Semua parti politik, NGO, persatuan pelajar di seluruh negara perlu mengadakan sesi “Di manakah silapnya?” untuk mencari punca mengapa Malaysia, dalam lebih enam dekad usaha pembinaan negara, gagal mencapai potensinya untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia dan apakah langkah untuk kita ke hadapan
Saya mencadangkan agar semua parti politik, NGO, persatuan pelajar di seluruh negara perlu mengadakan sesi “Di manakah silapnya?” untuk mencari punca mengapa Malaysia, dalam lebih enam dekad usaha pembinaan negara, gagal mencapai potensinya untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia dan apakah langkah untuk kita ke hadapan.
Semasa Malaya, kini Malaysia, mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957, Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman menyatakan harapan bahawa negara baharu ini akan menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”?
Kita kini berada di tahun ke-65 membina negara kita.
Adakah kita berada di peringkat akhir untuk mencapai wawasan Tunku di mana Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” atau adakah kita telah kehilangan wawasan ini dan sebaliknya menyumbang kepada dunia menjadi “dunia yang sukar dan terganggu" dengan menjadi sebuah kleptokrasi?
Pada tahun 1971, Perdana Menteri kedua, Tun Razak memperkenalkan Rukun Negara dan DEB.
Lima puluh satu tahun yang lalu pada Februari 1971, saya mengisytiharkan pendirian DAP mengenai DEB di Parlimen:
“Kami komited untuk menghapuskan kemiskinan dan kemunduran ekonomi tanpa mengira kaum. Kami mahu mewujudkan komuniti rakyat Malaysia tanpa kelas berasaskan semangat setiakawan, kerjasama dan khidmat, di mana tiada eksploitasi manusia oleh manusia, kelas oleh kelas atau kaum oleh kaum.
“Kami menyokong mana-mana langkah yang akan membantu nasib golongan miskin Melayu. Tetapi kami sangat menentang penggunaan hak istimewa Melayu untuk memperkayakan orang Melayu kaya baru untuk menjadikan mereka lebih kaya, manakala sebilangan besar petani dan orang miskin dieksploitasi seperti biasa…
“Masalah di Malaysia adalah rumit oleh sebab satu kejadian kebetulan berganda. Pertama, pembahagian kelas di negara kita kelihatan sangat kerap bertepatan dengan pembahagian kaum, kedua, jurang pendapatan dan produktiviti antara kawasan bandar dan luar bandar nampaknya juga selari mengikut garis perkauman kerana di kawasan bandar kebanyakannya didiami orang bukan Melayu manakala sebahagian besar orang Melayu hidup di kawasan luar bandar.
“Ketaksamaan dan ketidakseimbangan ekonomi bandar-luar bandar sebegini, bagaimanapun, bukanlah fenomena yang tersendiri bagi Malaysia. Jurang sosial, ekonomi dan budaya yang sama seperti antara kawasan luar bandar dan bandar juga dihadapi oleh negara membangun yang lain. Ini sememangnya masalah sejagat, mencerminkan kadar proses sosio-ekonomi yang lebih perlahan di luar bandar berbanding dengan kawasan bandar.
“Kunci untuk merapatkan ketidakseimbangan bandar-luar bandar ini adalah untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih besar dan pantas di kawasan luar bandar, dan bukannya dengan melaksanakan doktrin jahat, merosakkan dan bersifat perkauman yang menyamakan jurang ekonomi dan ketidakseimbangan dengan perpecahan kaum di negara ini.
“Sebarang percubaan untuk mengenakan teori dan penyelesaian yang bersifat perkauman kepada masalah ekonomi golongan miskin pada asasnya adalah berbahaya kerana ia akan melagakan di antara satu kaum dengan yang lain, yang mesti memuncak dengan bencana perkauman. Ia juga akan diasaskan pada kepalsuan yang kononnya mereka yang berada adalah semuanya orang bukan Melayu, manakala yang miskin pula semuanya Melayu.
“Masalah asas di Malaysia adalah masalah ekonomi dan kelas, bukan masalah perkauman.”
Pakar ekonomi veteran dan pengasas Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), an Sri Kamal Salih menggesa pemansuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menggantikannya dengan dasar berasaskan keperluan untuk membaik pulih ekonomi.
Dia berkata "Hanya 10%, yang merupakan orang kaya, telah mendapat manfaat daripada DEB. Selebihnya, seperti M20 dan B40, berhadapan kesusahan. Jurang pendapatan terus melebar selepas pandemik.”
Kamal menegaskan bahawa terdapat dianggarkan 800,000 rakyat Malaysia yang menganggur, di mana kira-kira 30% daripadanya adalah graduan yang "tiada tempat untuk ditujui".
Dia juga berkata kira-kira 90% pekerja di Malaysia mempunyai pekerjaan yang tidak sepadan, dengan orang berada di kedudukan atau bidang kerja yang tidak kena dengan latihan yang diterima mereka.
“Kita perlu mengatasi perkara ini. Juga terlalu banyak campur tangan politik dalam ekonomi. Ia tidak produktif.”
Nazir Razak, anak kepada perdana menteri kedua Malaysia yang merupakan arkitek Dasar Ekonomi Baru (DEB) Abdul Razak Hussein, berkata banyak prinsip dalam DEB tidak lagi berfungsi dan sebaliknya membawa kepada politik yang tempang dan perpecahan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Dia berkata status quo sedia ada tidak dapat dipertahankan lagi dan bertanya sama ada pemimpin negara mempunyai inisiatif untuk membangun dan melaksanakan sistem politik, ekonomi, dan sosial baharu kerana DEB tidak dimaksudkan sebagai penyelesaian kekal.
Bekas Menteri Besar Perlis dan bekas Presiden Dewan Negara, Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh berkata Malaysia berada di landasan untuk menjadi negara terburuk di dunia melainkan pemimpinnya mengubah cara mereka memimpin negara.
Dia berkata, masalah – daripada penjagaan kesihatan, kepada ekonomi dan politik – yang melanda negara akan menjadi lebih teruk melainkan satu perubahan berlaku tidak lama lagi.
Dia menyalahkannya pada sistem pendidikan, yang gagal melahirkan pemimpin yang sesuai untuk era globalisasi baharu dan kemunculan ancaman besar, seperti Covid-19.
Kita telah gagal untuk mencapai Wawasan 2020 untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu dan maju, sebuah Bangsa Malaysia, yang disemai dengan nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dan saksama dari segi ekonomi, progresif dan makmur, dan memiliki ekonomi yang berdaya saing, dinamik, teguh dan berdaya tahan.
Kita telah gagal mencapai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 untuk berada di atas kedudukan purata global dan berada dalam satu pertiga teratas negara dalam standard pendidikan antarabangsa.
Slogan 1Malaysia telah digantikan dengan skandal 1MDB.
Malaysia telah hilang arah dalam pembinaan negara selepas 65 tahun, gagal menjadi harimau ekonomi atau negara hebat bertaraf dunia.
Kita telah meningkatkan pendapatan per kapita negara kita sebanyak 30 kali ganda dari 1970 hingga ke hari ini tetapi dalam pada masa yang sama, rasuah dan skandal kewangan telah meningkat 63,000 kali ganda dalam tempoh yang sama, seperti yang digambarkan skandal Bank Rakyat yang bernilai RM100 juta pada tahun 1979, skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) pada 1983 yang bernilai RM2.5 billion yang kemudiannya diikuti oleh skandal 1MDB dalam dekad yang lepas yang bernilai RM42 billion.
Dalam tempoh setengah abad yang lepas, Malaysia ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Vietnam.
Adakah kita akan ditinggalkan di belakang China dan Indonesia sebelum penghujung dekad ini dalam penerbitan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI)?
Adakah kita akan ditinggalkan dengan lebih banyak negara dari segi pembangunan ekonomi, mungkin kepada Indonesia dan Filipina, menjelang 2040 atau 2050 – jauh sebelum ulang tahun ke-100 Malaysia?
Bolehkah kita tetapkan semula dan kembali kepada dasar dan prinsip pembinaan negara bangsa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.
“Di manakah Silapnya?” harus menjadi soalan yang ditanya oleh setiap rakyat Malaysia yang patriotik, tanpa mengira kaum, agama, wilayah, umur atau jantina jika kita mahu memenuhi potensi Malaysia untuk menjadi negara hebat bertaraf dunia.