Seruan untuk pembentukan sebuah Majlis yang terdiri daripada Ketua Menteri dan bekas Ketua Menteri Sabah, Timbalan Ketua Menteri dan bekas Timbalan Ketua Menteri, ADUN dan MP semasa dan juga bekas ADUN dan MP Sabah, untuk menyelesaikan mimpi ngeri pendatang tanpa izin dengan hak mengundi yang berlanjutan selama 50 tahun di Sabah sebelum ulang tahun ke-60 penubuhan Malaysia pada 16 September 2023
Sebelum forum ini, saya dimaklumkan yang seorang Ketua Menteri Sabah selama sembilan tahun (1985 - 1994) dan bekas Ketua Menteri Sabah selama 14 tahun (2004 - 2018) adalah salah seorang penerima biasiswa Rancangan Colombo terawal dari Sabah.
Namun, lihatlah apa yang telah terjadi dengan Colombo. Kediaman Ketua Menteri dan Menteri-menteri Kabinet Sri Lanka telah dibakar oleh penyokong yang marah dan Presiden Sri Lanka terpaksa melarikan diri untuk menyelamatkan nyawanya.
Kita tidak mahu Malaysia dan Sabah untuk menerima nasib yang sama seperti Colombo dan Sri Lanka dan kerana inilah kita mengadakan forum ini pada malam ini.
Dalam bersiap sedia untuk forum ini, saya telah membaca buku dan artikel mengenai pembentukan Malaysia dan dekad-dekad selepas pembentukan Malaysia, termasuklah sebuah buku dari James Ongkili, abang kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Maximus Ongkili. Pada tahun 1967, James menulis buku yang bertajuk: “Respons Borneo Terhadap Malaysia 1961-1963”.
Satu artikel, “Pilihan Raya Negeri Sabah 1994 dan 2020” yang ditulis oleh Farouq Omar diakhiri dengan kenyataan berikut:
“hakikat di mana rakyat Sabah terus dimanipulasi untuk memberikan kelebihan kepada kerajaan Persekutuan selama lebih dari lima dekad ini memang luar biasa. Sama ada kejadian seperti ini boleh berulang lagi masih belum diketahui.”
Kenyataan ini mengingatkan saya kepada tiga personaliti – Maximus Ongkili dan dua orang adik-beradik Pairin, Joseph Pairin Kitingan dan Jeffrey Pairin Kitingan.
Ongkili baru-baru ini telah “menjolok sarang tebuan” apabila dia mengatakan sebuah “parti BN” bertanggungjawab terhadap skim memberikan kerakyatan untuk meraih undi dan usaha diperlukan untuk membuang pengundi yang tidak layak dari daftar pengundi semasa dalam perhimpunan delegasi tahunan PBS.
Saya kecewa kerana walaupun dengan petunjuk sebegitu jelas sekalipun, tidak ada seorang pun pemimpin PBS mahupun parti itu sendiri yang berani mengambil kedudukan yang teguh mengenai mimpi ngeri Sabah selama 50 tahun di mana pendatang tanpa izin diberikan hak mengundi.
Saya juga telah menulis surat kepada Ongkili dalam kapasitinya sebagai Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan akses kepada 5,000 muka surat yang hilang dari Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Tanpa Izin di Sabah.
Saya juga telah menulis kepada Joseph Pairin dalam kapasitinya sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Tanpa Izin di Sabah (RCIIIS) dari tahun 2014 sehingga 2018 untuk mendapatkan cadangannya kepada Jawatankuasa Utama yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ketika itu untuk dilaksakanakan – dan juga maklumat mengenai cadangan mana yang dilaksanakan dan cadangan mana yang ditolak.
Menjadi contoh kemunduran demokrasi di Sabah dan Malaysia, yang menunjukkan ketiadaan semangat tadbir urus yang baik sehingga saya tidaklah menjangkakan yang saya menerima apa-apa maklum balas dari mereka berdua.
Antara sebabnya adalah kemungkinan di mana tidak ada satu pun cadangan RCI ini telah diterima atau dilaksanakan. Bolehkah Ongkili atau Joseph berikan penjelasan mengenai perkara ini?
Bulan lepas, Ongkili telah mengetuai sekumpulan pakar undang-undang, pengkaji selidik, dan pegawai dari kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah ke London untuk mencari dan mengkaji apa-apa rujukan yang berkaitan dengan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ongkili patut menyedari yang penyelesaian kepada masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi yang menghantui Sabah selama lebih dari 50 tahun ini adalah langkah pertama yang penting untuk memenuhi syarat MA63 bagi Sabah.
Sekiranya dia perlu untuk merujuk kepada Memorandum Dua Puluh Perkara yang dihantarkan kepada Jawatankuasa Antara-Kerajaan pada tahun 1962, buku abangnya adalah salah satu sumber yang mudah untuk dirujuk.
Amatlah malang apabila Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan, telah mengetepikan semua kegusaran mengenai pendatang asing di Sabah dengan hak mengundi sebagai “bunyi bising” dan sebaliknya memilih untuk menyibukkan dirinya mengenai “pekerja asing tanpa dokumen”.
Masalah pendatang asing dengan hak mengundi di Sabah ini adalah isu yang berbeza dari “pekerja asing tanpa dokumen” walaupun ianya sering berkaitan.
Jeffrey tidak boleh lupa yang sebelum dia menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah, dia sendiri petah bercakap mengenai isu pendatang tanpa izin dengan hak mengundi ini, mengatakan perkara ini merupakan satu “bom masa” dan memberikan amaran yang “melainkan raksasa ini dimusnahkan, Sabah akan terus berhadapan dengan masalah keselamatan yang lebih besar”.
Saya tidak mahu forum ini menjadi pesta menuding jari, untuk mencari siapakah yang paling bertanggungjawab kepada masalah yang telah berlarutan selama lebih dari 50 tahun ini dan untuk mencari siapa yang perlu memberikan sebab untuk tindakan lampau mereka.
Saya cadangkan pembentukan sebuah Majlis yang terdiri daripada Ketua Menteri dan bekas Ketua Menteri Sabah, Timbalan Ketua Menteri dan bekas Timbalan Ketua Menteri, ADUN dan MP semasa dan juga bekas ADUN dan MP Sabah, untuk menyelesaikan mimpi ngeri pendatang tanpa izin dengan hak mengundi yang berlanjutan selama 50 tahun di Sabah sebelum ulang tahun ke-60 penubuhan Malaysia pada 16 September 2023.
Sabah mempunyai jumlah bekas Ketua Menteri yang paling ramai – sekurang-kurangnya 15 orang – inilah peluang untuk semua bekas Ketua Menteri yang masih hidup, tanpa mengira kaum, agama, atau politik, untuk datang bersama dan menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan hak mengundi yang telah menghantui Sabah selama 50 tahun ini sebelum 16 September tahun hadapan.