Dua titik hitam Konvensyen Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48
Konvensyen Ulang Tahun ke-48 Barisan Nasional kelihatan seperti satu jawapan kepada kenyataan saya yang mengatakan Malaysia perlu memperbetulkan hala tuju yang salah yang diambil negara kita dalam setengah abad yang lepas dan sebaliknya kita perlu kembali kepada prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa seperti yang telah dipersetujui bersama oleh bapa penubuhan negara dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sekiranya kita tidak mahu Malaysia menjadi sebuah negara gagal.
Saya telah katakan yang tiga Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein, pastinya akan terkejut melihat negara kita telah terpesong sebegitu jauh daripada prinsip-prinsip penubuhan negara sehinggakan kini kita ada Menteri di dalam Kabinet yang tidak menerima prinsip-prinsip Rukun Negara dan terdapat pemimpin yang bangga Malaysia sebelum ini dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi.
Saya telah tanyakan sebelum ini, sama ada ada sesiapa di dalam UMNO yang berani untuk mengatakan yang UMNO tidak patut mengejar kedatangan semula Najib Razak sebagai Perdana Menteri, kerana tahun-tahun dia sebagai Perdana Menteri di mana Malaysia dikenali sebagai kleptokrasi yang terburuk di seluruh dunia bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan, sebaliknya UMNO sepatutnya memimpin usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan kembali semula kepada prinsip-prinsip asas yang dipersetujui bapa penubuhan negara bangsa kita – sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dari kepelbagaian kaum, bahasa, agama, dan budaya di dalam negara.
Terdapat dua titik hitam dalam Konvensyen Barisan Nasional baru-baru ini – peranan utama yang ditonjolkan oleh Najib sebagai orang yang berucap di mana dia berpeluang untuk menyebarkan penipuannya yang kononnya pengubahan wang haram tidak ada kaitan dengan rasuah, dan ucapan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan, yang mengatakan mengenai keperluan untuk penjenamaan dan penetapan semula hala tujunya, tetapi hanya bercakap mengenai parti-parti politik yang meninggalkan Barisan Nasional selepas kekalahan BN dalam PRU-14 sebagai meninggalkan gabungan tersebut kerana “moral, hala tuju, dan kesetiaan mereka menjadi semakin lemah dengan selera mereka yang tidak dapat dipenuhi”.
Tidak ada langsung permohonan maaf atau kekesalan yang ditunjukkan selepas membawa malu kepada negara sehingga Malaysia dikenali sebagai sebuah “kleptokrasi yang terburuk” di dunia.
Adakah Malaysia mahu menjadi sebuah kleptokrasi untuk kali yang kedua?