Kabinet pada hari Rabu ini perlu mengambil keputusan untuk menjadikan sidang Julai/Ogos yang akan datang sebagai sidang “Parlimen Reformasi” yang bersejarah

Kabinet pada hari Rabu ini perlu mengambil keputusan untuk menjadikan sidang Julai/Ogos yang akan datang sebagai sidang “Parlimen Reformasi” yang bersejarah.

Mereka perlu mengarahkan dan memberikan kuasa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk menjadikan sidang Parlimen selama 14 hari dari 18 Julai sehingga 4 Ogos 2022 sebagai satu sidang Parlimen Reformasi yang bersejarah dengan mengambil beberapa langkah.

Pertamanya, bentangkan beberapa undang-undang reformasi seperti pengharaman melompat parti dan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Keduanya, berikan komitmen untuk

  1. Bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 sehinggalah Perkenan Seri Paduka Baginda diberikan kepada pemansuhan hukuman mati mandatori;
  2. Terbitkan kepada orang awam Laporan Richard Malanjum mengenai Hukuman Alternatif kepada Hukuman Mati Mandatori;
  3. Pastikan tidak ada hukuman mati dilaksanakan sementara kerajaan mengkaji hukuman alternatif untuk lebih daripada 2,000 orang pesalah yang sedang menanti hukuman mati untuk 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori sebelum ini.

Ketiga, bertindak atas nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk merangka pelan jangka panjang untuk memastikan Malaysia dapat mencapai aspirasinya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui oleh bapa penubuhan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.

Keempat, pastikan Malaysia tidak akan menjadi negara gagal pada bila-bila masa sekalipun dengan menyemak semula mengapa Wawasan 2020 gagal untuk mencapai sembilan cabaran strateginya untuk membentuk Bangsa Malaysia dan mengapa Pelan Pembangunan Pendidikan (MEB) 2013-2025 gagal untuk mewujudkan transformasi pendidikan di dalam negara.

Pelan Pembangunan Pendidikan ini yang memakan belanja sebanyak RM20 juta kerana kontrak perangkaannya diberikan kepada McKinsey and Co, adalah satu kegagalan yang boleh dilihat kegagalannya untuk mencapai objektifnya untuk meletakkan Malaysia di kedudukan di atas purata dan berada dalam kalangan satu pertiga tertinggi negara dalam penilaian pendidikan antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) menjelang 2025.

Semua petanda sedia ada menunjukkan yang Malaysia akan berada di dalam kumpulan satu pertiga terendah di dunia menjelang 2025 seperti yang ditunjukkan oleh kedudukan negara dalam PISA 2012, 2015, dan 2018 dan juga TIMSS 2011, 2015, dan 2019.

MEB ini dirangka untuk mengatasi masalah prestasi kurang baik pelajar Malaysia dalam TIMSS 2007 dan PISA 2009, membawa kepada kenyataan dasar yang mengatakan MEB ini akan melonjakkan Malaysia daripada satu pertiga terendah kepada satu pertiga tertinggi sistem PISA dan TIMSS menjelang dekad yang akan datang melalui cara berikut:

- Gelombang 1 (2013-2015) mengundurkan semula kemerosotan standard sistem pendidikan;

- Gelombang 2 (2016-2020) peringkat di mana prestasi pelajar di Malaysia akan berada di paras purata antara bangsa dalam tanda aras PISA dan TIMSS; dan

- Gelombang 3 (2021-2025) kedudukan prestasi Malaysia dalam PISA dan TIMSS akan berada dalam kalangan satu pertiga teratas penilaian PISA dan TIMSS.

Namun, dua gelombang pertama MEB ini telah dibuktikan hanya sebagai kata-kata kosong yang dapat dilihat daripada keputusan PISA 2012, 2015, 2018, dan TIMS 2011, 2015, 2019, yang menunjukkan tidak akan ada gelombang tiga untuk PISA dan TIMSS pada tahun 2025 kerana prestasi Malaysia kekal di dalam kumpulan satu pertiga terbawah.

Terdapat kemungkinan untuk sidang Parlimen Julai/Ogos yang akan datang ini untuk menjadi sidang Parlimen Reformasi yang bersejarah.

Persoalannya adalah sama ada peluang ini akan digunakan untuk menunjukkan kepada dunia yang Malaysia akan bangkit semula dalam era pasca-pandemik.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri