Ismail Sabri malu dengan peningkatan melampau elaun Pengerusi dan Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd sehingga membuat pusingan-U mengenai harga siling ayam namun perkara ini masih tidak mencukupi
Perdana Menteri, Ismail Sabri, telah malu dengan peningkatan melampau elaun Pengerusi dan Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd sehingga membuat pusingan-U mengenai harga siling ayam dan membuat pengumuman yang kerajaan tidak akan membenarkan apa-apa peningkatan tarif air dan elektrik di Semenanjung Malaysia, namun perkara ini masih lagi tidak mencukupi.
Pusingan-U ini tidak dapat memberikan alasan untuk peningkatan melampau elaun tahunan Pengerusi FGV Holdings Bhd dari RM300,000 ke RM480,000 dan peningkatan elaun enam ahli Lembaga Pengarahnya dari RM150,000 kepada RM120,000, dan saya mengulangi seruan saya kepada Kabinet yang bermesyuarat pada hari Rabu hadapan untuk mengeluarkan arahan untuk membekukan kenaikan gaji dan elaun di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan untuk memecat mana-mana lantikan GLC dan GLIC yang mengingkari arahan ini.
Arahan Kabinet ini kemudiannya perlu dibentangkan ke Parlimen pada 18 Julai untuk mendapat persetujuan Parlimen.
Adakah ada cukup Menteri untuk membuat keputusan sebegini pada hari Rabu hadapan?
Pengerusi FGV Holdings Bhd, Dato’ Zulkifli Abd Wahab dan enam ahli Lembaga Pengarah FGV juga perlu mengumumkan yang mereka tidak akan menerima peningkatan elaun yang keterlaluan sebegini yang diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan dua hari yang lepas.
Amatlah tidak masuk akal untuk Perdana Menteri mengumumkan tiga hari yang lepas yang keluarga yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan menerima RM100 tambahan manakala penerima BKM yang berstatus bujang akan menerima RM50 tambahan untuk membantu mereka berhadapan dengan kos sara hidup yang meningkat, di mana harga ayam dan telur dijangkakan melonjak pada bulan hadapan selepas harga siling dimansuhkan pada 1 Julai, manakala Pengerusi dan Lembaga Pengarah GLC dan GLIC pula menerima peningkatan gaji dan elaun yang melampau.
Kabinet dan Parlimen perlu menyampaikan mesej yang tegas dan jelas yang sekarang adalah masa untuk kita mengetatkan tali pinggang masing-masing dan bukannya masa untuk membazir.
Apakah GLC dan GLIC yang sedang merancang untuk meningkatkan gaji dan elaun pengerusi dan ahli-ahli lembaga pengarah mereka?
Saya akan bertanya kepada Perdana Menteri untuk mendedahkan gaji dan elaun pengurusan tertinggi di GLC dan GLIC utama negara dalam sidang Parlimen selama 14 hari bermula 18 Julai sehingga 4 Ogos 2022 yang akan datang.