Kenapa saya menolak untuk menyertai Kabinet Pakatan Harapan

Terdapat satu kempen agresif pada masa sekarang untuk membuatkan rakyat Malaysia percaya yang kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sebelum ini bertanggungjawab terhadap masalah dan krisis yang dihadapi negara hari ini.

Tetapi benarkah begitu?

Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.

Saya masih ingat hari-hari persekolahan saya pada tahun 50-an, Taiwan merupakan sebuah negara yang amat miskin dan Malaya lebih membangun berbanding dengan Korea Selatan.

Kini, selepas 65 tahun usaha pembinaan negara, kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, dan Vietnam, dan berkemungkinan besar ditinggalkan di belakang China dan Indonesia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) yang diterbitkan setiap tahun menjelang penghujung dekad ini.

Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan yang lepaslah Malaysia telah berjaya mencapai kedudukan yang terbaik negara dalam carta CPI dalam tempoh 25 tahun, dan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan ini tidak disabotaj dan ditumbangkan melalui konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020 dan berjaya memenuhi mandat lima tahunnya, Malaysia mungkin telah berjaya mencapai cita-cita untuk menjadi antara 30 negara teratas di dunia dari segi integriti awam dan kadar korupsi terendah. Kini kita berada di tempat ke-62 dan mungkin akan berada di tempat yang lebih rendah lagi apabila TI CPI 2022 diterbitkan pada bulan Januari tahun hadapan.

Kita bukan sahaja berhadapan dengan kemungkinan ditinggalkan di belakang Indonesia dari segi pembangunan ekonomi, kita juga kini ditegur secara terbuka oleh duta Indonesia sebagai “memalukan” kerana tidak berpegang kepada memorandum persefahaman (MoU) yang telah dipersetujui mengenai pembantu rumah Indonesia yang ditandatangani tiga bulan yang lepas.

Adakah perkara ini berpunca dari kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan?

Sudah tentu tidak, ini semua hasil kerja Perdana Menteri UMNO!

Saya percaya apa yang dicapai oleh Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-14 – pengakhiran hegemoni politik UMNO apabila Barisan Nasional yang dipimpin UMNO berjaya ditumbangkan – adalah perkara yang terdekat dengan sebuah keajaiban politik.

Sudah tentu, ada yang mengatakan yang Barisan Nasional pimpinan UMNO ini memang ditakdirkan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sama ada Mahathir ada bersama di dalam gabungan pembangkang atau tidak – tetapi saya tidak berada di dalam golongan ini.

Malah, jika anda tanyakan saya pada pagi 9 Mei 2018 sama ada Barisan Nasional pimpinan UMNO ini akan dikalahkan, saya akan katakan tidak.

Malah, Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu juga sebegitu yakin, bukan sahaja untuk menang, tetapi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga, sehingga waktu petang hari mengundi.

Jadi, mungkin ada yang akan bertanya mengapa saya menolak untuk menyertai kabinet Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Terdapat beberapa sebab, termasuklah:

  1. Cabaran untuk kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk menetapkan semula dasar pembinaan negara selepas 61 tahun, di mana daripada menjadi “sinar harapan dalam dunia yang sukar dan terganggu”, kita telah terpesong dan jatuh ke lubang hitam menjadi sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi. Saya adalah pengkritik terbesar Mahathir selama 22 dia menjadi Perdana Menteri, tetapi cabaran pada tahun 2018 adalah untuk menyelesaikan masalah yang “ada sekarang dan untuk masa hadapan”, bukannya mengenai masa lampau.
  2. Untuk menunjukkan tauladan, yang politik bukanlah untuk kepentingan diri sendiri, baik untuk wang atau kedudukan, sebaliknya untuk mengejar idealisme dan nilai yang baik untuk negara.
  3. DAP percaya dengan pemindahan kuasa dan tanggungjawab kepada golongan muda. Kita mempunyai tiga orang Menteri dalam umur 50-an, dua orang dalam 40-an, dan seorang Menteri berusia 30 tahun berbanding dengan rakan komponen kita ketika itu, di mana dua parti dengan pemimpin dalam Kabinet yang berusia sekitar enam puluh tahun dan sebuah lagi parti pula dengan pemimpin yang berusia di sekitar sembilan puluh dan tujuh puluh tahun.
  4. DAP sebenarnya adalah parti golongan muda, yang merupakan sejumlah besar rakyat Malaysia. Semasa saya menjadi Setiausaha Agung DAP, saya berusia 28 tahun. Pada masa itu, kita mempunyai tiga orang ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang berusia sekitar 20 tahun – dan apa yang lebih penting lagi, mereka inilah tenaga penggerak parti. Pada tahun 60-an, idea untuk menubuhkan sayap pemuda ini tidak terlintas di dalam fikiran kerana pimpinan DAP kebangsaan memang dipimpin oleh golongan muda.
  5. Hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri mengumumkan yang seorang senator akan dilantik dari kalangan orang muda. Kita tidak mahu senator yang dilantik dari kalangan orang muda, kita mahukan kerajaan yang ditadbir orang muda atau sekurang-kurangnya kerajaan yang memahami visi dan aspirasi golongan muda di dalam negara.
  6. Untuk menjadi penyemak imbang kepada kerajaan Pakatan Harapan. Saya berjumpa Mahathir pada pertengahan tahun 2019 untuk menekankan kepadanya mengenai kepentingan kerajaan untuk memenuhi janji-janji pilihan raya Pakatan Harapan dan untuk bersifat telus dan terus terang kepada pengundi sekiranya ada sebarang janji-janji yang tidak dapat dipenuhi. Saya mahu berjumpa Perdana Menteri, sama ada Mahathir atau Anwar Ibrahim pada pertengahan terma pentadbiran Pakatan Harapan pada penghujung 2020, namun perkara ini tidak dapat dilakukan selepas kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan oleh konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Saya ulangi kedudukan saya, yang persoalan terpenting untuk Malaysia hari ini bukanlah mengenai siapa yang akan menang dalam pilihan raya yang akan datang, sebaliknya, sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara empat dekad dari sekarang, dengan menjadi sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi yang lebih buruk.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri