Parlimen perlu mengadakan pendengaran awam untuk menentukan bagaimana Parlimen ke-13 sebelum ini disekat daripada mendedahkan skandal kewangan 1MDB untuk memastikan Parlimen tidak akan disalahguna lagi untuk menutup sebarang skandal kewangan
Pada hari Isnin, saya telah bertanya sama ada bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi, bersedia untuk mempertahankan dirinya melawan dakwaan sebagai Peguam Negara terburuk dalam sejarah Malaysia.
Pada hari Selasa, saya bertanya sama ada dia akan memulangkan semula jutaan ringgit yang diterimanya dari kerajaan sebagai penyelesaian samannya terhadap kerajaan yang telah memecatnya dari jawatan Peguam Negara, dan saya minta dia menjelaskan “asas undang-undang, etika, dan kewangan” untuk bertindak sebagai peguam bagi Jho Low, yang merupakan salah seorang yang bertanggungjawab ke atas skandal mega 1MDB.
Soalan ini tidak diterima sebagai salah satu dari tiga soalan waktu jawapan Menteri yang bakal dijawab hari ini memandangkan ia tidak muncul dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
Walaupun soalan ini tidak muncul di Parlimen pada hari ini, Apandi mempunyai tanggungjawab sebagai bekas Peguam Negara untuk memberikan jawapan.
Apandi telah menyaman kerajaan atas alasan pemecatan yang salah, menuduh yang dia berhak menerima pampasan khas melebihi RM2.23 juta termasuklah kehilangan pendapatan sebanyak RM1,285,,213.68 dari 27 Julai 2018 sehingga 26 Julai 2021 (atau RM35,700,38 pendapatan setiap bulan untuk 36 bulan) sebagai Peguam Negara.
Adakah rakyat Malaysia telah membayar gaji untuk dua orang Peguam Negara di antara tempoh Julai 2018 sehingga Julai 2021 – satu untuk Peguam Negara yang menjawat manakala satu lagi gaji untuk seorang bekas Peguam Negara?
Seminggu telah berlalu sejak daripada penghakiman 100 muka surat oleh Hakim Azimah Omar mengenai saman malu Apandi terhadap saya diterbitkan pada hari Khamis minggu lepas, dan Apandi gagal untuk menjawab empat persoalan yang ditekankan dalam penghakiman Azimah ini. Malah, Apandi gagal menjadi ketiga-tiga persoalan ini dalam dua bulan yang lepas sejak keputusan ini diumumkan pada 23 Mei 2022.
Empat persoalan yang gagal dijelaskan Apandi, seperti yang ditekankan oleh penghakiman Azimah, adalah mengapa:
- dia (Apandi, semasa menjadi Peguam Negara) membebaskan Najib Razak dari skandal 1MDB;
- dia menerima naratif derma yang “luar biasa” tanpa bukti;
- dia menutup penyiasatan ke atas skandal 1MDB, bertentangan dengan nasihat dari SPRM dan pasukan tindakannya sendiri;
- dia menolak untuk menerima atau menawarkan bantuan perundangan daripada Peguam Negara Switzerland dan Jabatan Keadilan AS untuk menyiasat skandal 1MDB.
Semasa Apandi menjadi Peguam Negara selama 33 bulan – dari Julai 2015, di mana Gani Patail dipecat sebagai Peguam Negara kerana dia ingin mendakwa Najib Razak dengan skandal 1MDB, sehingga kepada keajaiban politik Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 – Apandi telah memainkan peranan kritikal untuk menutup skandal 1MDB.
Pada tahun 2016 dan 2017, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) memulakan tiga puluh kes rampasan sivil terhadap pelbagai bentuk harta peribadi dan hartanah yang bersumberkan hasil haram berbillion dolar dari skandal 1MDB, tetapi Apandi memilih untuk tidak berbuat apa-apa.
Bolehkah Apandi menjelaskan mengapa?
Apandi langsung tidak menunjukkan minat untuk mencari siapakah “Malaysian Official 1”, walaupun dia telah digambarkan dalam saman DoJ pada bulan Julai 2016 sebagai “seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia yang juga memegang kedudukan berkuasa di dalam 1MDB”, dia juga tidak berminat untuk menyiasat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Abdul Rahman Dahlan, mengakui di BBC pada 1 September 2016 yang “MO1” adalah Najib Razak.
Adakah Apandi pernah bertanya kepada Najib sama ada dia adalah “MO1”? Atau adakah hanya semua rakyat Malaysia selain daripada Apandi sahaja yang tahu yang “MO1” adalah Najib?
Namun, bukan Peguam Negara sahaja yang perlu menjawab untuk peranan menutup pendedahan skandal 1MDB ini, Parlimen ke-13 juga telah disekat dari mendedahkan skandal 1MDB dan terlibat untuk menutup “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” ini kerana adanya seorang Speaker yang amat berat sebelah.
Parlimen perlu mengadakan pendengaran awam untuk menentukan bagaimana Parlimen ke-13 sebelum ini disekat dari mendedahkan skandal kewangan 1MDB – skandal “kleptokrasi dalam bentuk yang paling buruk” – dan peranan Speaker Parlimen ke-13, Pandikar Amin Mulia, untuk memastikan Parlimen tidak akan lagi disalahgunakan untuk menyembunyikan apa-apa skandal kewangan di Malaysia.