Ongkili dan kedua-dua adik-beradik Pairin perlu bekerjasama dengan semua pemimpin politik Sabah, sama ada dalam kerajaan atau pembangkang, untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi di Sabah sebelum ulang tahun ke-60 penubuhan Malaysia pada 16 September tahun hadapan
Presiden PBS dan Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Maximus Ongkili, dan kedua-dua adik beradik Pairin, Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey Pairin, dan Huguan Siou, Joseph Pairin, perlu bekerjasama dengan semua pemimpin politik Sabah, sama ada dalam kerajaan atau pembangkang, untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi yang telah menghantui Sabah untuk lebih daripada 50 tahun ini, sebelum ulang tahun ke-60 penubuhan Malaysia pada 16 September tahun hadapan.
Amatlah mengecewakan melihat Parti Bersatu Sabah (PBS) semalam mengabaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi semasa parti tersebut mengumumkan pembentukan tiga jawatankuasa untuk memperkasakan parti.
Saya telah cadangkan dalam forum perdana Pakatan Harapan mengenai “Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin di Sabah” di Palace Hotel, Kota Kinabalu pada hari Khamis mengenai pembentukan sebuah Majlis yang dianggotai oleh Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, serta dengan bekas-bekas Ketua Menteri dan bekas-bekas Timbalan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dan Ahli-ahli Parlimen Sabah yang sedia ada dan juga bekas ADUN dan MP, untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi ini sebelum ulang tahun ke-60 pembentukan Malaysia pada 16 September 2023.
Semua maklumat dan fakta tersedia, kerana tidak ada isu yang pernah diberikan perhatian dengan sebegitu banyak pasukan tindakan, operasi, dan siasatan seperti isu ini – dengan lebih daripada 5,000 muka surat yang hilang dari laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Tanpa Izin di Sabah yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Hakim Steve Shim, yang mana laporannya diterbitkan pada bulan Disember 2014.
Sabah mempunyai jumlah bekas Ketua Menteri yang paling ramai – sekurang-kurangnya 15 orang – inilah peluang untuk semua bekas Ketua Menteri yang masih hidup, tanpa mengira kaum, agama, atau politik, untuk datang bersama dan menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi yang telah menghantui Sabah selama 50 tahun ini sebelum 16 September tahun hadapan.
Namun, adakah mereka ini mempunyai kehendak politik dan adakah Ongkili dan kedua-dua adik beradik Pairin ini akan menyokong penubuhan Majlis ini?
Adakah mereka bertiga akan bekerjasama dengan semua pemimpin Sabah, tanpa mengira kaum, agama, atau politik, untuk menyelesaikan masalah yang menghantui Sabah untuk 50 tahun yang lepas ini menjelang 16 September tahun hadapan?
Hanya masa yang akan menentukan.