Kita mesti mencetus semula harapan dan keyakinan terhadap masa depan kerana samada kita dapat memutar semula tren kemerosotan negara kita sejak setengah abad ini adalah bergantung kepada kita semua
Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan persaraan saya daripada politik. Saya menarik diri dari bertanding pilihan JTP hari ini - sila padamkan no.39 dari senarai calon JTP anda. Saya juga tidak akan bertanding dalam pilihanraya parlimen atau negeri di masa hadapan.
Saya telah berada dalam parti selama 56 tahun – dua hari lepas merupakan ulang tahun ke-56 parti kita - dan selama ini saya melihat bagaimana parti kita telah berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil yang mengambil bahagian pertama kali dalam pilihanraya umum tahun 1969, sehingga menjadi sebuah parti politik utama yang berjaya menubuh kerajaan persekutuan serta mengambil alih kerajaan di 7 negeri bersama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan semasa PRU-14.
Pilihan Raya Negeri Johor yang baru berlangsung merupakan satu peringatan yang penting bahawa Impian Malaysia kita yang mahu Malaysia menjadi sebuah negara bersatupadu, demokratik, adil dan berjaya yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa merupakan satu perjuangan politik jangka panjang. Dalam proses ini, kita menghadapi banyak kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan. Tapi kita mesti kekal dengan matlamat kita dan jangan sekali-kali berkompromi dari segi prinsip dan cita-cita.
Kita mewakili harapan dan aspirasi rakyat Malaysia yang mahu melihat Malaysia berdiri megah di persada dunia kerana pencapaian kita dalam pelbagai bidang dan berjaya membina negara berlandaskan ciri-ciri kemajmukan yang sedia ada di negara ini – pelbagai kaum, agama, budaya dan tamadun - dan bukannya menjadi bahan jenaka atau diperli oleh masyarakat dunia kerana kita menjunam menjadi sebuah kleptokrasi, kakitokrasi dan negara yang gagal.
Kita mesti mencetus semula harapan dan keyakinan terhadap masa depan kerana samada kita dapat memutar semula tren kemerosotan negara kita sejak setengah abad ini adalah bergantung kepada kita semua.
Belum pernah lagi dalam sejarah DAP, semangat perpaduan, setiakawan, komitmen dan keazaman menjadi begitu penting dalam usaha kita untuk merealisasikan Impian Malaysia.
Adalah penghormatan buat saya selama ini berpeluang - bersama-sama dengan rakyat malaysia yang patriotik samada di dalam atau di luar DAP - untuk berganding bahu sepanjang perjalanan untuk merealisasikan Impian Malaysia kita bersama.
Usaha untuk merealisasikan Impian Malaysia mesti diteruskan sehingga berjaya, dan kini sampailah giliran anda semua untuk meneruskan perjuangan ini.