Cadangan untuk penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk merangka rancangan jangka panjang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia
Pada hari keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam baginda telah menggesa kerajaan dan semua pihak, tanpa mengira kepercayaan politik, untuk merangka rancangan jangka panjang untuk mengembalikan negara ke arah kemuncak kejayaan dalam era pasca pandemik.
Sultan Abdullah bertitah bahawa untuk menghadapi cabaran di masa hadapan dalam era pasca pandemik, pengurusan negara perlu mempunyai rancangan yang meliputi pelbagai sektor dan aspek kehidupan harian.
“Pada masa yang sama; rakyat beta turut berperanan dalam mendokong usaha-usaha murni kerajaan di samping terus berusaha untuk mendepani sebarang cabaran.
“Natijahnya; pemulihan negara memerlukan simbiosis yang erat antara kerajaan dan rakyat beta.
“Perpaduan dan kebersamaan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang; adalah sebenarnya merupakan resipi dan kekuatan dalam membentuk aspirasi nasional.
“Ia adalah merupakan tiang kemakmuran negara dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan.”
Baginda bukan sahaja tepat dalam menitahkan perkara ini, tetapi kita juga perlu bergerak lebih ke hadapan lagi, melangkaui era pasca pandemik.
Saya cadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk merangka rancangan untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke-100 negara, sama ada pada tahun 2057 atau 2063. Kita perlu berfikir untuk jangka panjang, bukan untuk beberapa tahun, tetapi untuk beberapa dekad yang mendatang.
Baginda Yang di Pertuan Agong tepat sekali dalam menitahkan yang pemulihan dan kebangkitan semula yang kita mahukan ini tidak mungkin tercapai sekiranya rakyat terus berpecah belah dan gagal untuk mewujudkan kestabilan di dalam negara.
Kerana inilah saya telah tanyakan Perdana Menteri, Ismail Sabri, sama ada konsep Keluarga Malaysia beliau ini adalah konsep Keluarga Malaysia yang sama yang difahami oleh tiga Perdana Menteri terawal negara – Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein – atau adakah ia hanyalah Keluarga Kleptokrasi.
Ketiga-tiga Perdana Menteri terawal negara pastinya akan terkejut melihat negara kita terpesong sebegitu jauh dari prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa sehingga terdapat Menteri di dalam Kabinet yang tidak menerima prinsip-prinsip Rukun Negara dan terdapat pemimpin yang bangga Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi.
Adakah Perdana Menteri dan kabinetnya akan memimpin pergerakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui oleh bapa penubuhan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan?