UMNO mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada bulan November tetapi adakah akan meniru Mahathir?
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, mahu Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada bulan November – selepas Belanjawan 2023 dibentangkan di Parlimen pada hari Jumaat, 28 Oktober 2022, tetapi tanpa melalui perbahasan atau menerima kelulusan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara atau menerima Perkenan Diraja.
Ini adalah perkara yang amat tidak bertanggungjawab.
Inilah apa yang dibuat Perdana Menteri keempat, Dr. Mahathir Mohamad, untuk Pilihan Raya Umum ke-10 sebelum ini.
Belanjawan 2000 dibentangkan kepada Parlimen pada 29 Oktober 1999 tetapi semasa perbahasan dasar sedang berlangsung, sebelum bermulanya jawapan Menteri, Parlimen dibubarkan pada 11 November 1999 untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-10.
Adakah Ismail Sabri akan meniru Mahathir untuk Pilihan Raya Umum ke-15?
Saya tidak tahu.
Ismail Sabri kini kelihatan seperti sudah mengembangkan visi politiknya dan bukan lagi Ismail Sabri yang sama seperti ketika dia mula-mula menjadi Perdana Menteri secara mengejut pada bulan Ogos tahun lepas.
Berapa jauh dan berapa kekal perkembangan visi politik ini, saya tidak tahu.
Ismail Sabri muncul dengan slogannya sendiri, Keluarga Malaysia, dan dari seorang Melayu Malaysia mono-etnik, dia kini kelihatan sedar dengan keperluan untuk menerima yang Malaysia ini bukanlah sebuah negara Melayu semata-mata, sebaliknya sebuah negara dengan pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya yang perlu bersifat inklusif dan bahawa kepelbagaian dalam masyarakat majmuk ini adalah satu kekuatan dan bukannya kelemahan.
Ismail telah menyeru rakyat Malaysia, sebagai ahli Keluarga Malaysia untuk menggunapakai konsep “tasamuh” – satu terma arab yang bermaksud “toleransi” atau “terbuka fikiran”.
Dia mengatakan perkara ini bermakna perlu ada sikap penerimaan dan hormat-menghormati terhadap pelbagai agama dan budaya yang diamalkan dalam negara.
Dia mengatakan juga, kepelbagaian budaya dan adat di Malaysia ini adalah satu keunikan yang patut diraikan, mewujudkan masyarakat yang aman dan makmur.
“Mana-mana budaya yang tidak bertentangan dengan akidah Islam boleh disantuni tanpa sebarang stigma dan diskriminasi.” katanya, menambah lagi bahawa tasamuh adalah kunci utama penyatuan masyarakat pelbagai agama dan budaya.
Semasa Ismail memberikan ucapan mengenai perkara ini di majlis pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan, dia kelihatan lebih baik berbanding dengan pendahulunya di Sri Perdana dalam menjadi rakyat Malaysia dahulu.
Marilah kita berharap yang pengembangan visi politik Ismail Sabri ini berterusan dan yang penting lagi, berkekalan dan bukannya hanya bersifat oportunistik seperti yang berlaku dengan Perdana Menteri keenam yang meninggalkan konsep 1Malaysia demi 1MDB.