Sejarah tercipta semalam di Parlimen dengan kelulusan pindaan perlembagaan untuk menyekat aktiviti lompat parti, namun perkara ini hanyalah satu permulaan dalam usaha menetapkan semula dasar dan prinsip pembinaan negara sekiranya kita mahu Malaysia untuk mencapai potensinya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia

Sejarah telah tercipta semalam di Parlimen dengan kelulusan pindaan perlembagaan untuk menyekat aktiviti lompat parti, namun perkara ini hanyalah satu permulaan dalam usaha menetapkan semula dasar dan prinsip pembinaan negara sekiranya kita mahu Malaysia untuk mencapai potensinya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Rakyat Malaysia perlu berfikirkan dua persoalan mengenai pindaan perlembagaan yang diluluskan Dewan Rakyat dengan 209 undi yang bersetuju tanpa sebarang bantahan dan dengan 11 orang Ahli Parlimen tidak hadir, iaitu:

Pertamanya, mengapa perkara ini hanya berjaya dibuat di bawah pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri dan bukannya sepanjang 44 tahun yang lepas selepas saya buat pertama kali cadangkan perkara ini di Parlimen pada tahun 1978;

Kedua, sama ada sejarah yang dicatatkan semalam ini adalah permulaan kepada usaha menetapkan semula dasar dan prinsip pembinaan negara untuk membolehkan Malaysia mencapai potensinya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Tiga orang Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein pastinya akan terkejut melihat negara kita telah terpesong dari prinsip pembinaan negara sehingga terdapat Menteri di dalam Kabinet yang tidak menerima prinsip-prinsip Rukun Negara dan terdapat pemimpin yang berbangga apabila Malaysia terkenal sebagai sebuah kleptokrasi.

Adakah Perdana Menteri akan memimpin pergerakan untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan kembali semula kepada prinsip-prinsip pembinaan negara yang telah dipersetujui oleh tokoh-tokoh penubuhan negara di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, integriti awam, meritokrasi, hormat kepada hak asasi manusia, dan perpaduan dari masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak ada perbezaan rakyat kelas pertama atau kelas kedua berasaskan kaum, agama, atau kawasan?

Dalam setengah abad yang lepas, kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, dan Vietnam.

Adakah kita bakal ditinggalkan di belakang China dan Indonesia sebelum penghujung dekad ini dalam penerbitan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International?

Adakah kita akan ditinggalkan di belakang lebih banyak negara, mungkin Indonesia dan Filipina dari segi pembangunan ekonomi menjelang 2040 atau 2050? Untuk menjadi satu lagi Sri Lanka adalah mimpi ngeri terburuk Malaysia.

Bolehkah Parlimen “bersejarah” semalam ini menandakan permulaan penetapan semula hala tuju negara untuk membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri