Seruan kepada rakyat Johor untuk memastikan kadar keluar pengundi yang tinggi pada 12 Mac supaya DAP boleh mengekalkan ke semua 14 kerusi Dewan Undangan Negeri dan supaya “khemah besar” Pakatan Harapan dapat memenangi lebih daripada 30 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri Johor dan meneruskan agenda reformasi institusi yang bermula selepas PRU-14

DAP memulakan kempen pilihan raya umum negeri Johor dari suatu tahap yang sangat rendah. Ramai yang menjangkakan DAP tidak akan dapat mengekalkan separuh daripada 14 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum sebelum ini malah ada pihak yang menjangkakan DAP akan dihapuskan sepenuhnya di Johor pada 12 Mac ini, terutamanya dengan wabak Covid-19 yang melanda negara selama lebih daripada dua tahun dan SOP berkempen yang sangat ketat.

Semangat DAP dan Pakatan Harapan berada di paras yang rendah kerana selama lebih daripada dua tahun, rakyat Malaysia telah disuap dengan maklumat palsu, berita palsu dan propaganda negatif bahawa kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan adalah satu kegagalan dan bencana, sedangkan sebaliknya, ia adalah satu permulaan reformasi institusi yang bermula sejak daripada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Kerajaan Pakatan Harapan diberi tempoh lima tahun untuk menunaikan janji pilihan raya, tetapi ia digulingkan secara tidak demokratik dan tidak mengikut perlembagaan hanya selepas 22 bulan.

Tidak mungkin, di mana-mana pun di dunia, untuk sesiapa pun, memenuhi apa yang telah dijanjikan untuk dipenuhi dalam tempoh lima tahun dalam tempoh sependek 22 bulan. Sekiranya dalam setengah pertama penggal lima tahun ini, Pakatan Harapan agak perlahan dalam memenuhi janji-janji pilihan rayanya, proses ini dapat kemudiannya dipercepatkan dalam separuh penggal kedua – namun perkara ini kini mustahil selepas konspirasi Langkah Sheraton menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada bulan Februari 2020.

Masa untuk menentukan sama ada Pakatan Harapan telah gagal dalam usahanya untuk membawa perubahan dalam Malaysia Baharu sepatutnya selepas lima tahun, dalam Pilihan Raya Umum ke-15, bukannya selepas 22 bulan.

Saya mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad pada pertengahan tahun 2019 di mana saya menekankan kepentingan untuk melaksanakan janji-janji pilihan raya Pakatan Harapan, dan atas sebab apa pun, sekiranya ada janji-janji pilihan raya yang tidak dapat dilaksanakan, kerajaan PH mesti berterus terang dengan rakyat dan jelaskan sebab-sebabnya. Mahathir bersetuju dan jawatankuasa untuk menyemak manifesto PH ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan janji pilihan raya PH.

Saya berhasrat untuk bertemu semula dengan Perdana Menteri selepas pertengahan penggal lima tahun kerajaan Pakatan Harapan untuk menyemak semula pelaksanaan janji pilihan raya PH, tetapi perkara ini menjadi mustahil kerana kerajaan Pakatan Harapan telah digulingkan selepas 22 bulan oleh konspirasi Langkah Sheraton.

Selama setengah abad, Malaysia mengalami kemerosotan, kalah kepada satu demi satu negara – Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Vietnam. Kita mencipta Diaspora Malaysia dengan lebih sejuta rakyat Malaysia di seluruh dunia untuk menjadikan negara lain hebat, apabila mereka sepatutnya berada di Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia. Sebaliknya, akibat ketidaksamaan dan ketidakadilan dasar masa lalu, kita mempunyai lebih sejuta rakyat Malaysia daripada semua kaum di luar negara.

Hanyalah khayalan untuk bersembang mengenai kestabilan politik apabila kita memaksa lebih daripada sejuta rakyat Malaysia yang terbaik dan berbakat untuk keluar daripada Malaysia akibat ketidaksamaan dan ketidakadilan dasar-dasar negara. Perlu ada perubahan dalam dasar pembangunan negara bangsa, sama ada dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, mahupun sosial, dan perubahan inilah yang Pakatan Harapan janji untuk laksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Bolehkah kita menghidupkan semula harapan dan keyakinan kepada Pakatan Harapan dan Impian Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia, dan bukannya berakhir sebagai sebuah negara kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal?

Inilah yang dimaksudkan dengan pilihan raya umum negeri Johor pada 12 Mac 2022.

Dalam 55 tahun perjuangan saya dalam politik Malaysia, saya telah difitnah sebagai kononnya anti-Melayu dan anti-Islam. Tiada asas untuk dakwaan sedemikian, kerana seorang rakyat Malaysia yang patriotik, yang yakin dengan identitinya sebagai rakyat Malaysia, tidak boleh menentang mana-mana kaum dan agama di negara ini kerana pra-syarat pertama untuk menjadi “Malaysian First” ialah menerima Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya.

Di bawah kerajaan PH, saya telah dituduh mengkhianati hak dan kepentingan orang Cina di Malaysia berhubung isu Jawi.

Pendirian saya mengenai tulisan Jawi dalam beberapa dekad tidak pernah berubah sama sekali – bahawa ia tidak harus dijadikan mata pelajaran wajib yang dipaksa kepada semua pelajar untuk mempelajari mata pelajaran tersebut, tetapi harus menjadi pilihan sama ada seseorang itu mahu mempelajari Jawi atau tidak.

Saya belajar Jawi pada tahun 1969 semasa saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Pusat Tahanan Muar, tetapi ini adalah pilihan bebas saya, bukan kerana paksaan sesiapa.

Bagaimanakah pendirian saya terhadap pendirian Jawi berubah selama ini, khususnya di bawah kerajaan PH selama 22 bulan?

Satu lagi contoh fitnah, berita palsu dan propaganda negatif yang telah ditaburkan kepada rakyat sejak beberapa tahun lalu ialah dakwaan bahawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah berkata bahawa beliau bukan seorang Cina.

Ini adalah secara terang-terangan fitnah. Guan Eng tidak pernah menafikan bahawa beliau adalah seorang Cina. Beliau menegaskan bahawa beliau adalah Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk orang Cina di Malaysia.

Ramai yang termakan fitnah, berita palsu dan propaganda negatif ini yang kini menjadi ulangan dalam kalangan tentera siber berbayar di media sosial untuk mengelirukan pendapat umum.

Kita mesti menentang dan membongkar pembohongan dan fitnah ini supaya rakyat Malaysia tidak mempunyai tanggapan salah terhadap pemimpin dan parti DAP.

Buat pertama kali dalam sejarah 65 tahun pilihan raya di Malaysia, kita mengadakan pilihan raya di mana sebuah parti politik utama mengangkat sifat "tidak tahu malu" sebagai satu “nilai murni”, di mana pemimpin politiknya tidak perlu mempunyai standard moral atau rasa bersalah kerana menjadikan Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi, di mana pemimpin politik tidak dapat membezakan antara yang betul dan salah, apa itu rasuah dan salah guna kuasa dan apa yang tidak.

Adakah ini akan menjadi nasib Malaysia – jauh daripada menjadi negara hebat bertaraf dunia tetapi ditakdirkan untuk menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal?

Apa yang berlaku di New York dalam perbicaraan jenayah bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng kerana rasuah dalam skandal 1MDB bernilai bilion dolar adalah relevan dengan pilihan raya umum Johor pada 12 Mac 2022.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah ketua kempen UMNO dalam pilihan raya umum Johor kerana kempen ini adalah sebahagian daripada rancangan UMNO untuk memaksa Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan awal supaya beliau boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 atau ke-11.

Beliau telah membawa sifat "tidak tahu malu" dalam politik Malaysia, kerana beliau tidak mempunyai sebarang rasa bersalah selepas menyebabkan skandal berbilion dolar 1MDB yang telah menjadikan Malaysia terkenal di dunia sebagai kleptokrasi.

Di Parlimen, beliau juga berkata tiada satu sen pun dana awam digunakan kerajaan untuk membayar balik hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang telah disanggah sebagai tidak benar oleh Menteri Kewangan sekarang dan sebelum ini, dan ahli parlimen DAP untuk Damansara, Tony Pua, telah memberi notis untuk merujuk Najib kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan dewan.

Najib percaya beliau mendapat sokongan orang Melayu dalam kempen “Apa Malunya BOSSku”, yang akan diuji dalam pilihan raya umum Johor pada 12 Mac. Kini beliau mahu orang bukan Melayu juga menyokongnya dalam kempen “Apa Malunya BOSSku”. .

Saya percaya bahawa semua tamadun dan agama besar di dunia mahu pemimpin mereka, malah rakyat mereka. untuk mempunyai standard moral dan boleh membezakan antara yang benar dan salah – mempunyai perasaan malu apabila mereka kehilangan kompas moral mereka – dan bukan untuk berakhir sebagai sebuah masyarakat di mana pemimpin politik tidak mempunyai rasa malu terhadap rasuah dan salah guna kuasa mereka.

Malaysia sedang berhadapan dengan krisis moral – baik untuk orang Melayu atau bukan Melayu.

Seorang cendekiawan Islam terkenal, yang merupakan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah menulis sebuah buku mengenai “Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu-Islam – Keperluan untuk Transformasi Moral-Etika” di mana beliau berkata beliau “jijik, terkejut dan muak” oleh rasuah dan kepura-puraan pemimpin politik Melayu dan Islam.

Inilah sebabnya saya tidak percaya bahawa orang Melayu akan memberikan sokongan penuh kepada kempen “Apa Malunya BOSSku”.

Sekolah dan masyarakat tidak seharusnya dialihkan daripada tugas utamanya untuk melahirkan generasi akan datang yang dapat membezakan antara perkara yang betul dan salah dan untuk melahirkan generasi yang tidak kehilangan kompas moral dalam kehidupan mereka.

Kita kini sudah melepasi paras separuh jalan dalam kempen PRN Johor, namun, gabungan politik mana yang mendahului masih lagi belum jelas.

Penting untuk kita pastikan kadar keluar mengundi yang tinggi pada 12 Mac, bukan sahaja untuk memastikan DAP dapat mengekalkan ke semua 14 kerusi yang dimenangi dalam Dewan Undangan Negeri sebelum ini, tetapi supaya Pakatan harapan dan “khemah besarnya” juga dapat memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri Johor yang akan datang.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri