Bagaimanakah Muhyiddin boleh dianggap sebagai seorang “reformis yang tidak dipandang” sedangkan SOSMA, Akta Hasutan, dan Akta Pencegahan Jenayah kekal dalam buku undang-undang walaupun dia menjadi Menteri Dalam Negeri selama 22 bulan dan kemudiannya Perdana Menteri selama 17 bulan?
Bagaimanakah Muhyiddin boleh dianggap sebagai seorang “reformis yang tidak dipandang” sedangkan SOSMA, Akta Hasutan, dan Akta Pencegahan Jenayah kekal dalam buku undang-undang walaupun dia menjadi Menteri Dalam Negeri selama 22 bulan dan kemudiannya Perdana Menteri selama 17 bulan?
Bagaimanakah Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, dapat mengatakan Muhyiddin Yassin sebagai seorang “reformis yang tidak dipandang” sedangkan SOSMA, Akta Hasutan, dan Akta Pencegahan Jenayah kekal dalam buku undang-undang walaupun dia menjadi Menteri Dalam Negeri selama 22 bulan dan kemudiannya Perdana Menteri selama 17 bulan?
Azhar pada hari Jumaat semasa melancarkan buku yang “Muhyiddin Yassin: Leading a Nation in Unprecedented Crisis” oleh Abdul Mutalib Razak mengatakan yang dia boleh beritahu berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri bahawa antara inisiatif pertama Muhyiddin sebagai menteri adalah untuk membentuk sebuah jawatankuasa untuk mengkaji undang-undang yang dikira sebagai “tidak patut” seperti Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), dan Akta Pencegahan Jenayah.
Azhar adalah seorang ahli jawatankuasa ini dan dia katakan: “Jawatankuasa bermesyuarat banyak kali, meneliti setiap perincian undang-undang dan mendengar pemegang taruh yang terbabit,”.
Tetapi semua usaha ini dibazirkan atau mungkin dibuat hanya sebagai lakonan memandangkan tidak ada kejujuran atau komitmen dari Muhyiddin untuk menghapuskan peruntukan zalim dalam undang-undang ini, terutamanya yang berkaitan dengan tahanan tanpa bicara.
Perkara ini ditekankan lagi pada hari Selasa lepas apabila Dewan Rakyat melanjutkan tempoh subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi, dengan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 88 Ahli Parlimen membantah, dan 21 orang Ahli Parlimen tidak hadir.
Malah, “reformis yang tidak dipandang” ini juga hadir untuk mengundi meluluskan pelanjutan peruntukan SOSMA ini, lantas membangkitkan persoalan: Reformis jenis apakah ini?
Apakah cadangan jawatankuasa ini terhadap lanjutan peruntukan SOSMA selama lima tahun ini? Bolehkah Speaker kongsikan dengan rakyat Malaysia?
Malah, kedudukan Muhyiddin terhadap SOSMA dan Langkah Sheraton pada Februari 2020 menimbulkan persoalan sama ada penahanan 12 orang, termasuklah dua orang wakil rakyat DAP, seorang dari Dewan Undangan Negeri Melaka dan seorang dari Negeri Sembilan, atas tuduhan ada hubungan dengan gerakan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) pada tahun 2019 ini merupakan satu operasi keselamatan atau operasi politik.
Selama lebih dari dua tahun, tidak ada sebarang insiden untuk memberikan alasan kepada pandangan yang mengatakan wujudnya jaringan LTTE di dalam negara, lantas menimbulkan keraguan terhadap dakwaan yang dibuat terhadap 12 orang pada tahun 2019 ini.
Kerana inilah saya telah cadangkan pada hari Rabu lepas supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen PKR Sungai Petani, Johari Abdul, patut menyiasat kejadian penahanan 12 orang atas tuduhan hubungan dengan LTTE ini untuk menentukan sama ada penahanan ini dibuat untuk tujuan keselamatan atau untuk tujuan politik.
Jawatankuasa Khas Parlimen ini juga patut mengadakan pendengaran untuk menyiasat perkara ini kerana peranan yang dimainkan oleh “reformis yang tidak dipandang”, Muhyiddin – yang merupakan Menteri Dalam Negeri semasa perkara ini berlaku – dalam konspirasi Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan di mana Muhyiddin telah menggantikan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Penyiasatan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan ini amatlah penting sekarang memandangkan Parlimen telah mengundi untuk melanjutkan SOSMA untuk lima tahun lagi dan Parlimen perlu memastikan tidak ada sebarang penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan SOSMA sebelum ini.
Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan juga perlu mengadakan pendengaran untuk menyiasat penahanan bekas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah (kini Ahli Parlimen PKR untuk Petaling Jaya) pada tahun 2016 dan penahanan aktivis Khairuddin Hassan dan peguamnya, Matthias Chang, atas cubaan mereka untuk mendedahkan skandal kewangan 1MDB, juga semua bekas tahanan SOSMA untuk menentukan sama ada semua penahanan SOSMA ini munasabah atau merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan ini adalah Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Rahim Bakri (Kudat), Wilson Ugak Anak Kumbong (Hulu Rajang), Syed Ibrahim Syed Nor (Ledang), Lim Lip Eng (Kepong), dan Mohamad Sabu (Kota Raja).
Semalam saya telah katakan antara kegagalan Muhyiddin sebagai seorang pemimpin politik adalah kegagalannya untuk me-Malaysia-kan pemikiran politiknya dengan beralih dari seorang pemimpin politik yang pertamanya Melayu kepada pemimpin politik yang pertamanya Malaysia supaya dia dapat menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.
Dr. Mahathir bermula sebagai seorang pemimpin yang pertamanya Melayu, tetapi dia telah bergerak untuk menjadi seorang pemimpin yang pertamanya rakyat Malaysia, lebih ke hadapan berbanding dengan Muhyiddin, walaupun masih belum mencapai kadar 100 peratus memandangkan Mahathir masih mengetuai sebuah parti politik yang hanya terbuka kepada orang Melayu sahaja dan bukannya kepada semua rakyat Malaysia.
Kontrak sosial yang dipersetujui oleh tokoh penubuhan negara dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara adalah untuk mewujudkan perpaduan Malaysia berasaskan kepada sifat majmuk Malaysia – berbilang kaum, bahasa, budaya, dan agama, di mana semua orang adalah rakyat kelas pertama, tanpa pembahagian rakyat kelas pertama, kelas kedua, atau kelas ketiga.
Tokoh penubuhan negara juga bersetuju dengan prinsip asas dan dasar pembinaan negara yang berteraskan kepada sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, meritokrasi, Islam sebagai agama rasmi persekutuan dengan kebebasan beragama, dan hormat terhadap hak asasi manusia.
Maka, tokoh-tokoh penubuhan negara kita inilah antara yang pertama untuk membawa idea untuk mengutamakan identiti kita sebagai rakyat Malaysia, sebelum identiti-identiti lain.
Adakah “reformis yang tidak dipandang”, Muhyiddin, ini bersedia untuk komited kepada dasar mengutamakan Malaysia?
Asas identiti negara terhadap identiti Malaysia, sebelum identiti Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban inilah sebab mengapa wujudnya peruntukan di dalam Perlembagaan Malaysia untuk mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Bagaimana pun, saya menerima realiti politik di Malaysia dan saya tidak menjangkakan untuk melihat mana-mana orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam jangka hayat saya mahupun jangka hayat anak-anak saya.
Di Amerika Syarikat, seorang lelaki berkulit hitam, Barack Obama, telah menjadi Presiden Amerika Syarikat, tetapi perkara ini hanya berlaku selepas 230 tahun tertubuhnya negara tersebut sejak tahun 1776.
Saya harap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun sebelum seorang bukan Melayu juga berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi saya tidak jangka mana-mana orang bukan Melayu untuk menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia dalam abad ke-21. Sama ada akan ada seorang Perdana Menteri bukan Melayu dalam abad ke-22 atau ke-23 akan bergantung kepada sama ada politik identiti akan terus kekal dalam bentuk asasnya dalam lanskap politik negara seperti hari ini.
Sekiranya persoalan mengenai sama ada seorang bukan-Melayu boleh menjadi Perdana Menteri ini ditanyakan enam puluh tahun yang lalu kepada Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin, atau Tun V.T. Sambanthan, mereka pastinya akan tanpa ragu-ragu menjawab ya memandangkan tidak ada sebarang halangan daripada Perlembagaan untuk perkara ini – yang merupakan satu perkara yang berbeza dengan sama ada ia akan berlaku atau tidak.
Tetapi hari ini, ada pemimpin politik yang secara terbuka mengatakan yang seorang bukan-Melayu tidak boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana konsep “Ketuanan Melayu” yang dipopularkan selepas tahun 1986.
Kini terdapat kebanjiran berita palsu di dalam negara.
Terdapat cubaan jahat dan berbahaya dari sesetengah pihak untuk membuatkan orang Melayu benci dan takut terhadap orang bukan Melayu atas alasan kononnya mereka cuba menghapuskan kaum Melayu. Sedangkan tidak ada sesiapa pun di Malaysia ini yang mahu menghapuskan kaum Melayu.
Seperti Professor Murad Merican dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa katakan dalam forum “Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu” baru-baru ini, untuk menjadi seorang Melayu sering dilihat sebagai suatu perkara yang “negatif, malas, korup, dan hipokrit”.
Kita tidak mahu mana-mana orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban untuk dikaitkan dengan sifat negatif sebegini, sebaliknya kita mahu semua dikaitkan dengan sifat-sifat “positif, bekerja keras, tidak korup, adil, jujur, telus, dan mampu untuk membezakan di antara perkara yang betul dengan perkara yang salah”.
Akhirnya, terdapat juga masalah di mana bukan sahaja seorang Perdana Menteri yang menjadi penjenayah, tetapi Peguam Negara juga.
Apakah kedudukan “reformis tidak dipandang”, Muhyiddin, terhadap perkara ini, seperti yang telah ditunjukkan dalam penghakiman Azimah Omar dalam kes saman bekas Peguam Negara, Mohamad Apandi, terhadap saya yang telah diterbitkan pada hari Khamis lepas?