Ongkili dan kedua-dua adik beradik Pairin perlu memberikan penjelasan mengenai kesunyian mereka selama 72 jam terhadap cadangan penubuhan Majlis yang terdiri dari Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, ADUN, Ahli Parlimen Sabah sedia ada dan yang sudah bersara untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Maximus Ongkili, dan kedua-dua adik beradik Pairin, Joseph dan Jeffrey, perlu memberikan penjelasan mengenai kesunyian mereka selama 72 jam terhadap cadangan penubuhan Majlis yang terdiri dari Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen Sabah sedia ada dan yang sudah bersara untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah.
Adakah mereka berdiam diri kerana merasakan cadangan ini tidak akan menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah? Jika mereka merasakan begitu, mengapa?
Bagaimana pula mereka bertiga ini merasakan yang masalah ini dapat diselesaikan?
Adakah Ongkili dan kedua-dua adik beradik Pairin ini tidak bersedia untuk meletakkan ke tepi perbezaan mereka dan bekerjasama dengan pemimpin Sabah yang lain, tanpa mengira kaum, agama, atau politik, untuk mencari penyelesaian untuk masalah ini?
Adakah mereka mahu melihat masalah yang telah menghantui Sabah untuk 50 tahun yang lepas ini terus menghantui Sabah sehingga ulang tahun ke-100 Malaysia?
Jeffrey kini merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Joseph Pairin pula telah menjadi Ketua Menteri Sabah selama sembilan tahun dari 1985 sehingga 1994 sebelum menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah pula selama 14 tahun dari 2004 sehingga 2018, dan juga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Tanpa Izin di Sabah selama lima tahun, yang mana laporannya disediakan oleh sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Hakim Steve Shim.
Saya syak yang tidak ada satu pun cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja ini telah dilaksanakan, tapi kita tunggu maklum balas dari Joseph Pairin.
Ongkili dan kedua-dua adik beradik Pairin telah memegang jawatan tinggi dalam empat dekad yang lepas, dan mereka perlu bertanggungjawab dan menggalas amanah untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin yang telah menghantui Sabah selama 50 tahun ini.