Saya bersedia untuk bekerjasama dengan Najib Razak demi kebaikan negara dan bukannya untuk sebahagian dari kekayaan 1MDB, tetapi dia sendiri pertamanya perlulah mengecam skandal 1MDB dan mengumumkan pendiriannya untuk memastikan Malaysia tidak menjadi sebuah kleptokrasi
Dalam enam dekad kehidupan politik saya, saya sentiasa dipandu oleh pandangan bahawa personaliti seseorang itu tidak boleh dilihat sebagai suatu perkara yang sama ada hitam atau putih, sebaliknya dilihat sebagai pelbagai tona kelabu.
Tidak ada malaikat dalam kalangan manusia, tetapi salah juga untuk melihat sesiapa sekali pun sebagai sumber segala kejahatan.
Semua orang mempunyai naluri baik dan jahat, dan kita menilai seseorang itu berdasarkan sama ada naluri baiknya mampu mengatasi naluri jahatnya.
Semua orang mampu untuk berubah menjadi lebih baik.
Saya misalnya bersedia untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, demi kebaikan negara, bukan untuk mendapatkan sebahagian daripada kekayaan 1MDB, tetapi dia pertamanya perlulah mengecam skandal 1MDB dan mengumumkan pendiriannya untuk memastikan Malaysia tidak menjadi sebuah kleptokrasi. Adakah Najib bersedia untuk berbuat sedemikian?
Pejabat Peguam Negara (AGC) telah mengesahkan yang ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho, telah cuba mencapai penyelesaian dengan pihak kerajaan untuk dakwaan terhadapnya yang berkaitan dengan 1MDB dengan menawarkan RM1.5 billion adalah bukti terakhir yang skandal 1MDB ini sememangnya wujud dan bukanlah cerita dongeng semata-mata.
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul telah memberitahu Dewan pada bulan Mac yang hutang 1MDB yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM32.3 billion dengan RM6.5 billion lagi dalam bentuk faedah pinjaman, sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, mengatakan baru-baru ini yang jumlah aset yang dilucuthak dan dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia pada tahun lepas adalah sejumlah RM5.1 billion, di mana 99.57% daripadanya berkaitan dengan 1MDB.
Dalam situasi sebegini, tawaran RM1.5 billion Jho Low sebagai penyelesaian dakwaan 1MDB terhadapnya adalah tidak masuk akal, kerana jumlah ini hanyalah empat peratus daripada jumlah hutang dan faedah hutang 1MDB yang ditanggung kini perlu ditanggung oleh rakyat Malaysia.
Adakah Najib akan bertanggungjawab ke atas baki 96% hutang dan faedah 1MDB ini?
Tetapi terdapat juga dua lagi persoalan berkepentingan awam: sama ada patut seorang bekas Peguam Negara untuk bertindak bagi pihak Jho Low sedang dia sepatutnya mendakwa Jho Low untuk kesalahan berkenaan 1MDB semasa menjadi Peguam Negara; dan sama ada patut untuk Peguam Negara sekarang berurusan dengan Jho Low dengan tawaran penyelesaian sekecil RM1.5 billion ini.
Selepas 65 tahun membina negara, kita telah gagal dengan Impian Malaysia kita untuk membina sebuah negara hebat bertaraf dunia, ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, dan Vietnam, dan kini berkemungkinan besar ditinggalkan di belakang Indonesia dan China pula dalam dekad yang akan datang.
Di manakah silap kita?
Saya teringat mengenai apa yang saya katakan dalam minggu pertama selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 mei 2018:
“Pilihan Raya Umum ke-14 pada hari Rabu, 9 Mei 2018 telah memberikan rakyat Malaysia peluang untuk menetapkan semula dasar dan hala tuju pembangunan negara.
“Enam puluh satu tahun yang lepas, semasa negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, dan 55 tahun yang lepas, semasa Malaysia dibentuk pada tahun 1963, kita telah memulakan perjalanan sebagai sebuah negara baharu, penuh dengan harapan dan keyakinan, berdedikasi dengan Proklamasi Merdeka 1957, yang kemudiannya diperkuatkan lagi dengan Proklamasi Malaysia enam tahun kemudian, bahawa negara kita akan ‘kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.’
“Kita berjanji kepada diri kita sendiri yang Malaysia akan menjadi ‘sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu’.
“Tetapi kita telah terpesong arah dan jatuh ke lubang hitam kleptokrasi dan kakistokrasi.
“Rakyat Malaysia perlu kembali kepada perkara asas, dan apakah cara yang lebih baik selain daripada kembali kepada dokumen asas seperti Perlembagaan Merdeka 1957, Perjanjian Malaysia 1963, dan Rukunegara 1970 untuk memenuhi Impian Malaysia untuk menjadi contoh kepada dunia bagaimana sebuah negara dengan kepelbagaian kaum, agama, bahasa, dan budaya boleh bersatu padu, hidup dalam harmoni, secara demokratik, progresif, dan makmur, dengan kerajaan yang berintegriti yang dipandu oleh prinsip tadbir urus yang baik dan bertanggungjawab.”
Namun, usaha penetapan semula dasar dan hala tuju negara kepada Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara ini telah disabotaj hanya 22 bulan kemudian oleh konspirasi Langkah Sheraton.
Rakyat kecewa dengan ketidakupayaan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan untuk menetapkan semula dasar dan hala tuju negara memandangkan Pakatan Harapan mempunyai mandat untuk berbuat demikian selama lima tahun.
Cabarannya kini untuk rakyat Malaysia adalah sama ada kita semua dapat bersatu-padu untuk satu lagi peluang untuk menetapkan hala tuju dan dasar negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15, sama ada diadakan pada tahun ini atau tahun hadapan.