Adakah Malaysia mahu menjadi negara pertama di dunia di mana kleptokrat kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 atau ke-11?

Jenaka terbesar sekali dalam tempoh kempen 14 hari pilihan raya negeri Johor adalah kenyataan daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Hasni Mohammad, yang mengatakan Singapura akan jadi lebih maju sekiranya diperintah oleh UMNO.

Selama 27 tahun yang lepas, dari tahun 1995 ke 2021, Singapura berada dalam kalangan 10 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) manakala Malaysia pula jatuh daripada tempat ke 23 pada tahun 1995 ke tempat ke 62 dalam tahun 2021. Malaysia dijangkakan jatuh lagi dalam CPI TI 2022.

Sekiranya UMNO memerintah Singapura, tidak mungkin untuk republik pulau tersebut menjadi salah satu daripada 10 negara teratas dari segi integriti, ketelusan, dan akauntabilti.

Perkara yang paling memalukan dalam tempoh berkempen 14 hari ini adalah cara bekas Perdana Menteri, Najib Razak, berkempen di negeri ini untuk mendapatkan sokongan kedua-dua pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan kempen “Apa Malunya BOSSku”.

Sekiranya Najib berjaya dengan kempen “Apa Malunya BOSSku” dia ini, dia akan menjadi kleptokrat pertama di dunia yang kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri ke-10 atau ke-11, satu perkara yang tidak mungkin berlaku di negara lain.

Kita akan tahu esok, sama ada Najib berjaya dengan kempennya ini, sama ada Malaysia akan mengalahkan Filipina, di mana anak seorang kleptokrat, Marcos, sedang bertanding dalam pemilihan presiden Filipina.

Selepas pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013, di mana Najib telah kehilangan majoriti 2/3 Barisan Nasional buat pertama kalinya, orang Cina di Malaysia ditanya: “Apa Lagi Cina Mahu?”

Orang Cina di Malaysia, seperti semua rakyat Malaysia yang lain, sama ada Melayu, India, Kadazan, atau Dayak, mahukan semua rakyat untuk menjadi rakyat yang saksama seperti yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Malaysia tidak boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia melainkan semua rakyatnya melihat diri mereka pertama sebagai rakyat Malaysia – Malaysian First – dan menerima yang Malaysia ini adalah sebuah negara dengan masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya, dan juga menerima prinsip-prinsip asas pembinaan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara – sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, kehormatan terhadap hak asasi manusia, integriti, dan tadbir urus yang baik.

Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, perlu mempunyai Impian Malaysia yang dikongsi bersama, untuk menghentikan kemunduran negara dalam setengah abad yang lepas, di mana kita ditinggalkan di belakang satu demi satu negara – daripada Taiwan, kepada Korea Selatan, Singapura, dan kini Vietnam.

Lebih daripada sejuta rakyat Malaysia yang penuh dengan pelbagai bakat dan kebolehan telah terpaksa berpindah ke serata empat penjuru dunia dalam setengah abad yang lepas kerana pelbagai ketidakadilan dan ketidaksamaan yang dihadapi di Malaysia, mereka ini membentuk Diaspora Pertama Malaysia.

Kita tidak mahu terjadinya Diaspora Kedua Malaysia, di mana sejuta lagi rakyat Malaysia yang berbakat dan berkebolehan, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, berpindah ke luar negara kerana mereka melihat tidak ada harapan untuk mereka mengelakkan negara tercinta ini daripada terus menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal.

Inilah intipati pilihan raya negeri Johor yang akan berlangsung esok dan kerana inilah setiap undi pada hari esok amat bermakna.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri