Minggu pertama sidang Parlimen menunjukkan Parlimen yang sudah tidak relevan dan ketinggalan zaman yang memerlukan reformasi parlimen untuk memastikan Parlimen kita terus ke hadapan dengan perkembangan terkini
Minggu pertama sidang Parlimen menunjukkan Parlimen yang sudah tidak relevan dan ketinggalan zaman yang memerlukan reformasi parlimen untuk memastikan Parlimen kita terus ke hadapan dengan perkembangan terkini.
Tiga orang Ahli Parlimen – Ramkarpal Singh (Pakatan Harapan - Bukit Gelugor), Salahuddin Ayub (Pakatan Harapan - Pulai), dan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan - Kota Belud) telah cuba membawa usul tergempar ke dalam Dewan Rakyat untuk membahas isu rampasan aset Petronas oleh mereka yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang menuntut sejumlah AS$14 billion dari Malaysia, namun usul ini semua disekat oleh Speaker Azhar Azizan Harun yang memetik peraturan subjudis untuk menyekat perbahasan ini di Parlimen.
Sebaliknya, kerajaan telah mengadakan sesi taklimat pintu tertutup di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur malam semalam untuk ahli-ahli parlimen mengenai isu ini.
Sekiranya perbahasan disekat atas dasar subjudis, bukankah taklimat di sebalik pintu tertutup seperti yang diadakan semalam ini juga bersifat subjudis?
Saya bertanya kepada ahli-ahli parlimen yang hadir taklimat semalam, sama ada ada apa-apa yang dikatakan dalam taklimat tersebut yang tidak boleh disebut di dalam Parlimen atas sebab-sebab keselamatan atau apa-apa sebab lain, mereka menjawab “Tidak”!
Apa yang berlaku dalam taklimat malam semalam adalah pendedahan kronologi kes dan perkara ini sepatutnya dinyatakan di Parlimen memandangkan bukan sahaja Ahli-ahli Parlimen, malah rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah, berhak untuk mendapat maklumat penuh mengenai perkara ini.
Taklimat kepada Ahli-ahli Parlimen semalam tidak boleh menggantikan perbahasan perkara ini di parlimen, yang kini perlu diadakan melalui Kenyataan Menteri di Parlimen disusuli dengan perbahasan mengenai perkara ini.
Speaker Azhar Azizan Harun telah salah apabila dalam memberikan jawab balas kepada bantahan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin – yang mengatakan keputusan subjudis Speaker ini tidak tepat kerana peraturan tersebut sepatutnya digunakan mengikut merit kes-kes tertentu itu sendiri – di mana Speaker telah mengatakan perbahasan perkara ini akan mendedahkan strategi perundangan kerajaan kepada pihak lawan.
Speaker memang betul apabila mengatakan yang strategi perundangan kerajaan tidak patut didedahkan, tetapi bukan menjadi tugasnya untuk mengenakan sekatan penuh untuk menghalang sebarang perbahasan mengenai isu ini, sebaliknya tanggungjawabnya hanyalah untuk mempertahankan hak Menteri untuk tidak mendedahkan apa-apa strategi kerajaan.
Amatlah mengejutkan melihat prinsip penting seperti pemisahan kuasa dan keulungan parlimen dari pihak Eksekutif direndahkan sebegini, tetapi lebih memalukan juga apabila kita melihat ahli-ahli parlimen yang bermulut busuk dapat terus terlepas tanpa apa-apa kesan selepas menyerang ahli-ahli parlimen wanita di Dewan.