Jawab balas kepada Thayarapan: Saya tidak akan sama sekali cuci reputasi Najib
Semalam saya ada mengeluarkan kenyataan pendek lima perenggan yang merupakan satu pengumuman yang saya tidak akan sama sekali mencuci reputasi Najib Razak, dan amat malang sekali apabila S. Thayarapan, yang menulis artikel KOMEN yang bertajuk “Kit Siang bantu Najib cuci reputasinya” tidak membaca atau memilih untuk mengabaikan kenyataan tersebut.
Satu contoh bukti yang saya tidak akan mencuci reputasi Najib ini adalah apa yang berlaku semasa pilihan raya negeri Johor pada awal tahun ini, di mana saya telah katakan yang MP DAP untuk Damansara, Tony Pua, telah keterlaluan apabila dia menyerang lembaga pengurusan sekolah Foon Yew tetapi tindakannya yang mengecam Najib Razak yang mempergunakan Foon Yew untuk mengatakannya tidak bersalah atas kleptokrasi.
Dalam kenyataan media saya yang bertarikh 2 Mac 2022, saya telah katakan:
“Untuk beberapa hari yang lepas ini, saya telah katakan yang UMNO telah memaksa pilihan raya negeri Johor untuk diadakan pada 12 Mac 2022, bukan untuk melindungi nyawa dan punca pendapatan rakyat bagi membolehkan aktiviti kehidupan harian dan sektor ekonomi selepas dua tahun berhadapan dengan wabak membawa maut Covid-19, sebaliknya untuk memaksa Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan awal untuk membolehkan Najib Razak untuk kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 atau yang ke-11.
“Motif para pemimpin UMNO ini jelas. Walaupun tidak ada mana-mana pun calon UMNO untuk PRN Johor ini datang daripada “kluster mahkamah”, jelas dapat dilihat yang “kluster mahkamah” inilah yang memimpin kempen kerana mereka mahukan PRU-15 diadakan lebih awal lagi supaya mereka semua dapat mengelakkan hukuman penjara kerana jenayah rasuah yang dilakukan mereka semasa mereka berada di dalam kerajaan.
“Kerana inilah, Najib Razak, seorang lagi protagonis skandal 1MDB, sedang bersungguh-sungguh berkempen dalam PRN Johor untuk menyebarkan mesej “Apa Malunya BOSSku”, menyebarkan konsep tidak bermoral di mana para pemimpin politik tidak perlu mempunyai standard moral kejujuran, ketelusan, dan akauntabiliti.
“Para pengundi di Johor perlu mengambil iktibar dengan apa yang sedang berlaku di New York dalam perbicaraan jenayah pegawai bank warga Malaysia Malaysia, Roger Ng, atas tuduhan rasuah dalam skandal 1MDB yang bernilai berbillion dollar.
“Untuk sekian lamanya, saya telah tertanya-tanya mengapakah bintang-bintang utama telah hadir ke parti hari jadi ke-31 seorang lagi protagonis skandal 1MDB, Jho Low – parti yang digambarkan oleh Wall Street Journal sebagai “parti yang paling liar yang pernah disaksikan (Las) Vegas”.
“Jawapannya diberikan dalam perbicaraan jenayah Roger Ng di New York minggu lalu.
“Jho Low membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam satu malam daripada dana 1MDB dengan mengadakan pesta ulang tahun ke-31 mewah yang dihadiri bintang utama – yang dibayar “caj selebriti” untuk hadir – Leonard DiCaprio (AS$250,000), Paris Hilton (AS$100,000), Megan Fox ($AS250,000) dan Kim Kardashian (AS$50,000).
“Invois telah dikeluarkan untuk menunjukkan bahawa parti Jho Low di Las Vegas menelan kos AS$3.6 juta atau kira-kira RM10 juta dalam satu malam.
“Sekiranya perbelanjaan ini datang daripada kekayaan Jho Low sendiri, ia akan menjadi perkara yang berbeza, tetapi dia membelanjakan dana 1MDB, yang perlu dibayar balik oleh rakyat Malaysia sekarang dan juga oleh generasi yang akan datang.”
Adakah ini yang dikatakan sebagai “mencuci” reputasi Najib?
Dalam kenyataan 2 Mac 2022 ini juga saya telah katakan:
“Malah, bekas Peguam Negara AS Jeff Sessions menyifatkannya (skandal 1MDB) sebagai “kleptokrasi yang paling buruk”.
“Peguam Roger Ng telah mengakui bahawa skandal 1MDB adalah “mungkin satu-satunya rompakan terbesar dalam sejarah dunia” dan sebab itulah amat mengejutkan apabila protagonis seorang lagi dalam skandal 1MDB, Najib Razak, langsung tidak menunjukkan rasa kesal dengan skandal 1MDB dan menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya Malaysia selama 65 tahun, kita mengadakan pilihan raya di mana sebuah parti politik utama mengangkat sifat “tidak tahu malu” sebagai satu nilai moral, di mana pemimpin politiknya tidak perlu mempunyai standard moral atau rasa bersalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kleptokrasi, di mana pemimpin politik tidak dapat membezakan antara yang betul dan salah, dan membezakan antara rasuah dan salah guna kuasa dan apa yang bukan.
“Adakah ini nasib Malaysia – jauh daripada menjadi negara hebat bertaraf dunia tetapi ditakdirkan untuk menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal?
“Inilah intipati pilihan raya umum negeri Johor pada 12 Mac.
“Saya percaya bahawa semua tamadun dan agama besar di dunia mahu pemimpin mereka, malah rakyat mereka. untuk mempunyai standard moral dan boleh membezakan antara yang benar dan salah – mempunyai perasaan malu apabila mereka kehilangan kompas moral mereka – dan bukan untuk berakhir sebagai sebuah masyarakat di mana pemimpin politik tidak mempunyai rasa malu terhadap rasuah dan salah guna kuasa mereka.”
Hanya Thayarapan yang melihat “pencucian reputasi Najib” dalam ayat-ayat berikut!
Dalam artikel KOMENnya, Thayarapan menulis:
"Lim menyebarkan najis yang sama seperti yang dilakukan oleh operatif agama dengan memperkecilkan bukan sahaja tahap rasuah Najib, tetapi juga cuba mengatakan yang apabila seseorang itu kononnya berubah, semua dosanya akan dihapuskan."
Thayarapan juga mengingatkan semua orang yang Najib juga bersedia untuk bersumpah mengatakan yang dia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan 1MDB dan bertanya sama ada perkara ini mencukupi untuk saya.
Thayarapan membuat kenyataan yang tidak matang dan jawapan saya kepadanya pendek sahaja – sumpah kosong dari Najib ini tidak mencukupi untuk saya.
Saya mahu Najib bukan sahaja untuk mengecam skandal 1MDB dan keadaan di mana Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi, tetapi saya juga mahu dia mengakui yang kempen “Malu Apa Bossku” yang dibuatnya juga adalah satu perkara yang membawa malu terhadap negara kita, di mana kempen ini telah menunjukkan bahawa ada rakyat Malaysia yang tidak dapat membezakan di antara perkara yang betul dengan perkara yang salah dan melihat rasuah dan skandal 1MDB sebagai suatu perkara yang mulia.
Saya juga mahu Najib menjalani hukuman penjaranya seperti yang telah disabitkan oleh mahkamah untuk menjadi tauladan kepada semua pemimpin di Malaysia untuk tidak terlibat dengan rasuah dan kleptokrasi.
Saya tidak mencuci reputasi Najib. Adakah Thayarapan berbuat demikian?