Pemilihan Ng Kor Sim sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri untuk Jementah akan menjadikan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini lebih signifikan dan bermakna
Pemilihan Ng Kor Sim sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN untuk Jementah akan menjadikan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini lebih signifikan dan bermakna.
Saya menyeru pengundi di Jementah untuk keluar memastikan terdapat kadar mengundi yang tinggi pada 12 Mac 2022 untuk mencapai tiga objektif:
Pertamanya, untuk memilih Ng Kor Sim sebagai ADUN Jementah supaya dasar “khemah besar” Pakatan Harapan dapat membawa sekurang-kurangnya 30 ADUN PH ke Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan negeri Johor yang akan datang bagi membangunkan Jementah dan Johor.
Kedua, untuk memimpin Malaysia dengan mempunyai visi jangka masa panjang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan mengungkai semula kemunduran yang dihadapi negara dalam setengah abad yang lepas di mana negara kita telah kalah dengan satu demi satu negara – Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam. Lebih daripada sejuta rakyat Malaysia yang berbakat telah berpindah ke luar negara untuk membentuk diaspora Malaysia global di keempat-empat penjuru dunia, membantu menjadikan negara lain menjadi hebat sedangkan mereka sepatutnya membantu Malaysia. Lebih daripada sejuta rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama ini memilih untuk berpindah kerana dasar yang tidak adil yang perlu diubah. Sekiranya trajektori kemerosotan negara ini berterusan, kita akan kalah dengan lebih banyak negara lagi, termasuklah Indonesia dan Filipina, yang pastinya akan membawa kepada Diaspora Malaysia Kedua.
Pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018 memberi harapan bahawa selepas setengah abad kemerosotan negara, akan ada Malaysia Baharu tetapi usaha ini telah disabotaj selepas 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan oleh konspirasi Langkah Sheraton yang telah membawa masuk dua kerajaan pintu belakang yang tidak sah dalam tempoh 24 bulan yang lepas. Tetapi kita tidak boleh melepaskan Impian Malaysia kita untuk mengundurkan kemerosotan negara dalam setengah abad yang lepas untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia, dan permulaan baharu mesti dibuat dalam pilihan raya umum negeri Johor pada 12 Mac, 2022.
Ketiga, untuk memberitahu dunia bahawa rakyat Malaysia tahu perbezaan antara perkara yang betul dan yang salah, dan kita tidak akan sekali-kali menerima rasuah dan kleptokrasi. Dunia sedang memerhati dan menunggu keputusan pilihan raya umum negeri Johor pada 12 Mac, bukan kerana Johor penting kepada dunia, tetapi kerana ia akan menjadi batu loncatan bagi orang yang menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi skandal berbillion ringgit 1MDB untuk kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11.
Sebelum 9 Mei 2018, rakyat Malaysia yang pergi ke luar negara berkeberatan untuk mengakui bahawa mereka adalah rakyat Malaysia kerana keburukan dan berasa malu dengan skandal 1MDB, yang diketahui di seluruh dunia walaupun perkara ini ditapis di Malaysia. Selepas 9 Mei 2018, rakyat Malaysia kembali berbangga menjadi rakyat Malaysia di luar negara. Kita tidak mahu rakyat Malaysia malu menjadi rakyat Malaysia selepas 12 Mac 2022 kerana kita membiarkan seorang kleptokrat terkenal di dunia kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Tetapi ketiga-tiga objektif ini hanya boleh dicapai jika terdapat peratusan keluar mengundi yang tinggi pada Hari Mengundi pada 12 Mac 2022. Perlu ada gerakan rakyat untuk peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang patriotik untuk memastikan ketiga-tiga objektif ini dapat dicapai.