Saya bersetuju dengan Azalina yang RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 patut ditangguhkan supaya JPK Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial dan juga JPK Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan dapat memberikan pendapat mereka
Saya bersetuju dengan Azalina Othman Said, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial yang mengatakan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 patut ditangguhkan dan dirujuk ke Jawatankuasanya untuk menentukan sama ada RUU ini selari dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-kanak.
JPK Kesihatan, Sains dan Teknologi telah memberikan sokongannya terhadap cadangan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ini namun Pengerusinya, Dr. Kelvin Yii, telah menyeru supaya pelaksanaannya ditangguhkan.
JPA Kesihatan, Sains dan Teknologi mahu RUU ini untuk tidak membahayakan masa hadapan golongan belia dengan menambah rekod jenayah kepada mereka kerana memiliki produk tembakau.
Kelvin Yii telah mencadangkan supaya pelaksanaan RUU ini ditangguhkan ke tahun 2025 untuk memperkasakan persediaan untuk pelaksanaan yang berkesan dan memberikan masa yang mencukupi untuk mempersiapkan rangka kerja antara kerajaan yang berkesan.
Dia berkata: “Jawatankuasa ini secara prinsip bersetuju dengan prinsip RUU terutamanya dalam mempertahankan kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan generasi masa hadapan dan juga keperluan untuk mempercepatkan kawalan produk tembakau termasuklah vape, e-rokok, dan produk tembakau bukan bakar.
“Bagaimanapun, kami mengakui yang terdapat pelbagai kebimbangan yang dibangkitkan oleh semua pemegang taruh dan melihat kepentingan untuk menangani jurang dalam isu pelaksanaan, dan kepentingan untuk menetapkan semakan mandatori dan rangka kerja pemantauan untuk memastikan Akta ini mencapai sasarannya tanpa menyebabkan apa-apa kesan yang tidak diingini.”
Azalina, Pengerusi JPK Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial, telah membangkitkan kebimbangan mengenai sesetengah peruntukan untuk penguatkuasaan undang-undang ini yang terbuka kepada salah guna atau salah tafsir, yang berpotensi membawa kepada hukuman yang tidak adil, sambil mengakui sasaran kerajaan untuk membawa penamat pengguna generasi baharu produk tembakau.
RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ini juga patut dirujuk kepada JPK Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan.
RUU ini dijangkakan akan dibaca buat kali kedua di Dewan Rakyat esok, memandangkan RUU ini berada di tempat kedua dalam 23 perkara yang tersenarai di dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat.
RUU ini patut diturunkan ke bahagian bawah AUM dan bacaan keduanya ditangguhkan dahulu, tertakluk kepada cadangan dari JPK Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial dan juga JPK Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan.
Tidak ada sebab untuk Menteri Kesihatan tergesa-gesa untuk membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok ini tanpa melalui proses yang sepatutnya dengan merujuk RUU ini ke JPK yang berkenaan.
Perkara ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada para Menteri yang mereka perlu melibatkan JPK-JPK yang berkenaan untuk semua rang undang-undang yang dicadangkan memandangkan JPK-JPK ini ditubuhkan bukan hanya untuk tujuan kosmetik, sebaliknya mereka mempunyai peranan penting masing-masing.