Jalil Ibrahim mengorbankan nyawanya demi bangsa dan negara 39 tahun yang lepas sedangkan ada yang lain yang menjadi kaya, terkenal, korup, dan terlibat dalam skandal mega bernilai berbillion dolar seperti skandal 1MDB di atas nama “bangsa dan negara”
Membaca memoir peguam Chooi Mun Sou yang bertajuk “Malaysia My Home – Quo Vadis”, saya tersentuh dengan surat yang tidak lengkap ditulis oleh Jalil Ibrahim kepada isteri dan anaknya sebelum dia dibunuh di Hotel Regent, Hong Kong pada 18 Julai 1983:
“Masalah di Hong Kong ini bukanlah berpunca dari saya dan mulai hari ini, saya akan mengutamakan diri dan keluarga sendiri dan meletakkan kepentingan Bank, bangsa, dan negara di belakang saya. Sekiranya pengarah-pengarah tersebut memikirkan kepentingan Bank, bangsa, dan negara, mereka tidak akan melakukan kesilapan sebegini. Saya telah terlalu banyak berkorban dan menderita kerana kesilapan mereka…”
Jalil Ibrahim mengorbankan nyawanya demi bangsa dan negara 39 tahun yang lepas sedangkan ada yang lain yang menjadi kaya, terkenal, korup, dan terlibat dalam skandal mega bernilai berbillion dolar seperti skandal 1MDB di atas nama “bangsa dan negara”.
Membaca semula mengenai penderitaan dan pembunuhan Jalil Ibrahim di Hong Kong yang berkaitan dengan skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dalam memoir Chooi menguatkan kepercayaan saya yang kita sudah berada dalam kedudukan yang sangat terlambat untuk menyelamatkan “bangsa dan negara” daripada kebinasaan, memandangkan skandal kewangan kini telah meningkat berkali ganda untuk menjadi skandal mega bernilai berbillion dolar, sehingga memberikan Malaysia dengan reputasi buruk sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.
Di manakah silapnya untuk Malaysia?
Adakah mungkin untuk rakyat Malaysia menyelamatkan “bangsa dan negara” untuk kembali kepada prinsip-prinsip dan dasar pembinaan negara bangsa yang bersifat bertolak ansur seperti yang dipersetujui oleh tokoh penubuhan negara di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara untuk mencapai Impian Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia?
Selama lebih daripada setengah abad, Malaysia terus ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, dan Vietnam, dan kita terlepas peluang untuk menjadi harimau ekonomi.
Sekiranya kita tidak mencari semula arah untuk memenuhi potensi kita, akan berlaku Diaspora Malaysia kedua, di mana rakyat Malaysia yang berbakat akan berpindah ke seluruh dunia untuk menjadikan negara lain yang hebat, dan kita akan terus ketinggalan di belakang dalam dekad-dekad yang mendatang – malah ditinggalkan di belakang Indonesia dan juga Filipina.
Mampukah kita untuk menetapkan semula dan kembali kepada dasar dan prinsip seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – monarki berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, hormat kepada hak asasi manusia dan perpaduan masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya.
Baru-baru ini, pakar ekonomi veteran dan pengasas Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Kamal Salih menggesa pemansuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menggantikannya dengan dasar berasaskan keperluan untuk membaik pulih ekonomi.
Dia berkata penetapan semula ekonomi bermakna menghapuskan dasar perlindungan dan menukar gear ke arah produktiviti tinggi.
Kamal berpendapat DEB telah "tamat tempoh" dari segi manfaatnya, di mana terlalu bergantung kepada dasar itu hanya akan merugikan negara.
Dia berkata "Hanya 10%, yang merupakan orang kaya, telah mendapat manfaat daripada DEB. Selebihnya, seperti M20 dan B40, berhadapan kesusahan. Jurang pendapatan terus melebar selepas pandemik.”
Kamal menegaskan bahawa terdapat dianggarkan 800,000 rakyat Malaysia yang menganggur, di mana kira-kira 30% daripadanya adalah graduan yang "tiada tempat untuk ditujui".
Dia juga berkata kira-kira 90% pekerja di Malaysia mempunyai pekerjaan yang tidak sepadan, dengan orang berada di kedudukan atau bidang kerja yang tidak kena dengan latihan yang diterima mereka.
“Kita perlu mengatasi perkara ini. Juga terlalu banyak campur tangan politik dalam ekonomi. Ia tidak produktif.”
Nazir Razak, anak kepada perdana menteri kedua Malaysia yang merupakan arkitek Dasar Ekonomi Baru (DEB) Abdul Razak Hussein, berkata banyak prinsip dalam DEB tidak lagi berfungsi dan sebaliknya membawa kepada politik yang tempang dan perpecahan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Dia berkata status quo sedia ada tidak dapat dipertahankan lagi dan bertanya sama ada pemimpin negara mempunyai inisiatif untuk membangun dan melaksanakan sistem politik, ekonomi, dan sosial baharu kerana DEB tidak dimaksudkan sebagai penyelesaian kekal.
Kita baru sahaja kehilangan seorang tokoh pendidikan terkemuka, Tun Arshad Ayub, yang merupakan pengarah pengasas Institut Teknologi Mara (ITM) dari tahun 1966 sehingga 1975 sebelum institut tersebut dinaikkan taraf menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM), di mana dia menekankan supaya Bahasa Inggeris dikekalkan sebagai bahasa pengantar di ITM.
Arshad Ayub adalah contoh terbaik seorang nasionalis Melayu yang sebenar yang mengutamakan identitinya sebagai seorang rakyat Malaysia, yang menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk berbilang kaum yang perlu menggunakan nilai-nilai terbaik daripada pelbagai warisan budaya yang bertemu di Malaysia.
Bolehkan rakyat Malaysia mengangkat diri kita sendiri untuk menetapkan semula dasar dan prinsip pembinaan negara bangsa kita sebagai sebuah masyarakat majmuk untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan membuktikan yang patriot seperti Jalil Ibrahim tidak terkorban secara sia-sia demi “bangsa dan negara” di Hong Kong pada tahun 1983?