Seruan kepada pengundi Johor untuk menunjukkan yang mereka lebih bertenaga dan berstamina untuk melawan kleptokrasi berbanding dengan Najib yang sibuk mempertahankan kleptokrasi dan skandal 1MDB
Saya bimbang dengan kadar keluar mengundi dalam pilihan raya negeri Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac 2022 dan saya seru kepada para pengundi di Johor untuk tidak terikut-ikut dengan perangkap Najib dengan tidak mengundi, langsung membolehkan UMNO untuk menang besar di Johor yang akan menjadi batu loncatan untuk dia kembali sebagai Perdana Menteri ke-10 atau ke-11 dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Najib sedang berkempen sebagai pemimpin sebenar UMNO dan Barisan Nasional dan dia ingin kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 atau ke-11 dengan menggunakan PRN Johor ini untuk mengukur sokongan popularnya.
Najib percaya yang orang Melayu sokong kempen “Apa Malunya BOSSku”.
Seorang cendekiawan Islam terkenal, yang merupakan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kamal Hassan, telah menulis sebuah buku mengenai “Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu-Islam – Keperluan untuk Transformasi Moral-Etika” di mana beliau berkata beliau “jijik, terkejut dan muak” oleh rasuah dan kepura-puraan pemimpin politik Melayu dan Islam.
Keputusan pilihan raya negeri Johor pada 12 Mac 2022 ini akan memberikan jawapan, sama ada Najib tepat yang dia mempunyai sokongan orang Melayu dengan kempen “Malu Apa BOSSku”.
Tetapi, Najib bukan sahaja mahukan sokongan orang Melayu, dia juga mahu komuniti bukan Melayu untuk menyokong kempennya.
Untuk mencapai cita-cita ini, Najib datang dengan strategi dua serampang.
Pertamanya, dia melancarkan kempen “Malu Apa BOSSku” di Johor untuk menyelamatkan MCA di Johor. Dengan melancarkan kempen “tidak tahu malu”, di mana seseorang itu tidak perlu berasa malu atau kesal kerana menyebabkan skandal 1MDB yang bernilai berbillion ringgit, Najib mengatakan yang pemimpin yang menunjukkan sifat “tidak tahu malu” seperti ini tidak bersalah atau perlu berasa malu. Perkara ini amatlah mengejutkan dan mesti dikecam oleh semua rakyat Malaysia yang mahu mempunyai pemimpin yang bermoral dalam masyarakat kita.
Cabang kedua strategi Najib adalah dengan memastikan kadar keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi yang jijik dan bencikan rasuah dan skandal 1MDB. Sekiranya kadar keluar mengundi mereka yang akan menolak kleptokrasi rendah, perkara ini akan memenuhi agenda untuk kembali sebagai Perdana Menteri ke-10 atau ke-11.
Ramai pengundi tidak berminat untuk keluar mengundi kerana mereka merasakan yang kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan ini adalah satu kegagalan atau satu bencana. Mereka tersilap, kerana mereka tidak mengambil kira hakikat di negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi berparlimen, perubahan demokratik, mengambil masa berdekad lamanya dengan lebih daripada satu pusingan pilihan raya umum untuk mengungkai kemunduran yang berterusan selama setengah abad, di mana kita telah kalah kepada satu demi satu negara, bermula dengan Taiwan, kemudiannya diikuti oleh Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam.
Permulaan telah dijalankan oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 untuk membawa perubahan nasional dan reformasi institusi di Malaysia. Tetapi, sebelum perubahan seperti ini dapat memberikan kesan dan mula tersemak di dalam institusi, mandat lima tahun kerajaan Pakatan Harapan telah ditumbangkan hanya selepas 22 bulan dengan cara yang tidak demokratik dan tidak sah.
Golongan inilah yang diharapkan Najib untuk berputus asa dan tidak berstamina untuk terus mengundi melawan rasuah, kleptokrasi, dan penyalahgunaan kuasa di dalam pilihan raya negeri Johor – sementara Najib pula terus berstamina, bertenaga dan tidak tahu malu langsung untuk terus berkempen “Apa Malunya BOSSku”.
Kita perlu teruskan perjuangan untuk membawa perubahan nasional dan reformasi institusi di Malaysia, untuk kembali semula kepada asas pembinaan negara seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara – sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, hormat terhadap hak asasi manusia, integriti dan moral, penerimaan hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara dengan masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya, di mana rakyatnya, sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, atau Orang Asli adalah rakyat yang sama tarafnya.
Malaysia tidak mahu Najib kembali untuk mewujudkan lebih banyak skandal 1MDB. Kita perlu bertenaga dan berstamina untuk meneruskan perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan mengungkai semula kemunduran selama setengah abad yang lalu dan menghentikan budaya rasuah dan hipokrit yang semakin berleluasa dalam politik negara, seperti yang dikatakan oleh Kamal Hassan dalam buku barunya.
Kita perlu tunjukkan yang rakyat Malaysia lebih berstamina dan bertenaga untuk melawan kleptokrasi berbanding dengan stamina dan tenaga Najib dalam mempertahankan kleptokrasi dan skandal 1MDBnya.