Kempen “Malu Apa Bossku” akan dilumpuhkan, kesedaran anti-rasuah dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah akan meningkat sekiranya Najib mengakui kesalahannya dan mengecam korupsi 1MDB
Selepas jawapan balas saya semalam kepada kolumnis Malaysiakini, S. Thayarapan, yang menulis kolum yang bertajuk “Kit Siang membantu Najib mencuci reputasinya”, Thayarapan menambah 16 perenggan lagi kepada artikelnya yang perlu dijawab.
Thayarapan bertanya soalan yang amat naif.
Bolehkah Thayarapan bayangkan bagaimana kempen “Malu Apa Bossku” akan dilumpuhkan, kesedaran anti-rasuah dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah akan meningkat sekiranya Najib mengakui kesalahannya dan mengecam korupsi 1MDB?
Atau adakah Thayarapan ini seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, yang semalam mengkritik Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diterbitkan setiap tahun oleh Transparency International (TI) selepas melihat Malaysia jatuh ke tempat terendah setakat ini di tempat ke-62, yang mana Malaysia mungkin akan mencatatkan kedudukan yang lebih buruk lagi dalam TI CPI 2022 yang akan diterbitkan pada bulan Januari tahun hadapan?
Najib kini dilihat sebagai pemimpin sebenar UMNO, lebih berkuasa dan berpengaruh berbanding mana-mana pemimpin UMNO dan masih belum melepaskan cita-citanya untuk kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia, sama ada sebagai yang ke-10 atau ke-11.
Bagaimanakah perkara yang memalukan ini dapat dielakkan?
Salah satu caranya adalah melalui keruntuhan kempen “Malu Apa Bossku” dan untuk UMNO dan Barisan Nasional menemui semula tugas patriotik mereka dan kembali kepada prinsip dan dasar pembinaan negara yang termaktub dalam perlembagaan dan Rukun Negara, yang menekankan prinsip Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, dengan tadbir urus yang baik, penjawat awam yang berintegriti, meritokrasi, kedaulatan undang-undang, doktrin pemisahan kuasa, demokrasi berparlimen, dan sistem raja berperlembagaan.
Adakah Najib telah lupa dengan pengajaran bapanya mengenai kolam renang, di mana bapanya, Tun Razak, seperti yang diceritakan oleh adiknya, Nazir Razak, di dalam bukunya yang bertajuk “What’s In A Name” (halaman 51) di mana Nazir menulis:
“Semasa kecil, saya bersama dengan abang-abang saya pernah ke pejabat bapa kami dengan satu permintaan: kami meminta kepadanya untuk membina sebuah kolam renang di dalam perkarangan Seri Taman. Abang sulung saya, Najib, merupakan ketua rombongan ini, mengumpulkan kami semua untuk meyakinkan bapa kami, sambil berdiri di hadapan meja bapa kami di pejabatnya. Bapa saya mendengar cadangan kami ini dengan teliti dan kemudiannya dengan tenang, menolaknya. “Bagaimanakah rupanya,” beliau bertanya, sambil mengangkat keningnya, “sekiranya Perdana Menteri membelanjakan wang rakyat untuk membina sebuah kolam renang untuk keluarganya?”
Pada tahun 1979, dalam Perhimpunan Agung UMNO, Perdana Menteri ketika itu, Hussein Onn, memberikan amaran yang Malaysia akan musnah sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” dan menyatakan harapan supaya skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta ketika itu akan menjadi “pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain, termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh kerajaan”.
Adakah Najib telah lupa dengan legasi tiga Perdana Menteri terawal negara – Tunku Abdul Rahman yang mahu Malaysia menjadi “tempat penuh keamanan, harmoni, dan kesejahteraan” dan “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”; Tun Razak dengan pengajarannya tentang kolam renang; dan amaran Tun Hussein Onn yang Malaysia akan dimusnahkan oleh pemimpin yang “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” yang mewujudkan skandal kewangan 1MDB yang bernilai berbillion dolar bersama dengan Jho Low?
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu Parlimen semalam yang hutang 1MDB masih berbaki RM32.08 billion setakat 30 Jun.
Di antara April 2017 sehingga Mei 2022, kerajaan telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman dan bayaran pendahuluan yang berjumlah sebanyak RM10.85 billion melalui Kementerian Kewangan dan Minister of Finance Incorporated (MOF Inc) untuk membayar komitmen hutang dan faedah 1MDB.
Saya tidak tahu apa-apa mengenai tuduhan “konflik kepentingan” Najib terhadap hakim yang memenjarakannya selama 12 tahun dan mengenakan denda sebanyak RM210 juta dalam perbicaraan korupsi 1MDB pertamanya, tetapi isu “konflik kepentingan” hakim yang dibangkitkan oleh Najib ini, jika ada, tidak menyentuh isu korupsi Najib dalam 1MDB yang telah menyebabkannya dipenjara selama 12 tahun dengan denda sebanyak RM210 juta.
Sehingga hari ini, Najib masih mengambil kedudukan untuk mengatakan yang tidak ada skandal 1MDB dan kemudiannya mewujudkan kempen “Malu Apa Bossku” yang diasaskan kepada idea bahawa skandal 1MDB ini hanyalah rekaan semata-mata.
Begitulah kuatnya delusi Najib ini, kempen “Malu Apa Bossku” dan UMNO hanya boleh ditewaskan dengan Najib mengakui sendiri mengenai korupsi 1MDB ini.
Saya tahu, memang sangat tipis kemungkinannya untuk Najib menggalas tanggungjawab patriotiknya dan mengecam rasuah dalam skandal 1MDB untuk melumpuhkan bukan sahaja kempen “Malu Apa Bossku” yang pada masa yang sama juga mampu untuk meningkatkan kesedaran anti-rasuah dan membawa kepada peningkatan kedudukan negara dalam TI CPI, tetapi adakah Thayarapan mempunyai apa-apa cadangan yang lebih baik?