yang anak bekas diktator Ferdinand Marcos mendahului.
- Bagaimanakah kempen berita palsu di media sosial mempengaruhi Pemilihan Presiden yang akan datang?
Pemilihan Presiden Filipina kini menjadi persaingan di antara Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr, anak bekas diktator, dengan Naib Presiden sedia ada, Leni Robredo.
Robredo secara tipis mengalah Marcos dalam Pemilihan Naib Presiden pada tahun 2016. Marcos mendakwa terdapat penipuan pilihan raya dan kemudiannya menghantar bantahan kepada Tribunal Pilihan Raya Presiden. Kiraan semula separa menunjukkan undi Robredo meningkat dan selepas empat tahun, kes tersebut digugurkan.
Enam tahun selepas kegagalan kempen tersebut, Marcos, yang mana bapanya sebelum ini ditendang keluar dalam suatu revolusi rakyat pada tahun 1986 kerana kes rasuah besar-besaran dan penindasan hak asasi manusia, kini menjadi calon yang dijangkakan menang dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 9 Mei ini.
Populariti Marcos ini diasaskan kepada perasaan nostalgia, kononnya era kemakmuran dan “zaman keemasan” masyarakat Filipina di bawah pemerintahan diktator bapanya pada tahun 1980-an. Pemerhati politik dan penyelidik maklumat palsu mengatakan yang kempennya dibantu oleh rangkaian berita palsu dan propaganda yang meluas.
Kajian laman berita VERA Files, sebuah badan penyemak fakta di Filipina, menunjukkan yang Marcos telah menerima manfaat daripada hantaran yang “mengelirukan” di media sosial sedangkan Robredo pula merupakan mangsa terbesar kempen berita palsu.
Kerajaan Filipina telah berjaya menuntut semula $3.3 billion daripada $10 billion yang dituduh dicuri oleh keluarga Marcos, tetapi, $2.4 billion aset masih dalam perbicaraan, dengan pelbagai pihak mencuba untuk merebutnya. Sekiranya Marcos memenangi kerusi Presiden, ramai bimbang yang aset ini, bersama dengan $3.9 billion cukai harta pusaka, akan diketepikan, mengukuhkan penipuan yang mengatakan Marcos tidak bersalah.
Penerima Anugerah Keamanan Nobel dan wartawan Filipina Maria Ressa, memetik Milan Kundera, “Perjuangan manusia adalah perjuangan melawan lupa”, apabila menggambarkan pemilihan presiden Filipina sebagai sebuah “mikrokosmos pertembungan fakta global”.
Adakah Malaysia akan menjadi “mikrokosmos pertembungan fakta global” yang akan datang? Apakah hasilnya?
Perkara ini akan bergantung kepada sama ada kenyataan Haris Ibrahim yang mengatakan sesebuah negara tidak boleh dibina di atas asas penipuan telah sampai ke telinga rakyat Malaysia atau tidak dan sama ada beliau akan menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang kecewa dengan 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang disusuli dengan pengkhianatan Langkah Sheraton untuk mencari harapan baharu demi sebuah Malaysia yang lebih baik – sama ada beliau akan menjadi contoh tauladan rakyat Malaysia yang mendahulukan Malaysia.
Rakyat Malaysia perlu belajar membezakan di antara kebenaran dan penipuan sekiranya kita tidak mahu negara kita terus mereput menjadi sebuah negara gagal dalam beberapa dekad yang akan datang.