Kita perlu tekankan “Ketuanan Malaysia” dan bukannya “Ketuanan Melayu” sekiranya kita hendak kembali kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara yang dipersetujui bersama oleh tokoh penubuhan negara untuk mengelakkan Malaysia terus ditinggalkan di belakang
Seorang etnik India mungkin akan menjadi Perdana Menteri United Kingdom yang baharu untuk menggantikan Boris Johnson.
Bekas Menteri Kewangan United Kingdom, Rishi Sunak, kini berada di barisan hadapan empat orang dalam perlumbaan untuk menjadi Ketua Parti Konservatif – seorang lelaki dengan tiga orang wanita. Seorang dari wanita tersebut, Kemi Badenock, beretnik Nigeria.
Seorang etnik India telah menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat, manakala seorang bekas rakyat Malaysia etnik Cina, Penny Wong, telah menjadi Menteri Luar Negeri di Australia.
Di bawah peruntukan Perlembagaan Malaysia, seorang rakyat Malaysia, tidak kira kaum, agama, atau kawasan, boleh menjadi Perdana Menteri, tetapi dengan realiti politik negara saya tidak jangka untuk melihat sesiapa orang yang bukan-Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam jangka hayat saya mahupun jangka hayat anak saya.
Dalam 55 tahun pengalaman politik saya, fikiran untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ini tidak pernah terlintas dalam fikiran saya. Saya pernah katakan secara terbuka, yang walaupun Perlembagaan Malaysia memperuntukan untuk mana-mana rakyat Malaysia menjadi Perdana Menteri, saya tidak jangka untuk melihat mana-mana orang bukan-Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam jangka hayat saya.
Di Amerika Syarikat, seorang lelaki berkulit hitam, Barack Obama, menjadi Presiden Amerika Syarikat – tetapi perkara ini hanya terjadi 230 tahun selepas penubuhan Amerika Syarikat pada tahun 1776.
Saya harap Malaysia tidak akan memerlukan 230 tahun sebelum seorang yang bukan-Melayu berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi saya tidak jangka seorang bukan-Melayu menjadi Perdana Menteri dalam abad ke-21. Sama ada akan ada seorang Perdana Menteri bukan-Melayu pada abad ke-22 atau ke-23 akan bergantung kepada sama ada politik identiti akan kekal mendominasi kuasa politik dalam landskap politik negara seperti hari ini.
Sekiranya persoalan mengenai sama ada seorang bukan-Melayu boleh menjadi Perdana Menteri ini ditanyakan enam puluh tahun yang lalu kepada Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn, Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin, atau Tun V.T. Sambanthan, mereka pastinya akan tanpa ragu-ragu menjawab ya memandangkan tidak ada sebarang halangan daripada Perlembagaan untuk perkara ini – yang merupakan satu perkara yang berbeza dengan sama ada ia akan berlaku atau tidak.
Tetapi hari ini, ada pemimpin politik yang secara terbuka mengatakan yang seorang bukan-Melayu tidak boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana konsep “Ketuanan Melayu” yang dipopularkan selepas tahun 1986.
Terdapat satu sebab yang kuat mengapa Malaysia terus ditinggalkan oleh negara-negara lain seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, Vietnam, dan mungkin ditinggalkan di belakang lebih banyak negara dalam tahun dan dekad yang akan datang, termasuklah di belakang Indonesia dan China.
Kita perlu tekankan “Ketuanan Malaysia” dan bukannya “Ketuanan Melayu” sekiranya kita hendak kembali kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara yang dipersetujui bersama oleh tokoh penubuhan negara untuk mengelakkan Malaysia terus ditinggalkan di belakang negara-negara lain dalam tahun-tahun dan dekad-dekad yang akan datang.