Keputusan subjudis Speaker yang menghalang perbahasan rampasan aset Petronas perlu dicabar memandangkan perkara ini merendahkan empat perkara asas – kebebasan bersuara, kedaulatan Sabah, peranan Parlimen sebagai ruang politik tertinggi, dan integriti penjawat awam

Keputusan subjudis Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, yang menghalang perbahasan mengenai rampasan aset Petronas oleh mereka yang mendakwa diri sebagai waris kesultanan Sulu perlu dicabar kerana keputusan ini merendahkan empat hak asasi iaitu:

  • Kebebasan bersuara, yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan;
  • Kedaulatan Sabah;
  • Peranan Parlimen sebagai ruang politik tertinggi dalam negara; dan
  • Integriti penjawat awam, memandangkan abang kepada Speaker sendiri adalah Peguam Negara, menunjukkan satu kes konflik kepentingan yang jelas.

Parlimen tidak boleh kembali ke era Parlimen ke-13 di mana peraturan subjudis disalah guna untuk menghalang sebarang bentuk semakan dan persoalan dari Parlimen mengenai skandal kewangan 1MDB, sehingga skandal ini terus membesar yang dikatakan oleh bekas Pendakwa Raya Amerika Syarikat sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.

Speaker perlulah menyemak semula keputusannya jika tidak Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah perlu membawa suatu usul di bawah Peraturan Mesyuarat untuk menyemak semula keputusan Speaker ini, dan kedua-dua Speaker dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal parlimen, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perlu memberikan jaminan yang masa akan diperuntukkan untuk Parlimen menyemak semula keputusan Speaker ini – sama ada pada hari Khamis minggu ini atau hari Isnin minggu hadapan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri