Perkara terbaik, bermaruah, dan paling patriotik yang boleh dilakukan Najib Razak adalah dengan menolak sebarang idea kedatangan semula politiknya sebagai Perdana Menteri bagi menyelamatkan Malaysia dari dimalukan lagi di seluruh dunia

Saya puji kenyataan terus terang, tepat, patriotik, dan berani Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, susulan daripada ucapan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang menitahkan bahawa semua agama mengecam rasuah yang merupakan “barah yang dapat merosakkan tamadun” dalam istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam.

Tidak ada masa yang lebih tepat selain sekarang untuk mengingatkan rakyat Malaysia mengenai bala yang disebabkan oleh rasuah, dengan perkembangan-perkembangan berikut:

  1. Testimoni di mahkamah seorang bekas pegawai Kementerian Kewangan yang menyatakan Malaysia masih menanggung hutang AS$3 billion (RM13.3 billion) hasil daripada kerjasama di antara 1MDB dan Aabar Investments;
  2. Kenyataan dari Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, yang mengatakan jumlah keseluruhan aset yang dirampas dan dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia tahun lepas bernilai kira-kira RM5.1 billion, di mana 99.57 peratus darinya adalah berhubung kait dengan 1MDB;
  3. Skandal 1MDB digelarkan sebagai “kleptokrasi dalam bentuk terburuk” oleh bekas Pendakwa Raya Amerika Syarikat, Jeff Sessions, dalam Forum Global mengenai Pemulihan Aset di Washington pada bulan Disember 2017;
  4. Pendedahan terkini di mana bekas Ketua Setiausaha Negara dibayar RM30,000 untuk tidak berbuat apa-apa mengenai 1MDB dan pendedahan mengejutkan yang menyatakan perkara ini bukanlah kes terpencil di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC);
  5. Hala tuju Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dalam 27 tahun yang lepas, yang mana jika tidak diperbetulkan, akan menyaksikan Malaysia menjadi negara yang paling korup di Asia; dan
  6. Pelantikan Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pada 30 Mei 2022 untuk menggantikan Edmund Terence Gomez – yang meletakkan jawatan sebagai tanda protes terhadap isu Azam Baki pada bulan Disember tahun lepas – sebagai ahli baharu Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM. Apakah gunanya melantik Mohamad Salim, yang merupakan naib pengerusi eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), sedangkan salah satu perkara mendesak yang diperlukan hari ini oleh negara kita adalah pembersihan GLC dan GLIC (yang mana MRCB adalah sebuah GLC) untuk memastikan mereka menjadi model tauladan akauntabiliti, ketelusan, dan integriti awam?

Sistem tadbir urus Malaysia diasaskan kepada prinsip monarki berperlembagaan, demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, dan kedaulatan undang-undang.

Pihak Eksekutif kelihatan seperti telah mengabaikan tanggungjawab berperlembagaan mereka untuk memimpin kempen melawan rasuah di Malaysia, sehingga raja-raja berperlembagaan kini memimpin dalam peranan sebegini, seperti seruan baru-baru daripada Timbalan Yang di Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah dan Sultan Selangor dan juga titah Yang di Pertuan Agong semalam.

Adakah Parlimen, dalam sidang Julai/Ogos yang akan datang ini akan menggalas peranan yang diabaikan Eksekutif, yang dapat dilihat daripada ketiadaan perbincangan dalam Kabinet semalam mengenai perkara ini, untuk memulakan kempen anti-rasuah baharu di Malaysia?

Apa-apa pun, ada satu perkara yang perlu dilakukan.

Perkara terbaik, bermaruah, dan paling patriotik yang boleh dilakukan bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah dengan menolak sebarang idea kedatangan semula politiknya sebagai Perdana Menteri bagi menyelamatkan Malaysia dari dimalukan lagi di seluruh dunia

Adakah Najib akan berbuat demikian dan adakah Barisan Nasional yang terdiri daripada UMNO, MCA, dan MIC akan mengisytiharkan yang mereka tidak akan sama sekali menamakan Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia di masa hadapan?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri