Pengesahan Peguam Negara mengenai tawaran RM1.5 billion Jho Low untuk menyelesaikan dakwaan berkaitan 1MDB terhadapnya adalah bukti terakhir yang skandal 1MDB wujud dan bukannya hanya cerita dongeng – bukti apakah lagi yang diperlukan oleh pemimpin UMNO, MCA dan MIC?
Pengesahan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho, telah cuba mencapai penyelesaian dengan pihak kerajaan untuk dakwaan terhadapnya yang berkaitan dengan 1MDB dengan menawarkan RM1.5 billion adalah bukti terakhir yang skandal 1MDB ini sememangnya wujud dan bukanlah cerita dongeng semata-mata.
Izinkan saya bertanya kepada para pemimpin UMNO, MCA, dan MIC: bukti apa lagi yang mereka perlukan?
Untuk beberapa hari yang lepas, saya telah berhujah yang lebih ramai rakyat Malaysia, baik dalam kalangan pemimpin mahu pun rakyat biasa, perlu bertanya mengenai persoalan “Di manakah silapnya” dengan dasar pembinaan negara bangsa dalam enam dekad yang lepas sehingga Malaysia semakin lama ditinggalkan di belakang semakin banyak negara dan terus berpotensi ditinggalkan di belakang lebih banyak negara dalam dekad yang mendatang.
Saya juga telah menekankan hakikat di mana walaupun selepas sedekad berhadapan dengan skandal mega 1MDB, tidak ada seorang pun pemimpin atau Menteri dari UMNO dan Barisan Nasional yang berani mengecam skandal ini, sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.
Bolehkah mana-mana pemimpin UMNO, MCA, atau MIC jawab? Bukti apakah lagi yang diperlukan mereka untuk berhenti menjadi buta, pekak, dan bisu terhadap skandal 1MDB ini, yang telah digelar oleh bekas Pendakwa Raya AS sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”?
Malaysia tidak boleh diselamatkan sekiranya kita berakhir menjadi sebuah kleptokrasi. Bolehkah kita lihat pemimpin UMNO, MCA dan MIC untuk berjuang menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah kleptokrasi, atau adakah mereka tidak mempunyai sebarang masalah melihat negara menjadi sebuah kleptokrasi asalkan peluang untuk kepentingan peribadi mereka dalam politik dan ekonomi terus terjamin?
Amatlah mengejutkan melihat para pemimpin UMNO mengetuai pergerakan golongan yang tidak dapat membezakan di antara perkara yang betul dan yang salah, terutamanya apabila semakin banyak kes yang muncul sekian hari.
Baru-baru ini, kita didedahkan dengan maklumat yang mana seorang Ketua Setiausaha Negara dibayar RM30,000 sebulan untuk tidak berbuat apa-apa dalam 1MDB dan juga dengan pendedahan mengejutkan yang mengatakan perkara ini bukanlah kes yang terpencil dalam syarikat kawalan kerajaan (GLC).
Kini, kita mempunyai seorang bekas Peguam Negara yang bertindak bagi pihak Jho Low untuk mencari penyelesaian untuk dakwaan berkaitan 1MDB terhadapnya, sedangkan bekas Peguam Negara ini sepatutnya mendakwa Jho Low semasa menjawat jawatan tersebut.
Apabila pemimpin tertinggi negara tidak dapat membezakan antara perkara yang betul dengan yang salah, apakah masa hadapan yang ada untuk Malaysia?
Saya telah katakan dalam minggu pertama selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 mei 2018 yang rakyat Malaysia telah diberikan peluang untuk “menetapkan semula” dasar dan hala tuju pembangunan negara.
Saya menyeru rakyat Malaysia untuk meletakkan “hari-hari gelap” dekad-dekad yang lepas di belakang mereka dan “pelajari pengajaran yang paling penting sekali – keperluan untuk sentiasa saling hormat menghormati, bersifat sensitif, bertamadun, dan sopan terhadap satu sama lain, walaupun dengan musuh politik, dalam masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya”.
Saya katakan: “Janganlah kita lupa, walau apa pun perbezaan kita, termasuklah perbezaan politik kita, kita pertamanya adalah rakyat Malaysia yang bersama-sama menyanyikan Negaraku.”
Namun, bukan ini yang berlaku, sehingga hari ini, masih ada kempen propaganda besar-besaran untuk menyebarkan berita palsu yang cuba untuk mengatakan kononnya masalah negara lepas 65 tahun usaha membina bangsa ini adalah kerana 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan.
Ini adalah kenyataan yang sangat tidak masuk akal dan kelakar – malangnya ia dipercayai oleh ramai rakyat Malaysia.
Usaha menetapkan semula hala tuju negara yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan ini telah disabotaj oleh konspirasi Langkah Sheraton.
Persoalan dan cabaran yang menanti kita adalah: Adakah rakyat Malaysia akan mampu untuk pulih dari kekecewaan terhadap 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan untuk meneruskan usaha memastikan terdapat penetapan semula dasar dan hala tuju negara kerana kita semua mahukan Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan bukannya berakhir sebagai sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi.
Inilah pilihan yang perlu dibuat oleh rakyat Malaysia dalam tahun-tahun yang akan datang.