Persoalan yang ditimbulkan oleh memoir Chooi Mun Sou “Malaysia My Home – Quo Vadis” mengenai masa hadapan Malaysia
Saya telah membaca memoir Chooi Mun Sou, “Malaysia My Home – Quo Vadis” yang telah menimbulkan beberapa persoalan penting mengenai masa hadapan Malaysia. Buku ini adalah antara yang saya anggap sebagai perlu yang perlu dibaca oleh semua rakyat Malaysia.
Pertamanya, sama ada Jalil Ibrahim, auditor dalaman Bank Bumiputra yang dihantar ke Hong Kong untuk menjadi penolong pengurus besar Bumiputera Malaysia Finance (BMF) untuk mengawal skandal BMF tetapi sebaliknya dibunuh di Hotel Regent, Hong Kong pada tahun 1983 telah mati dengan sia-sia – dengan lebih ramai bumiputera menjadi semakin kaya tetapi korup dan terlibat dengan skandal yang bernilai berbillion dollar seperti skandal 1MDB atas nama “bangsa dan negara”.
Persoalan ini amat relevan hari ini apabila semakin ramai rakyat Malaysia yang bertanyakan, di manakah silapnya dalam usaha pembinaan negara bangsa kita, mengapakah daripada sepatutnya menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, kita sebaliknya berada dalam bahaya untuk terus ditinggalkan di belakang lebih banyak negara di masa hadapan – ditinggalkan di belakang China, India, Indonesia, dan Filipina!
Bolehkah kita tetapkan semula dan kembali kepada dasar dan prinsip pembinaan negara bangsa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.
Keduanya, mengapakah kita masih tidak mengambil iktibar daripada skandal BMF yang melibatkan sejumlah RM2.5 billion pada tahun 80-an ini? Mungkin tidak akan ada skandal berbillion dollar 1MDB yang dikatakan sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” dalam dekad yang lepas sekiranya cadangan-cadangan Jawatankuasa Siasatan BMF yang diketuai oleh Ahmad Noordin telah dilaksanakan oleh kerajaan ketika itu.
Jawatankuasa Siasatan BMF mengenal pasti suatu “rancangan tersusun” oleh pelbagai pegawai tertinggi BMF dan George Tan untuk menggunakan dana Bank Bumiputera untuk mengayakan diri mereka sendiri di Hong Kong semasa permulaan ledakan pasaran hartanah pada tahun 1979, tetapi adakah pemimpin tertinggi UMNO juga terlibat?
Jawatankuasa ini mencadangkan supaya siasatan mendalam dijalankan dan seruan saya supaya suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini tidak diendahkan.
Seperti yang saya katakan dalam ucapan saya di Parlimen pada bulan Mac 1986, dua kejadian telah membuatkan mustahil untuk skandal BMF ini disorokkan, pertamanya, skandal BMF ini berlaku di Hong Kong yang terletak di luar Malaysia, dan perkara ini menghalang pihak berkuasa untuk mempengaruhi kejadian dan perkembangan yang berlaku; dan keduanya, pembunuhan Jalil Ibrahim, yang membawa kepada Polis Hong Kong merampas dokumen-dokumen BMF dan menemui skandal BMF.
Namun, seperti yang saya katakan di Parlimen pada tahun 1986, kisah penuh skandal BMF ini masih belum diketahui walaupun Jawatankuasa Siasatan BMF telah membuka jalan untuk siasatan skandal BMF ini.
Banyak perkara mengenai skandal ini kekal tersembunyi, seperti sama ada terdapat orang di belakang skandal BMF ini, dan jika ada, siapa; ke manakah dana RM2.5 billion ini pergi, dan siapakah orang yang telah mendapat manfaat daripada hasil haram ini.
Ketiga, kenapakah ketiga-tiga ahli Jawatankuasa Siasatan BMF – Tan Sri Ahmad Noordin, Chooi Mun Sou, dan Ramli Ibrahim – tidak diangkat menjadi contoh tauladan kepada rakyat Malaysia?
Komitmen Chooi kepada integriti dan untuk “membuat perkara yang betul – bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga, firma, rakan sekerja, dan negara” adalah satu perkara yang patut dipuji.
Dia telah memetik kata-kata Thomas More, Gandhi, dan Hakim Bao yang merupakan simbol kepada maruah, integriti, dan kejujuran.
Dia mengingatkan para peguam kepada Seksyen 42(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976 yang mengatakan “Tujuan Majlis Peguam adalah untuk – untuk mempertahankan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau kepentingan ahlinya, tidak terpengaruh oleh perasaan takut atau kasihan”.
Dia juga mempunyai satu lukisan tegas Hakim Bao dengan pandangan yang tajam di pejabatnya Chooi & Company.
Dia telah menceritakan di dalam bukunya yang dia memberitahu rakan kongsinya yang dia bersedia untuk meletakkan jawatan untuk tidak memberikan apa-apa kesan kepada mereka hasil daripada penglibatannya dalam Jawatankuasa Siasatan BMF, tetapi sebaliknya rakan kongsinya memberikan sokongan penuh mereka.
Keempat, adik-beradik Chooi semuanya telah berpindah ke luar negara tetapi Chooi memilih untuk kekal di Malaysia kerana Malaysia adalah rumahnya, walaupun dia bertanyakan, “Quo Vadis?”.
Kepercayaannya boleh dirumuskan dengan perenggan berikut dari bukunya:
“... saya telah mengalami harapan, yang diikuti dengan kehilangan, diikuti dengan harapan, dan kehilangan sekali lagi, dalam perjalanan saya sepanjang hidup saya. Walaupun dengan semua perkara ini, saya telah menyaksikan kedaulatan undang-undang mereput. Inilah perkara bahaya yang perlu kita lawan, kerana perkara ini akan membuka kepada pelaksanaan undang-undang secara sesuka hati dan tidak masuk akal. Perkara inilah yang akan merendahkan keabsahan sesebuah kerajaan dan akhirnya membawa kepada sebuah negara gagal di suatu hari nanti.”
Dengan Malaysia dan seluruh dunia terbuka semula selepas pandemik Covid-19 selama dua tahun sebelum ini beralih kepada fasa endemik, bolehkah Malaysia mengelakkan daripada berlakunya Diaspora Malaysia kedua dengan menghidupkan semula harapan dalam kalangan rakyat Malaysia yang negara ini masih dapat diselamatkan dan bukannya sedang menuju pantas ke arah sebuah negara gagal?
Berikut adalah tiga perenggan terakhir buku Chooi:
“Saya masih ingat 65 tahun yang lepas, semasa saya dan Theresa meraikan kemerdekaan di Royal Festival Hall di London, kegembiraan kami mengenai kelahiran negara dan harapan tinggi untuk masa hadapan. Saya mempunyai optimisme yang tinggi yang kita mampu untuk benar-benar bersatu sebagai sebuah negara di mana kaum tidak akan memecahkan hubungan kita. Malaya, kini Malaysia, adalah rumah dan negara saya. Saya menerima yang baik bersama dengan yang buruknya, dan saya tidak akan berputus asa. Saya akan terus berharap dan kekal berani untuk berjuang demi masa hadapan yang lebih baik.
“Pilihan raya umum yang akan datang perlu diadakan sebelum Mei 2023 dan saya hanya mampu berdoa supaya permintaan saya untuk sebuah negara di mana kerajaannya memenuhi janji-janji pilihan rayanya yang telah dibuat tanpa pilih kasih; rasuah dihapuskan dari semua aspek kehidupan; rakyat Malaysia di setiap peringkat kehidupan mampu untuk menyertai apa-apa bidang yang diingini berdasarkan merit mereka dan bukannya atas dasar kaum atau agama; parti politik meninggalkan kaum dan agama daripada menjadi kriteria keahlian mereka dan mewakili semua rakyat Malaysia; setiap rakyat Malaysia diajar di sekolah untuk mencintai dan menghormati negara dan antara satu sama lain; dan untuk kita semua kekal berbeza tetapi bersatu-padu, akhirnya menjadi kenyataan.
“Adakah mungkin untuk perkara ini untuk tercapai? Untuk ini, saya mencari ketenangan dalam kata-kata dari Injil, Markus 10:27, bahawa 'segala sesuatu mungkin bagi Tuhan.”