Ismail Sabri tidak boleh melepaskan peluang untuk menjadikan sidang Parlimen Julai/Ogos sebagai satu “Sidang Reformasi” yang bersejarah

Perdana Menteri yang paling tidak dijangka dalam sejarah negara, Ismail Sabri, tidak boleh melepaskan peluang untuk melakar sejarah dengan menjadikan sidang Parlimen Julai/Ogos yang akan datang ini sebagai satu sidang “Parlimen Reformasi” yang bersejarah.

Dia boleh mencapai objektif ini dengan meminta Kabinet pada hari esok untuk mengarahkan dan memberikan kuasa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk menjadikan sidang Parlimen selama 14 hari dari 18 Julai sehingga 4 Ogos 2022 sebagai sebuah sidang Parlimen Reformasi yang bersejarah dengan melaksanakan beberapa langkah-langkah seperti membentangkan rang undang-undang anti-lompat parti dan juga pindaan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Wan Junaidi telah katakan semalam yang kerajaan menjangkakan pembentangan undang-undang yang berkenaan dengan pemansuhan hukuman mati mandatori dalam 11 peruntukan undang-undang dalam satu sidang Parlimen pada bulan Oktober dan bulan Januari 2023 akan menjadi tarikh akhir untuk pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia.

Kabinet dalam mesyuaratnya esok perlu menggesa Wan Junaidi untuk membentangkan pindaan yang diperlukan ini dalam sidang Parlimen Julai/Ogos, tetapi sekiranya perkara ini tidak dapat dilakukan, mereka perlu menunjukkan komitmen yang jelas untuk membawa pindaan yang diperlukan ini ke Parlimen menjelang bulan Oktober.

Perlu juga komitmen yang kukuh dari Kabinet terhadap perkara-perkara berikut:

  1. Moratorium pelaksanaan hukuman mati dalam tempoh sebelum pindaan;
  2. Menerbitkan kepada orang awam Laporan Richard Malanjum mengenai Hukuman Alternatif kepada Hukuman Mati Mandatori;
  3. Parlimen tidak akan dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 sehinggalah perkenan Seri Paduka Baginda diberikan kepada undang-undang anti-lompat parti dan pindaan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Sidang Julai/Ogos 2022 ini juga akan benar-benar menjadi bersejarah sekiranya sidang ini dapat bertindak di atas nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk merangka pelan jangka panjang untuk memastikan Malaysia dapat mencapai aspirasinya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui oleh bapa penubuhan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.

Dalam setengah abad yang lepas, Malaysia telah terpesong dari jalan untuk memastikan negara kita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan kini berada dalam bahaya untuk menjadi sebuah negara gagal dalam beberapa dekad yang akan datang sekiranya tidak ada usaha untuk menetapkan semula prinsip pembinaan negara bangsa kepada prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Neegara.

Mengapakah Malaysia telah gagal untuk mencapai rancangan 30 tahun Wawasan 2020 untuk mewujudkan Bangsa Malaysia dan gagal untuk mengatasi sembilan cabaran strategik dalam Wawasan 2020?

Kita juga telah gagal untuk mencapai matlamat Plan Integriti Nasional untuk menjadi salah satu daripada 30 negara paling kurang rasuah menjelang 2008.

Kita tidak berjaya mencapai objektif Pelan Pendidikan Malaysia (MEB) 2013-2025 untuk memacu transformasi pendidikan di dalam negara di mana kita masih berada dalam arah untuk gagal mencapai objektif untuk berada dalam satu pertiga teratas penilaian-penilaian antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) menjelang 2025.

Sidang Parlimen Julai/Ogos 2022 ini akan menjadi lebih bersejarah sekiranya dapat memulakan satu kempen anti-rasuah baharu di Malaysia memandangkan terdapat peningkatan tahap rasuah di setiap peringkat di dalam negara seperti yang ditunjukkan oleh perkembangan berikut:

  1. Pendedahan bahawa bekas Ketua Setiausaha Negara dibayar RM30,000 sebulan untuk tidak berbuat apa-apa dengan 1MDB dan pendedahan mengejutkan yang perkara ini bukanlah satu kes terpencil dalam syarikat yang dikawal kerajaan (GLC);
  2. Hala tuju Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dalam 27 tahun yang lepas di mana sekiranya tidak diperbetulkan, akan menyaksikan Malaysia menjadi salah satu negara yang paling korup di Asia; dan
  3. Keperluan untuk pemimpin politik dan agama menunjukkan contoh yang baik dalam integriti awam dan usaha anti-rasuah.

Tidak ada perkara yang lebih membantu dalam usaha anti-rasuah ini berbanding dengan satu usaha pembersihan syarikat berkenaan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) oleh Perdana Menteri dengan mengisytiharkan jumlah gaji dan elaun yang diterima oleh ketua-ketua badan-badan GLC dan GLIC, sama ada 1MDB, Petronas, Khazanah, KWSP, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (LTH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Axiata Group Bhd, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), Kumpulan Wang Pesaraan (KWAP), Ministry of Finance Inc (MoF Inc), Maybank, Sime Darby Bhd., CIMB Group Holdings, MISC Bhd, Proton Holdings dan juga Malaysian Resources Corporation Bhd.

Dalam bulan Ogos tahun lepas, kerajaan mengumumkan Perkukuh dengan 20 inisiatif untuk menambah baik GLC dan GLIC di Malaysia, tetapi apa yang tidak cukup adalah usaha untuk menjadikan GLC dan GLIC ini sebagai model tauladan akauntabiliti, ketelusan, dan integriti awam memandangkan GLC dan GLIC ini dicemari oleh ahli-ahli politik.

Adakah Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional daripada UMNO, MCA, dan MIC di bawah pimpinan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, akan menyokong kempen anti-rasuah sebegini oleh Parlimen?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri