Lee Lam Thye menceritakan penipuan besar di dalam autobiografinya dan sebab dia berhenti dari politik di ambang pilihan raya umum 1990 akan terus menjadi misteri
Lee Lam Thye menceritakan penipuan besar di dalam autobiografinya dan sebab dia berhenti dari politik di ambang pilihan raya umum 1990 akan terus menjadi satu misteri.
Dia menyalahkan saya sebagai Setiausaha Agung DAP pada tahun 1990 dan juga beberapa orang rakan parti yang lain kerana mengkhianatinya dan membawa kepada pengumuman persaraan politiknya pada 29 September 1990.
Dia mengatakan yang dia dimaklumkan oleh pimpinan parti yang dia akan dibuang dari kerusi Parlimen Bukit Bintang di mana dia telah berkhidmat selama empat penggal, dan “Saya tidak dimaklumkan pun di mana saya akan diarahkan bertanding”.
Perkara ini adalah satu penipuan besar kerana saya tidak pernah memberitahu Lam Thye yang dia tidak boleh bertanding di Bukit Bintang lagi, dan tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk Lam Thye bertanding di mana-mana kerusi selain daripada Bukit Bintang sebelum pilihan raya umum 1990.
Amat mengecewakan apabila Lam Thye membuat penipuan sebegini di dalam autobiografinya untuk menjelaskan mengapa dia bersara dari politik. Sehingga hari ini, 32 tahun kemudian, saya masih tidak tahu mengapa Lam Thye berhenti dari politik di ambang pilihan raya umum 1990.
Saya telah menyemak semula rekod. Sehari selepas Lam Thy mengumumkan persaraannya dari politik dan pergi ke luar negara, saya telah mengatakan perkara berikut di satu majlis DAP di Batu Pahat:
“Terdapat cubaan untuk sekian lamanya untuk mewujudkan perpecahan di antara kita semua kerana perbezaan gaya politik masing-masing, tetapi saya sentiasa menganggap gaya politik kita semua yang berbeza ini melengkapi antara satu sama lain, dan DAP yang ada hari ini adalah terbentuk daripada gaya-gaya politik berbeza kita semua ini…
“Saya telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat pertama saya dengannya pada 19 September, di mana dia memaklumkan yang dia tidak berniat untuk menarik semula perletakan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, dan dia juga akan mengumumkan persaraannya dari politik.
“Sepuluh hari selepas pertemuan ini merupakan hari yang menyiksakan untuk dia dan juga saya. Saya telah adakan empat mesyuarat dengannya untuk memujuknya untuk mengubah fikiran, bukan sahaja untuk kembali sebagai Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, tetapi untuk terus menyumbangkan pimpinan dan khidmat politiknya.
“Saya juga telah membuat beberapa perbincangan melalui telefon mengenai perkara ini, dan selepas satu panggilan telefon sewaktu tengah malam pada hari Khamis, saya fikir saya telah melihat cahaya di penghujung terowong dan Lam Thye bersedia untuk mempertimbangkan semula kedudukannya.
“Perkara ini terbukti salah, dan pada hari Sabtu, Lam Thye mengumumkan yang dia akan bersara dari politik.”
Pengumuman persaraan politik Lam Thye dibuat dalam bulan September 1990 yang mencabar, di mana 10,000 orang telah berdemonstrasi mengenai isu tol di Cheras; Tan Kok Wai, Ahli Parlimen DAP Cheras, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Lam Thye meninggalkan mesyuarat DAP Wilayah Persekutuan dan kemudiannya meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan.
Pengumuman Lam Thye ini dibuat kurang daripada seminggu sebelum pembubaran Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum ke-lapan pada 21 Oktober 1990.