Bilakah UMNO, MCA, dan MIC akan mengecam skandal gergasi bernilai berbillion ringgit seperti skandal 1MDB dan berhenti berbangga dengan “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”

Sejarah mempunyai banyak liku-liku yang aneh dan luar biasa.

Ismail Sabri mungkin bukan orang yang paling sesuai untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Malah, Ismail Sabri sendiri tidak menjangkakan untuk menjadi Perdana Menteri.

Tetapi dia mungkin mampu memainkan peranan yang tidak mampu dimainkan Perdana Menteri yang lain dalam setengah abad yang lepas.

Saya telah katakan persoalan paling penting untuk Malaysia hari ini adalah bukan siapa yang akan memenangi pilihan raya yang akan datang, tetapi sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad dari sekarang – sama ada kita akan terus berada dalam hala tuju menjadi sebuah kleptokrasi atau kita ubah proses pembinaan negara bangsa dengan hala tuju baharu dan kembali ke dasar dan prinsip pembangunan negara yang dipersetujui oleh tokoh-tokoh kemerdekaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Apalah gunanya kemenangan dalam pilihan raya umum ke-15 sekiranya negara kita terus mundur dan ditinggalkan oleh lebih banyak negara, akhirnya menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun negara yang ke-100 dalam empat dekad yang akan datang, atau lebih buruk lagi, menjadi suatu kleptokrasi yang lebih teruk?

Tiba-tiba, Ismail Sabri kini mempunyai peranan yang penting dan utama dalam pembinaan negara bangsa, untuk menentukan sama ada Malaysia menjadi sebuah negara gagal dalam masa empat dekad dari sekarang.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, telah mengatakan semalam yang dia tidak tahu apa-apa mengenai perjumpaan di rumah Tajuddin Abdul Rahman mengenai usaha untuk Zahid mengundurkan diri seawal 2020 di mana Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri Najib Razak telah menarik diri dari plot ini sebelum ia dapat dilaksanakan.

Kedudukan Zahid kini tidak dapat ditentukan tetapi saya bukanlah ahli UMNO dan saya tidak mahu mencampuri hal ehwal UMNO.

Tetapi sama ada Malaysia akan mempunyai kleptokrat besar sebagai Perdana Menteri ke-10 atau ke-11 negara bukan satu hal ehwal dalaman UMNO atau Barisan Nasional semata-mata, tetapi suatu perkara yang penting untuk masa hadapan Malaysia, anak-anak kita, dan juga cucu-cucu kita.

Setiap rakyat Malaysia perlu bertanya diri mereka sama ada mereka akan membiarkan Malaysia menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam masa empat dekad.

Berkenaan dengan persoalan ini, bilakah UMNO, MCA, dan MIC, yang telah senyap selama lebih daripada satu dekad, akan mengecam skandal gergasi bernilai berbillion ringgit seperti skandal 1MDB dan berhenti berbangga dengan kejadian negara disamakan dengan “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” atau adakah mereka akan terus berdiam diri dengan isu penting sebegini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri