Apakah yang boleh dipelajari Malaysia dari Sri Lanka?
Amatlah menyakitkan dan memalukan untuk melihat penderitaan Sri Lanka – bagaimana sebuah negara yang tujuh puluh tahun yang lepas, semasa era saya bersekolah, dikatakan sebagai “permata Asia Selatan”, telah mengambil jalan kemusnahan dan berakhir sebagai sebuah negara yang bankrap dan gagal, di mana rakyatnya membakar bukan sahaja rumah Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet, tetapi Presidennya juga terpaksa lari meninggalkan kediaman rasmi dan negaranya untuk menyelamatkan diri dari kemarahan rakyat selepas berhadapan tentangan selama 72 jam dengan kakitangan imigresen di lapangan terbang.
Apakah pengajaran yang boleh dipelajari Malaysia dari Sri Lanka?
Sekiranya Sri Lanka bertanya diri mereka, dalam tujuh puluh tahun yang lepas, di manakah silapnya dan kemudiannya memperbetulkan hala tuju dan dasar pembinaan negaranya, negara tersebut mungkin akan dapat mengelakkan nasib malangnya hari ini.
Bolehkah Malaysia mempelajari pengajaran ini dari Sri Lanka?
Tujuh puluh tahun yang lepas, Colombo terkenal dengan Rancangan Colombo, suatu badan antara-kerajaan kawasan serantau untuk membangunkan sumber manusia di kawasan serantau Asia Selatan dan Asia Tenggara, tetapi hari ini, Colombo dikenali dengan situasi di mana Presidennya melarikan diri selepas menang besar dalam pilihan raya dan juga di mana rakyat sendiri membakar kediaman Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.
Sekiranya Malaysia ingin mengelakkan nasib “negara gagal” seperti Sri Lanka sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam dekad-dekad yang akan datang ini, Malaysia perlu melalui mengkaji diri kita, untuk mencari “di manakah silapnya” apabila kita gagal untuk memenuhi potensi kita untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya menjadi “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.
Antara kesilapan yang telah kita buat dalam dasar dan prinsip pembinaan negara dalam setengah abad yang lepas, yang menyebabkan kita terus ditinggalkan di belakang lebih banyak negara, termasuklah kemungkinan ditinggalkan di belakang China dan Indonesia menjelang penghujung dekad ini dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International adalah:
- Kegagalan untuk menerima hakikat yang Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk dan kepelbagaian kaum, bahasa, budaya, dan agama di negara kita ini adalah satu aset dan bukannya liabiliti;
- Ketidakpatuhan terhadap Perkara 8(1) Perlembagaan yang menyatakan “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”, di mana tidak ada pengasingan rakyat kelas pertama, kelas kedua, atau ketiga, sebaliknya semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang;
- Keraguan mengenai doktrin pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang;
- Keadaan rasuah yang semakin teruk – kita telah meningkatkan pendapatan per kapita sebanyak 30 kali ganda dari tahun 1970 ke hari ini, tetapi kita juga telah meningkatkan rasuah dan skandal kewangan sebanyak 63,000 kali ganda, seperti yang dapat dilihat dari skandal Bank Rakyat yang bernilai RM100 juta pada tahun 1979, skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang bernilai RM2.5 billion pada tahun 1983, dan skandal 1MBD yang bernilai RM42 billion dalam dekad yang lepas;
- Kualiti standard pendidikan yang semakin menurun dan kegagalan Pelan Pendidikan yang menyasarkan Malaysia untuk mencapai kedudukan di atas purata global dan menjadi salah satu daripada sepertiga negara teratas dalam penilaian pendidikan antarabangsa;
- Pemesongan dan penyalahgunaan Dasar Ekonomi Baharu dan penerusan dasar ini selepas 1990 walaupun dasar ini pada awalnya dirancang hanya untuk 20 tahun;
- Diaspora Malaysia pertama di mana lebih daripada sejuta rakyat Malaysia yang berbakat berpindah keluar untuk menjadikan negara lain yang hebat dan bukannya Malaysia;
- Mimpi ngeri yang berlanjutan selama 50 tahun di Sabah di mana pendatang tanpa izin telah diberikan hak mengundi.
Saya tetap berpegang kepada pendirian saya bahawa persoalan yang paling penting di Malaysia hari ini bukanlah mengenai siapa yang akan menang dalam pilihan raya yang akan datang, sebaliknya sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam dekad-dekad yang akan datang atau sama ada kita mampu mengubah nasib negara dengan menetapkan semula dasar-dasar pembinaan negara untuk mengelakkan nasib yang menimpa Sri Lanka.
Gabungan People’s Freedom Alliance di Sri Lanka telah menang besar dalam pilihan raya parlimen Sri Lanka pada 5 Ogos 2020, memenangi 145 dari 225 kerusi, tetapi tidak sampai dua tahun kemudian, Presiden Sri Lanka terpaksa lari meninggalkan negara tersebut.
Rakyat Malaysia telah membuktikan sebelum ini yang kita tahu membezakan di antara yang benar dan yang salah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.
Bolehkah kita katakan yang sama dalam Pilihan Raya Umum ke-15, sama ada diadakan tahun ini atau dalam 2023?