Tun Razak pun tidak akan percaya dengan penjelasan Najib yang cuba mengatakan dia tidak bersalah rasuah

Saya percaya yang Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Razak, pun tidak akan percaya dengan penjelasan Najib yang cuba mengatakan dirinya tidak bersalah dari rasuah.

Saya percaya Lim Guan Eng tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya.

Adakah Tun Razak, sekiranya masih hidup hari ini, akan percaya pengakuan tidak bersalah anaknya?

Najib tidak mengambil pengajaran dari nasihat bapanya mengenai “kolam renang” yang seperti yang diceritakan di dalam buku adiknya, Nazir Razak, “What’s In A Name”:

“Semasa kecil, saya bersama dengan abang-abang saya pernah ke pejabat bapa kami dengan satu permintaan: kami meminta kepadanya untuk membina sebuah kolam renang di dalam perkarangan Seri Taman. Abang sulung saya, Najib, merupakan ketua rombongan ini, mengumpulkan kami semua untuk meyakinkan bapa kami, sambil berdiri di hadapan meja bapa kami di pejabatnya. Bapa saya mendengar cadangan kami ini dengan teliti dan kemudiannya dengan tenang, menolaknya. “Bagaimanakah rupanya,” beliau bertanya, sambil mengangkat keningnya, “sekiranya Perdana Menteri membelanjakan wang rakyat untuk membina sebuah kolam renang untuk keluarganya?” (hal. 51)

Najib, dalam majlis sambutan ulang tahun Barisan Nasional yang ke-48 semalam telah mengatakan yang dia tidak dituduh mencuri dalam perbicaraan rasuahnya, sebaliknya hanya dituduh mengubah wang yang tidak digunakannya untuk dirinya secara haram.

Hanya Najib sahaja yang tidak tahu malu untuk bercerita sebegini di dalam Konvensyen Barisan Nasional kerana dia menjangkakan semua yang hadir akan menerima ceritanya sebagai kisah perbicaraan pengubahan wang haram yang tidak ada apa-apa kaitan dengan rasuah.

Sekiranya ada mana-mana pemimpin Barisan Nasional yang hadir semalam yang tidak bersetuju dengan dakwaan Najib, mereka perlu secara terbuka menjauhkan diri mereka, jika tidak mereka akan dilihat seperti sama sahaja dengan orang-orang yang percaya dengan cerita Najib ini.

Untuk maklumat Najib, “pengubahan wang haram” adalah satu proses untuk mengubah wang tunai, dana, atau hartanah yang diperolehi dari aktiviti jenayah untuk membuatkan aset-aset ini nampak sah. Ia adalah satu proses untuk “mencuci” wang haram untuk menyorokkan asal-usul jenayah wang ini.

Najib mendakwa yang dia adalah mangsa “penindasan politik” tetapi dia sendiri kelihatan bangga didakwa di bawah pertuduhan pengubahan wang haram dan bukannya rasuah dan mengatakan kononnya dia tidak menggunakan wang tersebut untuk dirinya.

Ini adalah pemikiran serius seorang individu yang tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri mana-mana negara, tetapi kita kini berhadapan dengan satu situasi membimbangkan di mana (i) Najib masih belum berputus asa untuk kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia dan (ii) para pemimpin Barisan Nasional baik dari UMNO, MCA, atau MIC menyokong kedatangan semula Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Hakikat di mana Najib menyebabkan Malaysia malu di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi selama hampir sedekad ini tidak bermakna apa-apa langsung kepada pemimpin BN ini – dan mereka bersedia untuk melihat negara kita sekali lagi dimalukan sebagai sebuah kleptokrasi untuk kali kedua.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri