Adakah mesyuarat Kabinet pada hari esok akan mengeluarkan arahan pembekuan peningkatan gaji dan elaun di semua GLC dan GLIC sehinggalah ekonomi pulih dan untuk memecat mana-mana lantikan GLC dan GLIC yang mengingkari arahan ini?
Esok, adakah mesyuarat Kabinet pada hari esok akan mengeluarkan arahan pembekuan peningkatan gaji dan elaun di semua syarikat berkenaan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkenaan kerajaan (GLIC) sehinggalah ekonomi pulih dan untuk memecat mana-mana lantikan GLC dan GLIC yang mengingkari arahan ini dan kemudiannya membentangkan keputusan Kabinet ini ke Parlimen pada 18 Julai untuk dipersetujui Parlimen?
Perdana Menteri, Ismail Sabri, ada banyak perkara yang perlu diselesaikannya esok.
Sekiranya dia tidak membangkitkan isu ini, adakah akan ada mana-mana Menteri yang akan berbuat demikian untuk memastikan Kabinet dapat memimpin usaha berjimat dalam waktu yang sukar sekarang ini?
Sudah tentu, salah satu perkara yang berlegar dalam fikiran Ismail pastinya adalah Pilihan Raya Umum ke-15.
Saya telah katakan sebelum ini, persoalan yang lebih penting yang menghantui Malaysia bukanlah mengenai siapa yang akan memenangi pilihan raya umum yang akan datang, sebaliknya, persoalan mengenai sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara empat dekad dari hari ini.
Apalah gunanya kemenangan dalam pilihan raya umum ke-15 sekiranya negara kita terus mundur dan ditinggalkan oleh lebih banyak negara, akhirnya menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun negara yang ke-100 dalam empat dekad yang akan datang, atau lebih buruk lagi, menjadi suatu kleptokrasi yang lebih teruk?
Adakah Kabinet sedia ada ini mampu untuk memimpin negara dalam usaha muhasabah ini, untuk mengeluarkan negara kita dari ke arah sebuah kleptokrasi dan melonjak semula semangat negara untuk memenuhi aspirasi Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia?
Adakah Kabinet bersedia untuk memimpin usaha kebangsaan untuk mencari jawapan kepada persoalan: “Di manakah silapnya?” dengan usaha pembinaan negara bangsa kita, sehingga kita semakin lama semakin ditinggalkan di belakang pelbagai negara, sama ada dari segi politik, ekonomi, mahupun pendidikan?
Mungkin, kesilapan terbesar usaha pembinaan negara bangsa terjadi dengan penerusan Dasar Ekonomi Baharu pada tahun 1990 yang sepatutnya digantikan dengan dasar yang berasaskan kepada keperluan untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum, agama, atau kawan, apabila berlakunya rasuah, salah guna kuasa, dan pecah amanah yang berlanjutan sehingga membawa kepada negara kita menjadi “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” dengan skandal 1MDB yang bernilai berbillion dolar.
Adakah Kabinet bersedia untuk memimpin negara kita untuk kembali kepada prinsip dan dasar pembangunan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, memerangi rasuah, hormat terhadap hak asasi manusia, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dengan kebebasan beragama untuk semua agama yang lain, dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.
Ledakan di dalam UMNO menunjukkan sebegitu sukar untuk Menteri, Ahli Parlimen, dan pemimpin politik untuk membezakan antara perkara yang benar dan yang salah dan untuk mengecam skandal 1MDB, rasuah, dan kleptokrasi tanpa sebarang perasaan ragu-ragu.
Sehingga kini, terdapat mereka yang cuba berbangga dengan skandal kewangan, rasuah, dan kleptokrasi ini yang dapat dilihat melalui kempen “Malu Apa Bossku”, yang bertentangan dengan setiap prinsip dan dasar yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Saya menyokong pakar ekonomi politik, Edmund Terence Gomez, yang mengatakan sudah tiba masanya untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempunyai hubungan yang terpisah dengan pihak Eksekutif kerajaan, terutamanya dalam hal ehwal pelantikan pesuruhjaya tertinggi badan anti-rasuah tersebut.
Beberapa pemimpin politik terpalit baru-baru ini apabila seorang saksi memberikan keterangan mengenai lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) semasa perbicaraan rasuah presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.
Adakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junai Jaafar dan Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Azalina Othman Said, bersedia untuk bekerjasama untuk mempersediakan kertas perundangan yang diperlukan untuk memisahkan hubungan pihak SPRM dengan pihak Eksekutif dalam sidang Parlimen yang akan berlangsung pada 18 Julai ini?