Mengapakah parti-parti Barisan Nasional, UMNO, MCA, dan MIC terus berbangga dengan kleptokrasi di Malaysia?
Semalam, saya bertanya bilakah UMNO, MCA, dan MIC akan mengutuk skandal kewangan mega bernilai berbillion ringgit seperti skandal 1MDB dan berhenti berbangga dengan Malaysia menjadi “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”?
Saya telah katakan persoalan paling penting untuk Malaysia hari ini adalah bukan siapa yang akan memenangi pilihan raya yang akan datang, tetapi sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad dari sekarang – sama ada kita akan terus berada dalam hala tuju menjadi sebuah kleptokrasi atau kita ubah proses pembinaan negara bangsa dengan hala tuju baharu dan kembali ke dasar dan prinsip pembangunan negara yang dipersetujui oleh tokoh-tokoh kemerdekaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Apalah gunanya kemenangan dalam pilihan raya umum ke-15 sekiranya negara kita terus mundur dan ditinggalkan oleh lebih banyak negara, akhirnya menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun negara yang ke-100 dalam empat dekad yang akan datang?
Setiap rakyat Malaysia perlu bertanya diri mereka sendiri sama ada mereka akan membiarkan Malaysia untuk menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam masa empat dekad dari sekarang.
Berkaitan dengan persoalan ini, bilakah UMNO, MCA, dan MIC, yang sebelum ini berdiam diri selama sedekad, akan mengutuk skandal mega bernilai berbillion ringgit seperti skandal 1MDB dan berhenti berbangga dengan “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” atau adakah mereka akan terus berdiam diri mengenai perkara yang amat penting ini?
Persoalan ini penting kerana parti-parti BN ini terus-menerus berbangga dengan skandal 1MDB dan hakikat di mana Malaysia menjadi “kleptokrasi dalam bentuk terburuk” dan bukannya berusaha untuk membebaskan negara dari cengkaman kleptokrasi dalam empat tahun yang lepas.
Malah, pada hari Sabtu yang akan datang ini, BN Sabah akan mengadakan konvensyen yang bakal dihadiri 5,000 orang delegasi, di mana salah satu agenda Konvensyen BN Sabah ini adalah “Bicara seorang negarawan”.
Amatlah memalukan negara apabila gabungan politik yang memerintah enam dekad pertama negara menganggap seorang penjenayah yang telah disabitkan bersalah rasuah sebagai seorang “negarawan” – seorang individu yang telah disabitkan bersalah rasuah dan salah guna kuasa dan dihukum penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta.
Gabungan BN yang terdiri dari UMNO, MCA, dan MIC perlu menjelaskan mengapa mereka terus berbangga dengan skandal mega bernilai berbillion dolar 1MDB dan hakikat di mana Malaysia menjadi “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”!